PETALING JAYA: Kerajaan terus komited dalam membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat melalui pelbagai inisiatif bantuan tunai seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan bantuan persekolahan.
Langkah-langkah ini dilihat penting dalam meringankan beban kewangan, terutamanya golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40), sekali gus memastikan setiap rakyat mendapat akses kepada keperluan asas dengan lebih mudah dan teratur.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, bantuan kewangan yang diberikan oleh Kerajaan Madani sememangnya telah memberi kesan positif kepada ramai rakyat memerlukan.
“Tidak dinafikan ia membantu meringankan beban kewangan rakyat yang terkesan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat. Ia bukan sahaja menyokong keperluan asas, tetapi juga memastikan golongan yang memerlukan terus mendapat sokongan sewajarnya.
“Kerajaan Madani lebih fokus kepada memastikan bantuan ini disalurkan dengan lebih tepat, praktikal, dan cekap, serta melibatkan lebih ramai penerima,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, kerajaan telah membuat penambahbaikan untuk program SARA 2024, termasuk memperluas kelayakan penerima kepada golongan miskin dan miskin tegar, berbanding tahun sebelumnya yang hanya tertumpu kepada golongan miskin tegar.
Kadar bantuan untuk isi rumah juga dinaikkan kepada RM1,200, manakala bantuan untuk golongan bujang kekal pada RM600.
Selain itu, penggunaan kredit program SARA diperluas untuk membeli barang keperluan seperti barangan kebersihan diri, ubat-ubatan, dan peralatan sekolah, di samping makanan asas.
Dengan perubahan itu, program SARA 2024 diluaskan kepada lebih 700,000 penerima, berbanding hanya 210,000 pada tahun sebelumnya. Penerima layak boleh menggunakan myKAD mereka untuk membeli barangan keperluan asas di kedai-kedai berdaftar.
Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah mengumumkan peruntukan STR ditingkatkan kepada RM10 bilion daripada RM8 bilion yang diperuntukkan pada 2023, sekali gus memanfaatkan penerima meliputi hampir 60 peratus penduduk dewasa Malaysia.
Selain itu, Bantuan Awal Persekolahan pula sebanyak RM150 secara one-off kepada semua murid untuk meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan keperluan sekolah.
Membuktikan keberkesanan insentif kerajaan menerusi Belanjawan 2024 itu, seorang penerima bantuan STR, Nurhayani Wasil menyatakan rasa syukurnya kerana bantuan STR yang diterima sangat membantu meringankan beban kos sara hidup beliau tanpa terlalu terbeban dengan kenaikan harga barang.
“Sebagai suri rumah yang bergantung pada satu punca pendapatan, saya sering risau tentang perbelanjaan harian. Namun, dengan adanya bantuan seperti STR dan Program Jualan RAHMAH MADANI, saya berasa lebih tenang.
“Bantuan persekolahan juga sangat membantu dalam memenuhi keperluan sekolah anak-anak dan berharap Belanjawan 2025 menyediakan lebih banyak bantuan kepada rakyat yang memerlukan seperti saya,” katanya.
Pekerja swasta, Muhammad Izzuddin Rosli pula menyatakan sebagai golongan belia, pelajar universiti, dan graduan baharu yang baru memulakan kerjaya, inisiatif kerajaan bantuan tunai itu amat dialu-alukan dan disambut hangat oleh rakyat.
“Langkah-langkah ini bukan sahaja membantu kami menguruskan perbelanjaan harian dengan lebih baik, tetapi juga memberikan sokongan kewangan yang diperlukan dalam fasa peralihan ke dunia pekerjaan.
“Sebagai graduan yang baru menapak dalam alam pekerjaan, kos sara hidup yang tinggi boleh menjadi beban, dan bantuan ini membantu meringankan tekanan kewangan, membolehkan kami memberi tumpuan kepada kerjaya dan pembangunan diri dengan lebih yakin,” katanya. – UTUSAN