PETALING JAYA: Kira-kira 300 pemain bola sepak di peringkat akar umbi yang mewakili 20 pasukan berentap memburu kejuaraan dalam Kejohanan Piala AZKA U12 2024 di Padang Astaka, Kuala Berang, Terengganu pada 31 Oktober ini.
Kejohanan anjuran AZKA Group Sdn. Bhd. dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Daerah Hulu Terengganu (PBSDHT) itu memberi fokus kepada penyertaan pelatih-pelatih di bawah usia 12 tahun tempatan dan jemputan pasukan luar jika kuota masih tersedia.
Ahli Jawatankuasa kejohanan, Hanafi Md. Hussin berkata, objektif utama penganjuran Kejohanan Piala AZKA U12 2024 adalah mengasah bakat pemain muda di bawah usia 12 tahun dan mendedahkan mereka dengan suasana pertandingan yang sihat.
“Kami juga berharap penganjurannya dapat meningkatkan sosioekonomi penduduk setempat menerusi kehadiran pengunjung yang menyewa inap desa serta mempromosikan kawasan Hulu Terengganu,” katanya.
Menurut Hanafi, pada masa sama, penganjuran kejohanan tu dapat memperkenal aktiviti AZKA Group Sdn. Bhd. sebagai ‘Rakan Bina Rumah Anda’ yang giat menjalankan pemajuan hartanah dan pembinaan rumah di atas tanah sendiri.
“Kejohanan Piala AZKA bukan sekadar platform untuk pemain muda mempamer bakat mereka, tetapi satu peluang untuk mengeratkan hubungan antara komuniti setempat dengan syarikat ini,” katanya.
Menggunakan format pertandingan sembilan sebelah, kejohanan ini menampilkan empat kumpulan yang mana lapan pasukan terbaik mara ke suku akhir. Setiap perlawanan berlangsung selama 20 minit separuh masa.
Juara bakal membawa pulang hadiah RM1,200, piala pusingan, medal, serta e-sijil. Pasukan naib juara pula menerima RM800 manakala tempat ketiga bersama masing-masing membawa pulang RM400.
Yuran penyertaan ditetapkan sebanyak RM350, dengan tarikh tutup pendaftaran pada 20 Oktober ini.
Orang ramai dijemput beramai-ramai hadir menyaksikan aksi sengit semua pasukan bertanding selain memeriahkan kejohanan sekali gus sebagai tanda sokongan terhadap program pembangunan akar umbi bola sepak. – UTUSAN