ALOR SETAR: Kaedah konvensional menabur benih dan baja serta menyembur racun mungkin mengambil masa kira-kira 20 minit untuk dihabiskan seorang pesawah di bendang seluas 0.29 hektar atau satu relung, selain memerlukan tenaga kerja yang ramai.
Namun, seiring peredaran zaman dan pengenalan peralatan atau teknologi yang semakin canggih, penggunaan dron dalam pertanian khususnya diakui banyak menjimatkan masa dan kos mengusahakan sawah padi ketika ini.
Penggunaan teknologi itu juga antara faktor yang mampu menarik minat golongan muda seperti Mohd. Adib Hasanain Ahmad, 30, untuk kekal bergelar petani walaupun segelintir rakan sebayanya lebih berminat menceburi pekerjaan ‘makan gaji’.
Meneruskan legasi yang ditinggalkan arwah bapanya, Mohd. Adib Hasanain kini antara pesawah semuda itu yang boleh dibanggakan apabila memiliki kira-kira 19 hektar sawah padi termasuk yang dipajak kepadanya di Kampung Hujung, Telok Kechai, di sini.
“Terdapat banyak cabaran untuk menguruskan sawah padi, tetapi ianya berbaloi apabila kita dapat melihat sendiri hasil kerja keras kita selain turut berbangga kerana dapat meningkatkan hasil tuaian atau produktiviti.
“Zaman pun sudah berubah, kita tidak lagi menggunakan kaedah tradisional untuk menanam padi. Macam saya telah mengaplikasikan penggunaan dron untuk menabur baja dan benih yang dahulunya mengambil terlalu lama masa untuk dilengkapkan proses itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ujarnya, bagi kerja-kerja menabur benih atau baja secara konvensional, upah mencecah RM30 seorang bagi setiap 0.29 hektar sawah padi atau menghampiri RM100 untuk keluasan satu hektar.
Berbanding dron, Mohd. Adib Hasanain yang merupakan anak lelaki tunggal mewarisi 14 hektar sawah padi peninggalan arwah bapanya berkata, kosnya hanya sekitar RM20 untuk keluasan 0.29 hektar atau tidak sampai RM70 bagi setiap hektar sawah yang diusahakan petani.
Justeru, tidak hairan apabila dia dapat membuktikan pengurusan yang betul disulami minat dan kesungguhannya dalam bidang itu membolehkan dia menambah satu hektar sawah yang dibeli dengan harga RM300,000 hasil titik peluhnya sendiri, tahun lepas.
“Malah, saya juga menguruskan empat hektar sawah yang dipajak orang kampung untuk diusahakan berbanding tanah itu akan terbiar sekiranya tidak diusahakan. Tetapi kesemua itu banyak dilakukan dengan bantuan teknologi dron,” katanya.
Tambahnya, kerja-kerja menabur baja dengan menggunakan dron menjadi lebih sekata kerana teknologi canggih itu berupaya memeta terlebih dahulu kedudukan sawah sebelum input pertanian tersebut ditabur.
Kini, dia memiliki dua unit dron sendiri yang setiap satunya berharga RM50,000 boleh digunakan untuk ketiga-tiga kerja iaitu menabur baja dan benih serta menyembur racun. Mohd. Adib Hasanain juga menyewakan peralatan itu untuk kegunaan pesawah lain bersama jentera pembajak miliknya.
Sementara itu, meskipun pendapatan sebagai pesawah tidak menentu kerana bergantung kepada faktor cuaca dan hal-hal sampingan, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Laksamana itu berkata, keluasan sawah sepertinya mampu memberi pulangan kasar sehingga RM140,000 semusim.
“Sebenarnya pada masa dahulu pendapatan daripada hasil sawah tidaklah banyak, tetapi masih mencukupi untuk menyara keluarga dan ramai orang bergantung kepada pekerjaan ini untuk mencari rezeki.
“Cabaran utama kami sekarang adalah kos input yang tinggi terutamanya harga diesel. Ini adalah antara input penting untuk penanaman padi selain baja. Pada masa sama, kos belian padi tidak berubah yang mana kos input meningkat, tetapi pendapatan kami tidak meningkat.
“Ini secara tidak langsung mengurangkan margin keuntungan, seterusnya menjejaskan pendapatan kami pada musim tertentu. Contohnya kemarau baru-baru ini, pengairan ke sawah terjejas yang turut mengganggu pertumbuhan padi dan pengeluaran hasil,” ujarnya.
Keadaan itu katanya, sudah tentu memberi kesan juga kepada petani muda yang turut terkesan dengan faktor-faktor ini kerana ia mampu menjadi salah satu sebab mereka tidak berminat untuk terus menjadi pesawah,” ujarnya.
Menyentuh soal sokongan atau bantuan yang diterima, ujar Mohd. Adib Hasanain, tanpa penglibatan agensi-agensi kerajaan atau organisasi, dia mungkin akan berdepan kesukaran walaupun sudah ‘terjebak’ dengan sawah sejak bersekolah.
“Kakitangan BERNAS sering berkunjung ke sawah untuk melakukan rutin pemantauan dan berkongsi nasihat untuk meningkatkan hasil. Penyediaan mesin dan peralatan canggih daripada organisasi itu kepada para petani juga meningkatkan kecekapan penanaman padi.
“BERNAS juga membantu menguruskan Skim Subsidi Harga Padi di samping sokongan kewangan melalui subsidi oleh kerajaan dan subsidi input pertanian daripada agensi lain.
“Tanpa bantuan agak susah untuk pesawah termasuk saya membuat kerja sebab memerlukan modal tinggi.
“Kami berharap kerajaan dapat membantu terutama dari segi menyelesaikan isu pengairan dan juga harga jualan padi yang lebih tinggi,” katanya.
Sementara itu, pendedahan terhadap teknologi dan bantuan-bantuan terlibat antara yang boleh diperolehi orang ramai yang berkunjung ke Pameran Pertanian Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 pada 11 hingga 22 September ini di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di samping pelbagai aktiviti berkaitan komuniti petani yang menjadi tunjang utama negara. – UTUSAN