KLUANG: Kementerian Pertahanan komited untuk melindungi kesejahteraan sosioekonomi dan perlindungan sosial anggota tentera termasuk selepas perkhidmatan mereka.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pengorbanan dan dedikasi anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) adalah asas pertahanan negara, dan dengan sokongan kolektif, beliau yakin Malaysia akan terus aman, makmur dan dihormati di peringkat antarabangsa.
Menurutnya, antara usaha itu adalah melalui program Work Based Learning (WBL) melibatkan kerjasama antara ATM dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang merupakan pemberian Diploma berasaskan kompetensi yang dilalui oleh anggota tentera terlibat.
“Sebahagian besar anggota ATM hanya mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia dan mereka berpencen pada usia muda antara 40 hingga 42 tahun,” katanya pada penutup program Minggu Bersama Pencarum: Jelajah Selatan 2024 anjuran Lembaga Tabung Angkatan Tentera di Kem Mahkota di sini semalam.
Beliau berkata, sehubungan itu MINDEF telah kenal pasti 10 program dalam ATM apabila anggota terlibat keluar nanti selepas bekerja 22 tahun, mereka ada Diploma tanpa perlu ke universiti.
Dalam pada itu, kira-kira 1,000 anggota tentera di seluruh negara yang tidak mempunyai kelulusan Diploma akan memperoleh manfaat daripada program WBL hasil kerjasama ATM dan UiTM.
Pegawai Staf 1, Pengajian Tinggi ATM, Leftenan Kolonel, Zulkifli Hussen ketika ditemui memberitahu, melalui WBL semua anggota terpilih berpeluang untuk mengikuti pembelajaran dalam enam program yang ditawarkan.
Katanya, program-program yang ditawarkan adalah Diploma Seni Kulinari, Diploma Pengurusan Hotel, Diploma Pendidikan Islam, Diploma Pengurusan dan Teknologi Pejabat, Diploma Sains dan Rekreasi serta Diploma Sains Geomatik.
“Program ini baharu diperkenalkan dalam ATM dan ia akan mula dilaksanakan bermula tahun hadapan dan menyasarkan kira-kira 90,000 anggota yang masih tidak mempunyai Diploma.
“Bagaimanapun, anggota yang dipilih adalah mereka yang sudah bertugas selama 10 tahun dan memilih kursus bersesuaian dengan kemahiran dalam perkhidmatan,” katanya.
Zulkifli yang mewakili Kor Perkhimatan Am (KPA – Pendidikan) berkata, program yang dikenali sebagai Inisiatif Pendidikan ATM (WBL-MINDEF) itu akan bermula pada 2025.
Menurutnya, sebagai permulaan ATM akan melibatkan kira-kira 1,000 anggota dan diharapkan kerjasama berkenaan berterusan dari semasa ke semasa.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pendidikan Berterusan dan Pengajian Profesional (ICEPS) UiTM, Prof. Dr. Faizah Abd Majid berkata, kelebihan bagi anggota tentera yang terpilih untuk program pengajian itu, mereka akan dianugerahkan Diploma masing-masing setelah enam bulan penilaian dan tidak perlu ke mana-mana cawangan UiTM.
“Malah tenaga pengajar kita yang akan datang ke kem-kem tentera,” katanya.
Inisiatif tersebut dapat membantu anggota terlibat menukarkan pengalaman, ilmu serta kemahiran mereka kepada Diploma dalam bidang yang bersesuaian, sekali gus membuka peluang serta laluan kerjaya terutama selepas persaraan.
Sebagai contoh, selepas beberapa tahun berkhidmat sebagai pramusaji, seseorang anggota boleh dinilai dan dianugerahkan oleh pihak UiTM, Diploma Kulinari atau Pengurusan Hotel.
Setakat ini MINDEF dan UiTM telah mengenal pasti beberapa program yang boleh ditawarkan, seterusnya menukarkan pengalaman mereka kepada kelayakan profesional, dikenali sebagai “Work-Based Award” (WBA), – UTUSAN