Fadhlina mahu komuniti pendidikan manfaatkan Hab STEM di IPGMK

Fadhlina mahu komuniti pendidikan manfaatkan Hab STEM di IPGMK

Fadhlina Sidek merasmikan pelancaran Hab Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus (IPGMK) Pulau Pinang, Khamis lalu. – UTUSAN/Iqbal Hamdan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Kementerian Pendidikan (KPM) mahu Hab Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang dibangunkan di 27 kampus Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGMK) dimanfaatkan sepenuhnya oleh seluruh komuniti terutama komuniti pendidik serta para pelajar untuk memperkasa pendidikan STEM.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, sebanyak 27 Hab STEM dilancarkan secara serentak di 27 IPGMK kelmarin dan ia merupakan usaha untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran siswa guru, pensyarah IPGM, guru dan murid sekolah serta komuniti dalam bidang STEM.

“Menerusi Hab STEM ini peranan IPGMK sebagai satu institusi pendidikan guru dapat diperluas dan dipertingkatkan khususnya kepakaran para pensyarah IPGMK ini dapat dimanfaatkan untuk semua pelajar serta guru di sekolah-sekolah.

“Ini merupakan satu usaha KPM dalam mengangkat pendidikan STEM di dalam negara. Jadi kita berharap 27 Hab STEM ini dapat dimanfaatkan oleh seluruh komuniti, khususnya komuniti pendidikan, masyarakat dan juga sekolah-sekolah yang berhampiran,” katanya selepas menghadiri majlis pelancaran Hab STEM di IPGMK Pulau Pinang, di sini kelmarin.

Fadhlina Sidek (dua kanan) mendengar penerangan daripada salah seorang pelajar yang mengambil bahagian dalam pameran sempena majlis pelancaran Hab STEM di IPGMK Pulau Pinang, Khamis lalu.

Hab STEM dibahagikan kepada beberapa komponen utama, termasuk pelaksanaan aktiviti STEM secara hands-on, latihan dan bengkel untuk guru dan murid di sekolah di kawasan setempat, program komuniti STEM, serta kerjasama dengan agensi luar dan industri untuk memastikan program ini relevan dan berkesan.

Setiap komponen dirancang untuk menyokong matlamat keseluruhan program iaitu untuk memperkukuh pendidikan STEM dan meningkatkan enrolmen STEM.

Menurut Fadhlina, setiap Hab STEM di IPGMK dibangunkan sejak Jun tahun ini dengan peruntukan bernilai RM12,000 oleh KPM.

fadhlina Sidek bertanya sesuatu kepada pelajar yang terlibat dengan pameran sempena pelancaran Hab STEM di IPGMK Pulau Pinang, Khamis lalu.

“Hari ini kita dapat lancarkan semua 27 Hab STEM, sebab kita telah ada persiapan awal, aktiviti, program dan modul telah pun dirancang dengan sangat baik.

“Jadi, saya betul-betul berharap semua kelengkapan yang ada di Hab STEM ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua pihak khususnya sekolah dan guru-guru STEM juga,” katanya.

Tambah beliau, Hab STEM di setiap IPGMK mempunyai kepakaran-kepakaran yang berbeza dan ia harus digunakan sepenuhnya oleh warga pendidik untuk merancakkan budaya STEM di peringkat sekolah.

“Para pendidik di peringkat sekolah boleh menggunakan kelengkapan, modul serta kepakaran yang ditawarkan di Hab STEM di setiap IPGM yang mempunyai kepakaran berbeza.

“Sebagai contoh, hari ini kita di IPG Pulau Pinang, memang kepakaran mereka adalah sangat-sangat menarik dalam bidang Sains, Matematik, Jadi, memang kita boleh memanfaatkan sepenuhnya kepakaran itu di sini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN