CENTEXS, AIROD-ADC tubuh akademi latihan penerbangan bebas di Sarawak

CENTEXS, AIROD-ADC tubuh akademi latihan penerbangan bebas di Sarawak

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg (tiga dari kanan), Syeed Mohd (empat dari kanan) dan Naib Presiden Kanan, Pertahanan & Pembuatan, Kumpulan NADI, Suffian Eltrada ketika melawat reruai pada Program Pelancaran Akademi Penerbangan di CENTEXS Lundu, Sarawak semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Aviation Design Centre – AIROD (AIROD-ADC) untuk menubuhkan akademi latihan penerbangan bebas di Sarawak.

Ketua Pegawai Eksekutif CENTEXS, Datuk Syeed Mohd Hussien berkata, kerjasama itu menandakan peristiwa penting untuk memartabatkan Sarawak sebagai peneraju dalam latihan penerbangan dan aeroangkasa. 

Katanya, ia bukan sahaja bertujuan menjadikan Sarawak sebagai hab global dalam latihan penerbangan dan aeroangkasa, malah menekankan amalan mampan dan pembangunan modal insan.

“Kerjasama ini selaras dengan visi Sarawak untuk membangunkan syarikat penerbangannya sendiri serta memanfaatkan perkembangan sektor penerbangan di rantau ini.

“Kami komited menyediakan program latihan bertaraf dunia yang bukan sahaja memenuhi permintaan industri tetapi turut menyumbang kepada pembangunan mampan tenaga kerja tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perjanjian itu turut disokong oleh Kerajaan Negeri Sarawak dan rakan strategik utama Kumpulan Syarikat Aeroangkasa dan Industri Pertahanan Negara (Kumpulan NADI).

Mengulas lanjut, Syeed berkata, menerusi kerjasama ini, CENTEXS dan AIROD-ADC akan melaksanakan beberapa program latihan teknikal yang direka bagi melengkapkan belia dan tenaga kerja Sarawak dengan kemahiran yang diperlukan.

Katanya, program latihan tersebut merangkumi empat bidang utama iaitu latihan dan pembekalan modal insan pembuatan serta latihan dan pembekalan modal insan MRO (Maintenance, Repair, and Overhaul).

“Dua lagi adalah latihan lanjutan dan pembekalan juruterbang termasuk latihan untuk pesawat tertentu dan latihan dan pembekalan kru kabin.

“Bagi menyokong inisiatif ini, CENTEXS dan Airod-ADC akan melancarkan enam program latihan termasuk pensijilan dalam penyelenggaraan pesawat, pemesinan aeroangkasa dan avionik.

“Selain mempromosikan kecemerlangan teknikal, perkongsian ini juga akan memberi tumpuan kepada usaha kelestarian Sarawak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN