Amanat Zambry bakar semangat mahasiswa

Amanat Zambry bakar semangat mahasiswa

Zambry Abd Kadir sempat bermesra dengan para mahasiswa semasa lawatan beliau ke UKM pada 29 September lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Minggu Pendaftaran Mahasiswa Baharu yang berlangsung serentak di hampir semua IPTA dalam negara baru sahaja melabuhkan tirai, namun bahangnya masih terasa.

Pelbagai penjenamaan menarik diberikan oleh IPTA buat sesi ini, bersesuaian dengan halatuju dan aspirasi masing-masing. Ia pastinya mempunyai nilai dan maksud tersendiri yang perlu diselami oleh semua mahasiswa.

Jika Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menggelar minggu suai kenal ini sebagai Minggu Mesra Mahasiswa, Universiti Malaya (UM) pula menjenamakannya sebagai Minggu Haluansiswa atau UM WOW (Week of Welcome). Di Universiti Putra Malaysia (UPM), minggu yang sama dikenali Minggu Perkasa Putra.

Walau apa jua penjenamaan diberi, minggu suai kenal berlangsung meriah di semua IPTA, pastinya mencoret pelbagai kenangan manis buat semua mahasiswa baharu dan ibu bapa mereka.

In Person with Doc Zam

Di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), minggu pendaftaran mahasiswa baharu diterjemahkan sebagai Minggu Apresiasi Watan atau MAW. Antara aktiviti yang membekas di hati para mahasiswa adalah Sesi Alumni Tersohor, Naratif Kemaraan Watan dan Ikon Hebat, Program UKM Berselawat: Demimu Palestin yang dipimpin oleh alumni UKM iaitu Ustaz Dr. H. Das’ad Latif serta program Megafit Batik@UKM yang berjaya meraih pengiktirafan Malaysia Book of Records.

Lebih menarik, apabila sesi ‘In Person with Doc Zam’ berjaya diadakan buat julung kalinya pada tahun ini. UKM bertuah kerana telah terpilih sebagai lokasi pertama untuk menerima kunjungan Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir pada 29 September 2024.

Sorakan gempita 6,718 orang pelajar baharu di saat Menteri Pendidikan Tinggi kesayangan ramai ini melangkah masuk ke Dewan Canselor Tun Abdul Razak UKM begitu menggetar rasa.

Ternyata sesi bual santai bersama Doc Zam begitu bermakna buat para mahasiswa. Karisma dan nilai kepimpinan tanpa sempadan yang ditonjolkan oleh menteri begitu menyentuh hati nurani.

Jika tidak dipecah ruyung, di mana boleh mendapat sagu. Inilah antara intipati perkongsian santai Doc Zam yang pernah melalui pelbagai cabaran sebelum mengecapi kejayaan.

Justeru, kesukaran hidup seharusnya dijadikan dorongan dan bukan alasan untuk terus berusaha. Tidak menafi cabaran hari ini jauh lebih hebat dan besar, beliau turut menekankan kepentingan sebuah tekad dan wawasan dalam memacu kecemerlangan. Ia satu kemestian kerana kecemerlangan bukanlah sesuatu yang boleh dikompromi.

Zambry turut menggalakkan mahasiswa untuk aktif berpersatuan. Beliau percaya, semua pelajar mempunyai ciri-ciri serta nilai kepimpinan yang berbeza. Justeru, aktiviti berpersatuan dapat mencungkil potensi dan bakat di samping mengasah kemahiran memimpin sedia ada. Tidak mahu ada lagi graduan yang bersifat seperti katak di bawah tempurung, beliau turut menggesa semua mahasiswa memperluaskan aktiviti pembacaan agar tidak hanya terhad kepada jurusan masing-masing.

Sejurus selesai sesi ‘In Person with Doc Zam’ di UKM, Zambry meneruskan jelajah bual santai beliau bersama para mahasiswa dari IPTA yang lain pula.

Kami para Naib Canselor dan Rektor Universiti Awam sederap menyokong gagasan Doc Zam ini dengan sepenuh hati. Berbekalkan amanat dan suntikan semangat yang diberi oleh pemacu utama Kementerian Pendidikan Tinggi, kami percaya, para mahasiswa pastinya sudah bersedia untuk mengorak langkah mereka.

Kekal Relevan

Walaupun hadir dengan karisma yang berbeza, minggu pendaftaran ini pastinya menjadi pengalaman berharga buat para mahasiswa baharu di seluruh negara. Di UKM, MAW akan kekal relevan meskipun sistem pendidikan tinggi negara sentiasa beradaptasi dengan pelbagai perubahan. UKM percaya pengalaman sepanjang MAW merupakan suatu proses penting yang membentuk semangat kekitaan serta jiwa Watan dalam kalangan mahasiswa baharu.

Tahniah diucapkan kepada semua Naib Canselor dan Rektor Universiti Awam Malaysia termasuk pentadbiran Hal Ehwal Pelajar dan Alumni universiti yang sentiasa berusaha menjadikan minggu pelajar baharu bermanfaat, menarik dan berinovatif.

Semoga perjalanan dan usaha yang direncana membuahkan keberhasilan yang berguna buat masyarakat dan negara.

Saya percaya, universiti bukanlah sekadar gedung ilmu yang menggerak percambahan minda, tetapi turut berperanan sebagai sebuah makmal pembangunan insan madani yang bersifat holistik dan terkehadapan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN