Sokongan pekerjaan bagi orang kurang upaya di Malaysia

Sokongan pekerjaan bagi orang kurang upaya di Malaysia

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri menyantuni Orang Kurang Upaya (OKU) yang sentiasa mendapat perhatian daripada kementerian itu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Orang Kurang Upaya (OKU) atau lebih dikenali sebagai insan yang mempunyai kekurangan dalam pelbagai aspek dan memerlukan perhatian serta sokongan masyarakat untuk menjalani kehidupan seharian.

Berdasarkan Akta Orang Kurang Upaya 2008 (Akta 685) “orang kurang upaya” termasuklah mereka yang mempunyai kekurangan jangka panjang fizikal, mental intelektual atau deria yang apabila berinteraksi dengan pelbagai halangan, boleh menyekat penyertaan penuh dan berkesan mereka dalam masyarakat. Terdapat sebanyak tujuh kategori OKU iaitu, pembelajaran, fizikal, penglihatan, pertuturan, pendengaran, mental dan pelbagai.

Sehingga 31 Julai 2024, seramai 724,065 OKU berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) di seluruh negara. Jumlah ini menunjukkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan mendaftar OKU semakin meningkat.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui JKM adalah agensi utama yang bertanggungjawab memelihara kebajikan dan kepentingan OKU seluruh Malaysia.

Orang Kurang Upaya (OKU) memerlukan perhatian serta sokongan masyarakat untuk menjalani kehidupan seharian.

Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya (JPOKU) di bawah JKM pula berfungsi menyediakan perkhidmatan jagaan, perlindungan, pemulihan, latihan dan sokongan pekerjaan kepada OKU di samping menggalakkan penyertaan aktif komuniti setempat melalui pengintegrasian dan pembangunan OKU.

Acap kali kita mendengar keluhan komuniti ini yang mahu mereka diberi hak dan peluang sama rata dalam pelbagai bidang termasuk pekerjaan. Hakikatnya, komuniti OKU amat sukar mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian dengan kemampuan dan keupayaan mereka.

Kurangnya kesedaran, kesediaan dan keyakinan majikan untuk mengambil OKU bekerja juga menyumbang kepada peningkatan OKU tidak bekerja. Ketiadaan aksesibiliti mahupun kemudahan yang lengkap di tempat kerja menambahkan lagi kesukaran OKU untuk diterima bekerja dalam pelbagai sektor pekerjaan.

Berdasarkan Seksyen 29(1), Akta Orang Kurang Upaya 2008 (Akta 685), OKU hendaklah mempunyai hak untuk akses kepada pekerjaan atas asas kesetaraan dengan orang upaya.
Individu kurang upaya juga berpeluang untuk berada dalam sektor pekerjaan dengan bantuan dan sokongan berterusan serta mampu menyumbang kepada pembangunan negara.

Inisiatif Jabatan Kebajikan Masyarakat

Sebagai agensi yang bertanggungjawab, JKM menyediakan pelbagai perkhidmatan bagi memberi peluang dan sokongan kepada OKU untuk diterima bekerja dan terus berada dalam pasaran kerja terbuka.

Bagi menggalakkan OKU terus diintergrasikan dalam masyarakat, JKM telah mewujudkan beberapa inisiatif bagi memastikan OKU tidak terpinggir daripada mengecapi kemajuan dan pembangunan negara.

Program Perkhidmatan Job Coach (PPJC)  telah diperkenalkan di Malaysia untuk menggalakkan pekerjaan kekal kepada OKU di pasaran pekerjaan terbuka melalui pendekatan sokongan pekerjaan oleh Job Coach.

PPJC di Malaysia bermula sejak tahun 2012 melalui Project To Support Participation Of Persons With Disabilities Phase II di antara Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Japan International Cooperation Agency.

Projek kerjasama ini bermula pada 1 September 2012 hingga 31 Ogos 2015 untuk menggalakkan penyertaan OKU di dalam masyarakat melalui Sokongan Pekerjaan.

Job Coach adalah individu yang berpengalaman dalam memberi sokongan kepada OKU dan telah menghadiri Kursus Asas Job Coach. Ia menjadi penghubung antara OKU dan majikan dengan menyediakan sokongan untuk kedua belah pihak. Ia menawarkan sokongan secara one to one iaitu seorang Job Coach dengan seorang OKU yang melibatkan tempoh masa sekurang-kurangnya 3 hingga 6 bulan mengikut tahap keupayaan OKU.

Dalam tempoh itu, Job Coach akan melaksanakan proses sokongan seperti penilaian terhadap OKU, majikan, tempat kerja, pemadanan kerja, sokongan intensif, semulajadi dan tindakan susulan.
Di samping itu, OKU yang bekerja dan berpendapatan bulanan RM1,500.00 ke bawah layak diberikan Skim Bantuan Elaun Pekerja OKU (EPOKU) sebagai insentif untuk menggalakkan OKU terus bekerja, serta mampu hidup berdikari dan menjadi ahli masyarakat yang produktif.

Sehingga 31 Julai 2024, seramai 724,065 OKU berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM)di seluruh negara.

Berdasarkan statistik jabatan, seramai 1,690 OKU telah mendapat pekerjaan melalui perkhidmatan sokongan pekerjaan oleh job coach dan sebanyak 1,037 majikan telah menggajikan OKU mulai dari tahun 2012 hingga Jun 2024.

Seramai 3,211 orang Job Coach telah dilatih melalui Kursus Asas Job Coach di bawah JKM (2010 hingga Julai 2024). Antara sektor pekerjaan yang telah diberi sokongan job coach seperti sektor perhotelan (housekeeping, dobi), makanan dan minuman, pembuatan, pemborong dan peruncitan dan lain-lain sektor.

Antara syarikat atau majikan yang telah menggajikan OKU seperti Mydin Hypermarket, Aeon Malaysia, Gerbang Alaf Restaurans Sdn. Bhd, Uniqlo Malaysia, Padini Holding Berhad, dan lain-lain syarikat.

Latihan dan kemahiran PPJC ini telah membuka mata majikan untuk lebih memahami dan bersedia mengambil OKU bekerja dan menggalakkan OKU berdikari, produktif dan tidak mengharapkan bantuan kewangan semata-mata.

Majikan juga mengetahui keistimewaan atau faedah menggajikan OKU dan menerima manfaat potongan cukai daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Selain itu, pelaksanaan Dasar 1% OKU Dalam Sektor Awam juga memberi peluang kepada OKU terlibat sama dalam perkhidmatan awam. Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) merupakan peneraju pengurusan sumber manusia sektor awam yang bertanggungjawab memastikan kejayaan dasar ini.

Menyedari akan kepentingan pencapaian Dasar 1% OKU dalam sektor awam, Garis Panduan Pemadanan Jawatan Dalam Perkhidmatan Awam Kepada Orang Kurang Upaya telah dibangunkan.

Ia sebagai rujukan kepada agensi kerajaan yang mengambil OKU bekerja bagi mengenalpasti skim perkhidmatan yang bersesuaian dengan keupayaan, kelayakan, dan kemahiran seseorang OKU.

Di peringkat KPWKM, dasar ini telah tercapai dengan pengisian OKU dalam pelbagai jawatan dengan pencapaian 1.86% atau seramai 148 OKU sehingga Mac 2024. Jabatan tidak mampu berdiri sendiri tanpa sokongan dan bantuan dari pihak lain terutamanya agensi awam, swasta, badan korporat mahupun syarikat berkaitan kerajaan.

Pelbagai usaha digembeling bagi membuka peluang pekerjaan kepada lebih ramai OKU dengan menganjurkan Program Karnival Kerjaya kepada OKU di seluruh negara. Tidak semua majikan memahami isu ketidakupayaan dan limitasi yang dihadapi komuniti OKU. Oleh demikian, JKM sentiasa menguar-uarkan Program Disability Equality Training (DET) kepada majikan awam dan swasta bagi memberi kesedaran tentang isu tersebut.

Ia bertujuan menyokong penyertaan penuh dan berkesan OKU dalam masyarakat termasuk pekerjaan, penyediaan kemudahan dan perkhidmatan yang memenuhi keperluan OKU di tempat kerja.

Selain itu, penerbitan Video Kesedaran Awam berkaitan program perkhidmatan sokongan Job Coach kepada OKU pada tahun 2023 juga merupakan salah satu usaha Jabatan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat terutamanya majikan dan komuniti.

Bagi memberi galakan dan sokongan kepada majikan yang menggajikan OKU, KPWKM memberi pengiktirafan melalui Anugerah Majikan Prihatin sempena Sambutan Hari OKU yang diadakan pada 3 Disember setiap tahun.

Kesimpulan

Perkhidmatan sokongan pekerjaan ini sememangnya mencabar dan memerlukan kesabaran yang tinggi dalam membina sahsiah diri, disiplin dan kemahiran seseorang OKU seterusnya memastikan mereka kekal dalam pekerjaan.

Namun begitu, usaha yang berterusan dan cekal dalam memperkasa OKU sehingga mereka dapat berdikari dan menguruskan diri sendiri adalah satu kepuasan dan pulangan yang berbaloi.

Jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Begitulah perumpaaan yang sesuai digambarkan kepada OKU yang mempunyai sifat dinamika, unik dan potensi tersendiri.

Sekiranya semua pihak memainkan peranan dan sentiasa terbuka dalam memberi peluang kepada komuniti OKU ini, maka no one left behind akan dapat direalisasikan. Justeru, ayuhlah kita berganding bahu dalam memberi sokongan kepada OKU! – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN