Sultan Nazrin rasmi Menara SSM Perak

Sultan Nazrin rasmi Menara SSM Perak

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah melakukan gimik perasmian Menara SSM Perak di Ipoh, semalam. – UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian Menara Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Perak yang terletak di Basco Avenue@Kepayang di sini, semalam.

Keberangkatan tiba baginda diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim. Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali; Pengerusi SSM, Ahmad Sabki Yusof dan Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Nor Azimah Abdul Aziz.

Menara SSM Perak

Pada majlis tersebut, Sultan Nazrin berkenan menitahkan lafaz perasmian dan menyempurnakan gimik perasmian serta menandatangani plak sebagai menyempurnakan majlis perasmian.

Majlis perasmian tersebut merupakan peristiwa bermakna buat SSM, selepas mula beroperasi 32 tahun lalu iaitu pada tahun 1992 di Bangunan Seri Kinta.

Setahun kemudian berpindah ke Kompleks Islam Darul Ridzuan dan dikenali sebagai Pejabat Pendaftar Perniagaan.

Pada tahun 2000, pejabat SSM Perak berpindah ke Bangunan Persekutuan Ipoh, sebelum berpindah lagi ke Greentown Mall, yang kini dikenali Angsana Mall pada tahun 2004.

Tahun 2021 menandakan detik permulaan bersejarah bagi SSM negeri Perak, kerana tidak perlu lagi menyewa bangunan lain bagi menawarkan perkhidmatan terbaik kepada komuniti niaga di negeri ini.

Pada tahun tersebut, SSM Negeri Perak berpindah ke bangunan miliknya sendiri, iaitu Menara SSM Perak yang megah berdiri di Jalan Basco Kepayang, Ipoh.

Menara SSM Perak merupakan bangunan serba moden yang berkeluasan 175,853 kaki persegi dilengkapi pelbagai prasarana serta infrastruktur seperti parkir, kedai serbaneka, kafe dan surau di samping mempunyai kawalan keselamatan 24 jam.

Dengan kekuatan seramai 49 orang warga kerja, pejabat SSM Perak menawarkan perkhidmatan di tingkat bawah menara 10 tingkat itu.

Berucap pada majlis tersebut, Armizan berkata, kewujudan bangunan milik SSM di negeri Perak bukan sahaja selari dengan visi SSM untuk menjadi pendaftar dan pengawal selia korporat terunggul, tetapi juga memperkukuh komitmen SSM dalam menyokong perkembangan komuniti perniagaan tempatan.

Beliau berkata, Menara SSM Perak mencerminkan usaha berterusan dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan serta kemudahan yang disediakan kepada pelanggan, menjadikannya sebagai pusat utama untuk keperluan entiti-entiti perniagaan di negeri ini.

“Ia juga merupakan manifestasi komitmen kerajaan dalam menyediakan kemudahan terbaik untuk rakyat, khususnya dalam hal-hal berkaitan pendaftaran entiti perniagaan, pematuhan undang-undang syarikat serta pelaksanaan amalan korporat yang telus dan bertanggungjawab.

“Inisiatif ini mencerminkan usaha gigih kerajaan untuk memastikan setiap aspek pengurusan entiti perniagaan dijalankan dengan penuh berintegriti dan berkesan,” katanya.

Sementara itu, dalam perutusan sempena majlis perasmian menara tersebut, Ahmad Sabki berkata, Menara SSM Perak adalah simbol komitmen SSM untuk terus meningkatkan kecekapan operasi, memudahkan urusan pendaftaran syarikat dan perniagaan serta memastikan amalan korporat yang lebih telus dan bertanggungjawab di negeri ini.

“Diharapkan dengan wujudnya Menara SSM Perak ini, perkhidmatan kepada komuniti perniagaan di negeri ini akan terus dipertingkatkan di samping memacu pertumbuhan ekonomi negeri dan membuka lebih banyak peluang perniagaan serta pelaburan,” katanya.

Majlis perasmian tersebut merupakan peristiwa bermakna buat SSM, selepas mula beroperasi 32 tahun lalu iaitu pada tahun 1992 di Bangunan Seri Kinta.

Dalam pada itu, Nor Azimah berkata, Menara SSM Perak merupakan bangunan serba moden untuk memudahkan urusan dan transaksi perniagaan bagi komuniti korporat dan orang awam di negeri ini.

Menurutnya, walaupun hampir semua perkhidmatan SSM kini boleh diakses secara atas talian, Menara SSM ini tetap menjadi pusat yang penting bagi rakyat negeri ini untuk mendapatkan khidmat nasihat secara bersemuka dan menjalankan urusan perniagaan dengan lebih efisien.

“Dilengkapi dengan pelbagai prasarana dan infrastruktur, Menara SSM Perak ini diharapkan menjadi pemangkin kepada kemajuan sektor perniagaan di negeri ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN