Alam Flora berwajah baru

Alam Flora berwajah baru

ALAM Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora) tampil dengan wajah baru melalui pelancaran jentera pengurusan sisa pepejal berteknologi terkini dan rekaan semula pakaian seragam kakitangan serta kontraktor mereka. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Demi memodenkan dan meningkatkan standard perkhidmatan pengurusan sisa pepejal di negara ini, Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora) kini tampil dengan wajah baru melalui pelancaran jentera pengurusan sisa pepejal berteknologi terkini dan rekaan semula pakaian seragam kakitangan dan kontraktor mereka.

Anak syarikat Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) itu turut tampil dengan penggunaan aplikasi digital terkini, Super-App ‘Recyclink’ demi meningkatkan interaksi dalam talian dengan pelanggan, khususnya memudahkan pelaksanaan aktiviti kitar semula yang memberi pulangan kepada pelanggan melalui sistem ganjaran.

Badadrulhisyam Fauzi

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Badadrulhisyam Fauzi berkata, langkah transformasi Alam Flora ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan syarikat dalam meningkatkan kecekapan operasi, keselamatan, penerapan teknologi terkini dan amalan lestari.

Kata beliau, pelancaran fasa pertama dengan 305 unit jentera baru menampilkan teknologi enjin terkini yang mengurangkan pelepasan gas dengan ketara dan memenuhi piawaian alam sekitar global.

Perolehan jentera baru itu meliputi 154 lori kompaktor, 37 kenderaan Powerpress, 77 trak Armroll, 20 kenderaan utiliti Triton dan 17 jentolak.

“Peningkatan ini menyokong inisiatif hijau Malaysia dan turut menyumbang kepada matlamat pengurangan karbon negara,” katanya pada majlis pelancaran Alam Flora Wajah Baru di sini, semalam.

Pelancaran wajah baru itu disempurnakan Pengerusi Alam Flora, Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan turut dihadiri Ahli Lembaga Pengarah Alam Flora merangkap Naib Pengerusi Eksekutif Malakoff Corporation Berhad, Tan Sri Che Khalid Mohamad Noh.

ABU Kassim Mohamed (kiri) menyempurnakan pelancaran Alam Flora Wajah Baru di Putrajaya, semalam.

Dengan kos berjumlah RM160 juta bagi perolehan jentera baru itu, ia adalah sebahagian daripada komitmen Alam Flora untuk mengintegrasikan teknologi terkini ke dalam operasinya.

Lebih menarik, lori kompaktor baru ini mempunyai sistem pengangkat tong dwi fungsi, iaitu mampu mengangkat dua tong serentak mengikut Piawaian Eropah EN 1501-05, yang membolehkan pengumpulan sisa lebih cekap dan pantas sekali gus berupaya memperluas kawasan liputan dalam masa singkat.

Sistem operasi pengurusan turut dipertingkat bagi menambah baik perancangan laluan, kecekapan bahan api dan mengurangkan pelepasan karbon bagi melancarkan lagi perkhidmatan kutipan sisa dan memperkukuh matlamat Alam Flora bagi mencapai proses pengurusan sisa yang mampan dan mesra alam.

Lori kompaktor ini kini dilengkapi dengan sistem tangki leachate yang lebih baik, memberikan pengurusan bau yang lebih berkesan dan ketahanan yang ditingkatkan.

“Peningkatan ini bukan sahaja membantu melancarkan operasi kami dan mengurangkan beban mekanikal pada kenderaan – memanjangkan jangka hayat mereka dan menurunkan kos penyelenggaraan – tetapi turut menyumbang kepada pemuliharaan alam sekitar melalui peningkatan kecekapan,” katanya.

Pada masa sama, seragam baru Alam Flora direka untuk memberikan visibiliti lebih jelas, ciri keselamatan yang dipertingkat dan memberi lebih keselesaan kepada ribuan pekerja barisan hadapan yang berdedikasi dan memainkan peranan penting dalam mengekalkan kebersihan awam.

Seragam ini diperbuat daripada bahan tahan lasak dan boleh ‘bernafas’ demi melindungi kakitangan dan kontraktor dalam pelbagai keadaan persekitaran, selain meningkatkan imej professional dan mengiktiraf peranan penting mereka dalam memastikan komuniti bersih dan selamat.

Badadrulhisyam berkata, Super-App ‘Recyclink’ pula bertujuan merevolusikan aktiviti kitar semula dan usaha kelestarian alam sekitar dengan memberi kemudahan kepada pelanggan dalam meningkatkan pengalaman mereka melalui aktiviti kitar semula.

Melalui aplikasi ini, pengguna boleh melaksanakan kitar semula secara tanpa tunai dengan sistem ganjaran, serta mengurangkan keperluan penggunaan kertas fizikal.

Ini termasuk sebagai satu platform bagi kerjasama sektor swasta, terutamanya dalam memenuhi keperluan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) melalui perkongsian perniagaan-ke perniagaan (B2B).

Aplikasi ini turut menawarkan perkhidmatan robochat untuk memperbaiki sokongan pelanggan dan merancang pelaksanaan sistem sokongan operasi, termasuk tong pintar dan kutipan barangan kitar semula secara pukal sekali gus menonjolkan komitmen Alam Flora terhadap transformasi digital dan kelestarian alam sekitar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN