PALAPES pemangkin kemajuan ketenteraan, pertahanan negara

PALAPES pemangkin kemajuan ketenteraan, pertahanan negara

Mohamed Khaled Nordin pada program Syarahan Eksekutif bersama Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Awam di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim. semalam. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Kementerian Pertahanan melihat Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) di Universiti Awam sebagai aset penting untuk Malaysia menguasai teknologi serta menguruskan realiti semasa dunia ketenteraan dan pertahanan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ini kerana PALAPES kini terdiri daripada golongan mahasiswa yang hidup dan belajar dengan kelebihan teknologi.

Jelasnya, pemahaman tentang ancaman tradisional seperti serangan komunis, peperangan atau pertempuran senjata secara fizikal dan penjajahan kuasa besar, tidak lagi memadai.

Sebaliknya jelas beliau, ancaman kini muncul dalam bentuk sains dan teknologi, selain elemen bukan tradisional seperti fenomena alam sekitar, krisis makanan, serangan siber, bantuan kemanusiaan dan bencana.

“Dan realiti pertahanan hari ini, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sememangnya memerlukan mereka yang memahami dan berminat dengan teknologi.

“Kecanggihan teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI), manipulasi data raya dan analitik serta aktiviti penggodaman kini menjadi ancaman yang semakin ketara dan menakutkan.

“Inovasi sains dan teknologi seperti pesawat udara tanpa pemandu (UAV) seperti drone telah mengubah kedinamikan dan cara sesuatu pertempuran bersenjata dijalankan,” katanya semasa dalam Syarahan Eksekutif Menteri Pertahanan bersama Pegawai Kadet PALAPES Universiti Awam di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini, semalam.

Menurutnya, kementerian menyediakan peruntukan sekitar RM40 juta setahun untuk pelaksanaan PALAPES, melihat kepentingan dan mengambil berat perjalanan pasukan itu kerana ia boleh menyumbang kepada pertahanan menyeluruh negara.

Beliau melihat PALAPES bukan sekadar keperluan mahasiswa untuk memenuhi syarat pengajian, malah sebagai satu kesinambungan dan mengharapkan mahasiswa yang menganggotai pasukan itu kelak menyertai ATM atau kekal di pasukan simpanan dan sukarela ATM selepas tamat belajar.

Mohamed Khaled juga berharap semua pentadbir universiti memahami dengan jelas peranan PALAPES dan memastikan pasukan itu diurus dan disokong dengan cara yang selari dengan kepentingan pertahanan nasional.

“Saya harap PALAPES tidak dibiarkan tanpa sokongan,” katanya yang turut bersetuju untuk menyediakan laluan khas sebanyak 100 tempat buat kadet PALAPES Universiti Awam menyertai ATM apabila tamat pengajian Ijazah Sarjana Muda, bermula tahun depan.

Dalam syarahannya juga, Mohamed Khaled menekankan kepada 1,000 pegawai kadet PALAPES yang hadir tentang kepentingan Angkatan Sukarela dalam mendukung konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) Negara melalui perkongsian dua hala.

Program hari ini merupakan anjuran bersama Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS) dan Markas ATM Bahagian Mobilisasi Angkatan Simpanan (MATM-BMAS) bersempena dengan Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet PALAPES Ke-42 yang bakal diadakan pada 21 September 2024.

Turut hadir ialah Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan; Pemangku Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Zulhelmy Ithnain; Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris TUDM; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Datin Roszanina Wahab; Ketua Staf Markas ATM, Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad; Presiden PUSPAHANAS, Laksamana Madya Datuk Sabri Zali serta pegawai-pegawai kanan dan warga ATM.

Hari ini juga diadakan Upacara Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Tauliah Kehormat Askar Wataniah dan Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia oleh Menteri Pertahanan kepada Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Profesor Datuk Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman; Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Datuk Dr. Ahmad Farhan Mohamad Sadullah; Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS);  Profesor Dr. Ahmad Hata Rasit dan Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Datuk Dr. Shahrin Sahib.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN