Cungkil bakat golf dari bangku sekolah

Cungkil bakat golf dari bangku sekolah

MOHD. HAIRI Md. Shah membuat pukulan sebagai gimik perasmian Johor Golf Expo 2024 di Kelab Golf Senibong, Iskandar Puteri, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri berhasrat mengembangkan sukan golf sejak bangku sekolah dalam usaha melahirkan lebih ramai atlet dalam sukan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd. Hairi Md. Shah berkata, inisiatif tersebut antara lain bagi merakyatkan sukan golf, sekali gus mengubah stigma masyarakat yang menganggapnya untuk golongan elit sahaja.

Katanya, kerajaan negeri berharap dapat melahirkan lebih ramai atlet berbakat bagi mengikut jejak pemain golf wanita utama negara, Kelly Tan dan Alyaa Abdulghany yang merupakan anak jati negeri ini.

“Sehubungan itu, Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) akan mencungkil bakat pelajar sekolah dengan meletakkan sukan golf ini sebagai kokurikulum teras.

“Program pembangunan sukan ini sudah ada, cuma ia akan diperluas bagi menyokong perkembangan sukan golf di negeri ini,” katanya selepas merasmikan Johor Golf Expo 2024 (JGE2024) di Kelab Golf Senibong, Gelang Patah, dekat sini yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ), Datuk Lukman Abu Bakar.

JGE 2024 diadakan buat julung kalinya untuk merakyatkan sukan golf selain menggalakkan pertumbuhan ekonomi menerusi kedatangan pelancong serta menggalakkan pelaburan dalam industri berkenaan.

JGE2024 menjadi medan bagi lebih 1,000 peserta dalam pelbagai kategori pertandingan golf termasuk Pro-Am Antarabangsa, Kejohanan Remaja MGA, Kejohanan Wanita dan aktiviti lain seperti Foot Golf dan Hari Keluarga Fairway.

Sempena penganjuran JGE2024, seramai 70 pempamer termasuk penggiat industri seperti syarikat perhotelan, pengendali kelab-kelab golf dan syarikat teknologi sukan golf turut serta dalam acara itu.

Dalam pada itu, Mohd. Hairi berharap usaha yang akan dilaksanakan itu mendapat sambutan baik sekali gus mencapai hasrat melahirkan permata baharu dalam sukan golf.

“Kita berharap sukan golf terus berkembang dan mampu melahirkan atlet pelapis yang mampu diketengahkan pada Sukan Malaysia (Sukma) 2026,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN