Inisiatif pastikan kanak-kanak dijaga dalam suasana keluarga harmoni - Utusan Malaysia

Inisiatif pastikan kanak-kanak dijaga dalam suasana keluarga harmoni

Pemeliharaan Berasaskan Keluarga (PBK) memberi peluang kepada kanak-kanak untuk membesar dalam persekitaran keluarga yang harmoni.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pemeliharaan Berasaskan Keluarga (PBK) merupakan satu inisiatif kerajaan Malaysia dalam usaha memastikan kanak-kanak yang memerlukan penjagaan dan perlindungan dapat hidup dalam suasana kekeluargaan lebih harmoni.

Program ini memberi peluang kepada kanak-kanak untuk membesar dalam persekitaran keluarga, sekali gus menyokong perkembangan secara holistik serta memupuk tanggungjawab komuniti dalam membangunkan potensi kanak-kanak.

Menurut Akta Kanak-Kanak 2001, PBK termasuk pelbagai bentuk penjagaan, antaranya ibu bapa, penjaga, saudara, atau Orang Yang Layak dan Sesuai (OYLS) serta Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat.

Projek Rintis PBK: Alternatif kepada Institusi Kebajikan

Projek Rintis PBK, yang dilancarkan pada 2019, bertujuan menggantikan penempatan kanak-kanak di institusi kebajikan dengan mengutamakan penjagaan oleh ibu bapa, penjaga, atau OYLS.

Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat, Datuk Che Murad Sayang berkata, melalui Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Projek Rintis PBK penempatan PBK perlu dijadikan pilihan u.tama untuk memastikan kanak-kanak terus mendapat kasih sayang dalam persekitaran keluarga.

Katanya, sejak dimulakan, projek ini telah melibatkan seramai 42 kanak-kanak berumur antara 8 hingga 17 tahun dari pelbagai institusi kebajikan.

“Antara rumah kebajikan yang terlibat adalah Rumah Kanak-Kanak Tengku Budriah di Cheras, Rumah Kanak-Kanak Rembau di Negeri Sembilan, Shelter Home For Children di Petaling Jaya, dan Pusat Jagaan Vivekananda di Rembau, Negeri Sembilan,” katanya.

Kejayaan dan Kolaborasi PBK

Pelaksanaan projek ini turut mendapat sokongan daripada pelbagai agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga (LPPKN), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), serta Yayasan OrphanCare (OC).

Lebih menggembirakan, seorang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berjaya melanjutkan pelajaran dalam bidang Diploma Pengurusan Logistik di Kolej Profesional Mara.

Seorang lagi kanak-kanak turut menguasai kemahiran bakeri dan pastri, sehingga memperoleh pendapatan sampingan RM500 sebulan.
Selain itu, kolaborasi strategik bersama Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs) banyak membantu keluarga yang berada dalam kesempitan ekonomi.

Melalui bantuan pembinaan rumah MAIPs, dua orang kanak-kanak berjaya tinggal bersama ibu mereka, sekali gus membuktikan program ini memberikan peluang kepada kanak-kanak untuk mendapatkan penjagaan dan pendidikan yang sepatutnya.

Rancangan Perluasan PBK pada Tahun 2025

Projek Rintis PBK turut memberi tumpuan kepada usaha memperluaskan program ini di seluruh negara.

Setakat ini, seramai 304 kanak-kanak telah disaring dari institusi kebajikan yang terlibat, dengan 42 kanak-kanak mengikuti program PBK dan 17 kanak-kanak sedang dalam fasa pemantauan selama dua tahun.

Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Projek Rintis PBK yang diadakan pada 17 Julai lalu turut bersetuju untuk memperluaskan program ini kepada 15 institusi kanak-kanak di seluruh Malaysia menjelang 2025.

Ini bagi memastikan kesejahteraan kanak-kanak terus dipelihara dan semua institusi kebajikan kanak-kanak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dapat mengaplikasikan pendekatan PBK.

PBK Sebagai Langkah ke Arah Masa Depan yang Lebih Baik untuk Kanak-Kanak

Dengan pencapaian positif yang diperoleh melalui pelaksanaan Projek Rintis PBK ini, kerajaan Malaysia berhasrat untuk memperkasakan program ini sebagai alternatif utama bagi kanak-kanak yang memerlukan penjagaan, khususnya dalam suasana kekeluargaan yang menyokong perkembangan mereka secara menyeluruh.

Usaha ini diharapkan dapat mengubah persepsi bahawa kebajikan kanak-kanak adalah tanggungjawab sepenuhnya pihak kerajaan, dengan melibatkan komuniti dan keluarga dalam memainkan peranan penting untuk kesejahteraan generasi muda negara.

maklumat berkaitan Pemeliharaan
Berasaskan Keluarga (PBK)
Saringan Kanak-Kanak:
» Sejak 2019, sebanyak 304 kanak-kanak disaring dari empat institusi kebajikan.
» Saringan ini termasuk seorang kanak-kanak dari Pusat Perkembangan Kemahiran Kebangsaan Serendah, Selangor.
» Dari jumlah tersebut, 42 kanak-kanak berjaya mengikuti program PBK.
» 17 kanak-kanak dalam fasa pemantauan selama 2 tahun.
Program yang dilaksanakan:
» Bengkel Latihan Penilaian & Persediaan PBK bersama Lumos
» Bengkel Latihan Pembangunan & Penilaian Borang PBK
» Program Persediaan Kanak-Kanak & Ibu Bapa/Ibu Bapa Pelihara/OYLS
» Kempen Memperkenalkan Projek Rintis PBK kepada NGO
» Jerayawara Program PBK
» Bengkel Pelan Latihan Training of Trainers (TOT) melibatkan pelindung dari seluruh negara
» 2023: Bengkel Pelan Latihan TOT untuk Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK) di Selangor.
» 2024: Program Cakna Salah Laku Seksual untuk kanak-kanak di institusi.
» Program Pengukuhan Integrasi Keluarga dan Kanak-Kanak dengan kerjasama LPPKN.
» Program Introduksi PBK kepada pengetua dan kakitangan rumah kanak-kanak.
Kerjasama Pelbagai Agensi:
» Program PBK mendapat sokongan dari agensi kerajaan dan NGO seperti Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga (LPPKN), Lembaga Kaunselor Malaysia (LKM), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)
» Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) agensi lain, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat Kebangsaan Malaysia (MAKPEM) Yayasan OrphanCare (OC)
Rancangan Masa Depan:
» Pada Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Projek Rintis PBK Bil. 1/2024 (17 Julai 2024), dipersetujui bahawa program PBK akan diperluaskan pada tahun 2025.
» Peluasan ini akan melibatkan 15 institusi kanak-kanak di seluruh Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN