PENGALAMAN menguruskan acara melibatkan pemimpin tertinggi dua negara bukan tugasan mudah, tetapi tanggungjawab itu berjaya digalas Pengasas The Fame Events Sdn. Bhd., Sylvia Tan.
Sentuhan kepemimpinan dan kreativitinya membolehkan penganjuran acara pecah tanah Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) stesen Gombak, Jun lalu mendapat pujian ramai dengan dihadiri individu penting, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier China, Li Qiang.
“Hadirin terutama wakil China, teruja dan berbangga kerana majlis berlangsung meriah.
“Hasilnya di luar jangkaan mereka termasuk dengan rekaan lokasi tapak yang kelihatan seperti separa kekal,” katanya kepada Seri.
Selain ECRL, banyak lagi acara besar melibatkan pelabur China yang berjaya dikendalikan bersama pasukannya.
Terbaharu, Persidangan Usahawan China Dunia (WCEC) yang disertai 3,000 peserta di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Dengan pencapaian itu, tidak hairanlah apabila Sylvia digelar sebagai perancang acara terunggul di negara ini.
Beliau bukan sekadar menawarkan pengalaman berharga kepada pelanggan, tetapi turut menjadi jambatan dalam mengeratkan hubungan antara Malaysia dan China.
Misi Sylvia kini adalah untuk menarik lebih ramai penganjur persidangan antarabangsa agar memilih negara sebagai lokasi tuan rumah.
Langkah itu sekali gus menjana pendapatan kepada sektor pelancongan negara dan mengukuhkan nilai ringgit yang dapat dilihat menerusi tempahan hotel, bas persiaran, kunjungan ke destinasi popular dan aktiviti beli-belah.
Berkongsi pengalamannya, kata Sylvia, cabaran utama dalam pengendalian acara adalah dari segi protokol dan diplomasi.
Ia termasuk nama VIP, kedudukan kerusi mahupun ketika mereka berjalan, siapa yang patut mendahului senarai.
“Ada kalanya pegawai atau wakil kedua-dua negara memberikan protokol salah dan saya perlu menggunakan kebijaksanaan dalam seni berkomunikasi untuk memberi penjelasan tepat,” katanya.
Cabaran lain ialah daripada aspek keselamatan, penyebaran maklumat media dan perubahan saat akhir.
“Perubahan saat akhir sinonim dengan mana-mana acara, namun saya mengambil pendekatan fleksibel dan bersedia menerima sebarang pembaharuan bagi melancarkan majlis,” katanya yang anggun dalam persalinan dress midi biru diraja berselendang melingkari leher.
Sisi kreatif gapai impian
Penglibatan wanita berusia 40 tahun ini dalam perancangan acara, berlaku tanpa dirancang, berikutan minat mendalam pada hal-hal kreatif.
Pemegang Ijazah Sarjana Pengurusan Pembinaan Undang-Undang dan Sarjana Muda Ukur Bahan dari Universiti Teknologi Mara (UTM) ini, pada asalnya berkhidmat sebagai juru ukur bahan selama dua tahun.
Namun, beliau nekad berhenti kerja bagi menggapai impian bergelar perancang perkahwinan.
“Sebenarnya saya sudah lupa tentang impian zaman kecil itu sehinggalah bertemu dengan seorang kawan lama yang menyuntik kembali semangat saya.
“Saya bermula dengan bekerja sambilan di butik perkahwinan selama enam bulan, sebelum mengikuti kursus perancangan perkahwinan hingga mampu membuka syarikat dan menjadi tutor,” katanya.
Bakat keusahawanannya digilap bila mengusahakan perniagaan sendiri.
Setelah dua tahun terlibat dalam bidang perancangan perkahwinan, ibu kepada seorang anak perempuan ini memilih terjun ke acara korporat.
Bidang berkenaan diteroka atas saranan bekas majikannya, bahkan turut berpeluang menghadiri program berprestij di Amerika Syarikat (AS).
“Sekembalinya ke tanah air, saya dapati kebanyakan acara-acara korporat di Malaysia sangat biasa, maka saya buat keputusan untuk mulakan langkah dalam bidang ini.
“Kelebihan The Fame kerana kami semua minat seni, budaya dan gaya penceritaan yang unik.
“Kesemua elemen itu apabila digabungkan membantu memupuk keyakinan dan menambat hati pelanggan sekali gus membolehkan saya mendapat projek-projek daripada jenama mewah atau berprofil tinggi,” katanya.
Pecah dominasi lelaki
Industri pengurusan acara lazimnya didominasi lelaki. Tidak ramai wanita mahu berkecimpung di dalamnya.
“Barangkali sebab situasi ketidakpastian dan sering berubah-ubah yang berlaku sebelum dan semasa acara.
“Ia termasuk keperluan bekerja di hujung minggu yang mungkin menjadi kekangan wanita khususnya yang sudah berkeluarga.
“Tugasan ini mungkin nampak seronok dan indah pada hari kejadian, tetapi menuntut kerja keras dan perancangan strategik selama berminggu-minggu dengan pelanggan,” katanya.
Walaupun perniagaannya berada di kedudukan kukuh, namun Sylvia enggan leka dalam zon selesa.
Sebaliknya mahu memperbaiki tahap penyampaian dan perkhidmatan dengan meneroka teknologi yang lebih inovatif.
Antara yang baharu diperkenalkan ialah penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi terjemahan secara langsung.
Dalam perkembangan sama, Sylvia turut berhasrat melebarkan sayap syarikat ke Singapura, di samping menawarkan pakej penjenamaan dan pemasaran menyeluruh kepada pelanggan.
kualiti masa keluarga.
Menyediakan hidangan sarapan pagi pada hujung minggu merupakan antara cara Sylvia meluangkan masa berkualiti bersama keluarganya.
Antara menu air tangannya yang digemari suami, Yaep Chin Yan, 46, dan anak, Yaep Genvie, 10, ialah mi.
Masa terluangnya diisi dengan menemani puteri tercinta ke kelas gimnastik dan badminton.
“Saya selalu beritahu suami dan anak, saya mungkin jarang bersama mereka tetapi bukan kuantiti jadi ukuran.
“Sebab itu seboleh-bolehnya pada hujung minggu saya cuba memasak untuk keluarga walaupun menunya seringkas mi,” katanya.
Susun buku setiap sudut
Kesibukan kerja tidak penghalang Sylvia berdamping dengan buku bagi menambahkan lagi ilmu pengetahuannya.
Rutin hariannya diisi dengan membaca sekurang-kurangnya tiga genre buku berbeza dengan yang terbaharu berkaitan program Neuro Linguistic (NLP).
“Saya letak buku di setiap sudut contohnya di pejabat, dalam bilik tidur dan kereta. Bila ada masa terluang, saya cuba baca beberapa helaian muka surat.
“Saya turut melanggan buku audio bagi didengari ketika memandu,” katanya yang memiliki lebih 100 koleksi buku.
Kebelakangan ini, genre bahan bacaan kegemaran Silvia ialah berkaitan motivasi.
Sebelum ini, beliau pernah menghasilkan buku bertajuk, Professional Events with Brand Character & Honour.