Ekonomi semakin kukuh, Malaysia antara terbaik di ASEAN

Ekonomi semakin kukuh, Malaysia antara terbaik di ASEAN

Belanjawan 2024 yang inklusif membolehkan ekonomi negara berkembang dan muncul sebagai antara yang terbaik di rantau ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ekonomi negara semakin berkembang dan muncul sebagai antara negara ASEAN terbaik tahun ini, didorong oleh inisiatif Belanjawan 2024 yang inklusif dan menyeluruh.

Buktinya, indeks penanda aras, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak melepasi 1,600 mata buat pertama kali dalam tempoh dua tahun pada Mei lalu, dengan rekod baharu permodalan pasaran ekuiti melebihi RM2 trilion.

Pertumbuhan ekonomi bagi separuh pertama 2024 juga meningkat kepada 5.0 peratus, berbanding 4.2 peratus yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu.

Ia didorong Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua yang berkembang pada 5.9 peratus, sekali gus mengatasi unjuran median konsensus Bloomberg iaitu sebanyak 5.8 peratus.

Ini merupakan suku tahun kedua berturut-turut menyaksikan ekonomi Malaysia berkembang lebih pesat daripada unjuran ahli ekonomi.

Pasaran tenaga kerja Malaysia turut berkembang dipacu pertumbuhan ekonomi memberangsangkan dengan peningkatan berterusan jumlah individu bekerja sementara bulangan penganggur terus menurun.

Pada Ogos 2024, tenaga buruh terus mengukuh dengan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.1 peratus merekodkan 17.22 juta orang bekerja berbanding 17.2 juta pada bulan sebelumnya, manakala kadar pengangguran bulan itu turun kepada 3.2 peratus dengan 558,500 penganggur.

Mengulas mengenai perkara tersebut, penganalisis ekonomi, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata,, kebanyakan inisiatif di bawah Belanjawan 2024 membantu mengukuhkan ekonomi negara.

“KDNK berkembang pesat ekoran peningkatan perbelanjaan penggunaan isi rumah yang turut dirangsang pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 pada April 2024, serta pelarasan gaji progresif dan gaji penjawat awam.

“Apabila pendapatan isi rumah meningkat, rakyat akan berbelanja sekali gus melonjakkan KDNK negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jelas beliau, paling penting, senario ini memberi keyakinan kepada pasaran tempatan sekali gus dapat dilihat keyakinan pelabur asing semakin meningkat.

“Ini terbukti dengan wujudnya banyak komitmen pelaburan sehingga mencecah RM170 bilion daripada syarikat gergasi antarabangsa termasuk Google dan Oracle.

“Tindakan Kerajaan Madani yang tidak menaikkan cukai korporat dalam Belanjawan 2024 turut membantu pengukuhan ekonomi. Ini kerana cukai korporat Malaysia sepadan dengan kedudukan ekonomi kita malah lebih rendah berbanding negara-negara jiran,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, pendirian kerajaan yang mahu mengecilkan angka defisit fiskal dalam Belanjawan 2024 merupakan suatu hala tuju yang perlu dikekalkan.

Katanya, perkara ini penting bagi memastikan setiap perbelanjaan yang dikeluarkan akan memanfaatkan rakyat dan menggalakkan produktiviti.

“Selain itu, insentif-insentif cukai terutamanya bagi menggalakkan aktiviti pelaburan swasta juga perlu diteruskan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi akan lebih berkualiti seperti mewujudkan permintaan yang tinggi bagi buruh tempatan berkemahiran serta menggalakkan penggunaan teknologi dalam perniagaan mereka.

“Justeru, naratif ini perlu diteruskan bagi memastikan setiap sumber yang dibelanjakan akan mendatangkan pulangan kepada rakyat dalam tempoh sederhana dan panjang,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN