PETALING JAYA: Seramai 26,534 pelajar ijazah sarjana muda Institut Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) layak menerima Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang membabitkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM39.8 juta.
Tawaran tersebut diberikan kepada pelajar terlibat yang akan memasuki kampus bagi kemasukan bulan Oktober.
WPP yang bernilai RM1,500 adalah bertujuan menampung sebahagian perbelanjaan bagi persiapan awal pelajar memasuki Universiti Awam dan Politeknik sekali gus menjaga kebajikan para pelajar.
Syarat pemberian WPP adalah pelajar perlu membuat persetujuan menerima WPP melalui saluran yang ditetapkan oleh PTPTN dan mestilah warganegara Malaysia.
Selain itu, ibu bapa atau penjaga pelajar juga perlu terdiri daripada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta memenuhi kriteria kelayakan yang ditetapkan.
Menurut pelajar dari Kota Belud, Sabah, Ainatul Batrisyia Mohd Fared, 20, WPP akan membantunya yang akan melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam jurusan Pendidikan Sejarah.
“Alhamdulillah saya sangat bersyukur, walaupun tidak dapat melangsaikan semua yuran pengajian tapi WPP ini membantu saya untuk membayar separuh daripada nilai keseluruhan yuran pengajian.
“WPP ini perlu diteruskan kerana ramai golongan b40 tidak mempunyai sumber kewangan yang tetap. Ini merupakan satu sumber yang boleh membantu golongan b40 untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, pendapatan keluarganya tidak menentu kerana pekerjaan bapanya tidak tetap dan ibunya seorang peniaga kuih muih.
Ainatul Batrisyia merupakan anak yang kedua daripada tiga adik beradik dan anak yang pertama menyambung pelajaran ke IPTA.
Dengan bantuan WPP, impian Ainatul Batrisyia untuk melanjutkan pelajaran tercapai dan menjadi harapan keluarga dalam memberikan kekuatan kepada adik beradik agar mengikuti jejaknya.
Dalam pada itu, pelajar yang terpilih untuk ke Universiti Utara Malaysia (UUM), Yee Ling, 20, berkata, WPP ini sangat membantu dirinya serta keluarga dalam membeli barang keperluan dan kehendak yang diperlukan sebelum masuk ke universiti.
Yee Ling yang berasal dari Pulau Pinang dan merupakan anak pertama daripada dua adik beradik yang melanjutkan pelajaran ke IPTA turut meluahkan hasrat untuk menghabiskan pengajian serta memberi kejayaan dan kebanggaan kepada keluarga setelah tamat pengajian nanti.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi PTPTN, Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim kerana memberi peluang kepada saya untuk menerima WPP.
“WPP ini perlu diteruskan bagi membantu pelajar-pelajar dalam menyelesaikan masalah kewangan dalam memberi barang persediaan untuk masuk ke universiti,” katanya.
WPP yang diperkenalkan sejak 1999 telah berjaya memanfaatkan seramai 980,120 pelajar membabitkan peruntukan berjumlah RM1.45 bilion hingga 31 Ogos lalu.
Sehubungan itu, pelajar boleh membuat semakan tawaran WPP mulai 24 September melalui aplikasi myPTPTN.
Pelajar juga boleh menunaikannya di kaunter Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) di seluruh negara dengan hanya perlu membawa bersama cetakan surat tawaran WPP dan juga MyKad pelajar serta tidak dibenarkan jika menghantar wakil.
Tempoh sah laku WPP adalah selama dua bulan iaitu mulai Selasa ini hingga 23 November ini.
PTPTN juga menasihatkan agar tidak menunaikan WPP ini bagi pelajar yang tidak berhasrat untuk mendaftar ke Universiti Awam dan Politeknik atau untuk memohon pinjaman PTPTN.-UTUSAN