KUALA LUMPUR: Program Merdeka Suka Cipta 2024 adalah usaha terbaik untuk menyemarakkan jiwa merdeka serta meningkatkan rasa cinta kepada negara melalui aktiviti seni dan budaya pada ‘si cilik’.
Ini kerana, penganjuran program tersebut menyaksikan pelbagai pertandingan dan aktiviti seperti seni lukis, reka cipta arca, reka cipta kostum kreatif dan lukisan figuratif yang melibatkan lima kategori serta dari umur 5 tahun hingga ke 25 tahun ke atas.
Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), Datuk Roslan Abdul Rahman berkata, program tersebut menjadi nadi penting dalam memupuk kecintaan masyarakat terhadap seni visual tanah.
Kata beliau, ia sejajar dengan hasrat Malaysia Madani melalui enam nilai teras antaranya adalah daya cipta iaitu pembaharuan dan pengupayaan modal insan bagi menjelmakan daya cipta manusia.
Jelasnya, perkara tersebut dibuktikan melalui pelbagai pertandingan yang diadakan di dalam Merdeka Suka Cipta 2024.
“Apa yang menariknya buat julung kalinya pertandingan Reka Cipta Kostum Kreatif pada tahun ini menampilkan kelainan di mana para peserta perlu menggayakan kostum berinspirasikan karya koleksi seni visual negara,” katanya ketika berucap di Balai Seni Negara, di sini.
Merdeka Suka Cipta 2024 turut dimeriahkan aktiviti riadah ‘Merdeka Suka Cipta Fun Walk’ sejauh tiga kilometer, aktiviti skateboard, fingerboard, pound rockout workout, zumba workout, petting zoo, wall climbing, bengkel seni, dan persembahan pentas oleh Elmontaro, Heidi Moru, Elly Yusni, Budak Nakal Hujung Simpang serta Fimie Don.
Selain itu, program membawa masuk foodtruck dan lebih 20 reruai jualan produk seni yang boleh dinikmati oleh pengunjung.
Sehubungan itu, Roslan berkata, beliau berharap usaha Balai Seni Negara akan terus dihargai dan mendapat sambutan ramai pihak supaya program baik tersebut tidak dilepaskan serta memberi manfaat.
“Marilah kita bersama-sama menggembleng tenaga dalam menjayakan program seperti ini dan mengambil peluang bersama-sama mempromosi Tahun Melawat Malaysia yang bakal diadakan pada tahun 2026 nanti,” katanya. – UTUSAN