Perlindungan takaful Simpan SSPN Plus ringan beban pendeposit

Perlindungan takaful Simpan SSPN Plus ringan beban pendeposit

Mohd Rusdi Ismail, Pengurus Besar Kanan PTPTN (tengah) menyerahkan replika kad manfaat perlindungan takaful Simpan SSPN Plus kepada Maheran Ali (kanan) diiringi Fauzi Azli Salleh, Pengarah Negeri, Pejabat PTPTN Negeri Kedah di Kuala Nerang, Kedah pada Ahad lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melalui Program Ziarah PTPTN Prihatin telah menyerahkan manfaat perlindungan takaful kepada pendeposit Simpan SSPN Plus bertempat di kediaman beliau di Kuala Nerang, Kedah.

Sesi penyerahan disempurnakan oleh Mohd Rusdi Ismail, Pengurus Besar Kanan PTPTN. Turut hadir Fauzi Azli Salleh, Pengarah Negeri, Pejabat PTPTN Negeri Kedah.

Maheran Ali, 48, seorang Pegawai Kerajaan telah didiagnosis menghidap penyakit kritikal pada awal tahun. Beliau merupakan pendeposit Simpan SSPN Plus yang telah membuka akaun untuk tiga orang anak pada 11 Julai 2017.

Beliau telah membuka akaun di bawah Pakej Intan dengan komitmen sebanyak RM30 sebulan iaitu RM20 Untuk simpanan dan RM10 untuk caruman takaful.

Melalui caruman takaful RM30 bagi tiga akaun, beliau sebagai pendeposit Simpan SSPN Plus mendapat manfaat perlindungan takaful (penyakit kritikal) sebanyak RM12,000 bagi setiap akaun dengan jumlah keseluruhan yang diterima sebanyak RM36,000 dan elaun kemasukan wad berjumlah RM3,225.
Maka jumlah keseluruhan manfaat yang diterima oleh pendeposit adalah sebanyak RM39,225.

Produk Simpan SSPN Plus menawarkan enam pakej simpanan yang terdiri daripada simpanan dan perlindungan takaful yang komprehensif dengan komitmen bulanan serendah RM30 sebulan iaitu hanya RM1 sehari sahaja, bergantung kepada pakej yang dipilih.

Keistimewaan tambahan lain yang ditawarkan adalah manfaat perlindungan takaful sehingga RM1.2 juta, manfaat khairat kematian kepada pendeposit, pasangan dan anak-anak maksimum lima orang anak, manfaat takaful penyakit kritikal, elaun kemasukan hospital dan perlindungan takaful sehingga umur pendeposit 69 tahun, tertakluk kepada Syarikat Pengendali Takaful yang dipilih.

Selain itu, komitmen serendah RM30 sebulan untuk pakej Intan dan tiada pemeriksaan kesihatan, kecuali bagi pakej Berlian sahaja yang perlu menjawab tiga soalan kesihatan.

Menariknya lagi, Simpan SSPN Plus menyediakan tiga pilihan Syarikat Pengendali Takaful iaitu Hong Leong MSIG Takaful Berhad, Great Eastern Takaful Berhad dan Takaful Ikhlas Family Berhad yang menawarkan keistimewaan manfaat perlindungan takaful yang menarik.

Melalui keistimewaan dan manfaat produk Simpan SSPN, PTPTN berharap ia dapat membantu meringankan beban kewangan pendeposit. Sememangnya nilai manfaat ini tidak dapat mengembalikan kesihatan yang terganggu, namun dengan manfaat yang diterima dapat memastikan masa depan keluarga terus terjamin dan kelangsungan hidup sekeluarga dapat diteruskan.

Sebagai usaha untuk menggalakkan budaya menabung dalam kalangan masyarakat, PTPTN telah menganjurkan Kempen Cabutan WOW! Simpan SSPN 2024 dengan tawaran hadiah wang tunai yang lumayan bernilai lebih RM1.3 juta untuk 983 orang pendeposit. Kempen ini sebagai usaha PTPTN untuk menggalakkan lagi penabungan dalam kalangan ibu bapa bagi tujuan pendidikan tinggi anak-anak.

PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa berusaha membantu meringankan beban yang ditanggung oleh pendeposit dan waris dengan menyediakan produk simpanan berserta perlindungan takaful yang komprehensif. Maklumat lanjut berkenaan Simpan SSPN boleh diperoleh melalui portal rasmi www.ptptn.gov.my atau aplikasi myPTPTN untuk perkhidmatan yang lebih mudah, cepat dan selamat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN