MADA, MYSA bangun aplikasi urus tanaman padi, empangan

MADA, MYSA bangun aplikasi urus tanaman padi, empangan

Arthur Joseph Kurup melihat peta kawasan Parliman Pensiangan, Sabah yang dirakam menerusi satelit selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) di Serdang, semalam. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) untuk mencipta satu aplikasi Sistem Pengurusan Tanaman Padi dan Empangan bagi membantu sektor pertanian.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, sistem yang dibangunkan MYSA itu bertujuan membantu MADA dalam pengurusan tanaman padi.

Katanya, ia bagi mendapatkan maklumat terperinci keluasan guna tanah, pengurusan air empangan dan pengesanan awal masalah.

“Sistem ini berteraskan teknologi angkasa dengan memanfaatkan sepenuhnya kelebihan teknologi penderiaan jauh, Sistem Maklumat Geografi (GIS) dan banyak lagi.

“Melalui sistem ini, pemantauan perubahan kawasan bertanam padi dapat dilaksanakan secara berkala melalui penggunaan imej satelit optikal beresolusi tinggi,” katanya semasa Majlis Menandatangani MoU antara MADA dan MYSA kelmarin.

Majlis itu diadakan bersempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 yang sedang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di sini.

Setelah lebih lima dekad penubuhan sebuah agensi peneraju bidang penanaman padi di Kawasan Muda, kini MADA menggunakan keupayaan teknologi angkasa yang efisien.

Ia dilihat mampu membawa pembaharuan sekali gus memastikan industri padi negara terus maju seiring dengan era pendigitalan negara dalam menyahut agenda keterjaminan makanan negara.

Tambah beliau, teknologi yang digunakan dalam sistem itu berupaya membantu dalam mengesan perubahan lot sawah kepada tanaman lain seperti sawit dan getah.

Katanya, penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) yang diaplikasikan mengemas kini lot sawah secara automatik dan mempercepat pengesanan perubahan setiap tahun.

“Maklumat perubahan lot sawah ini menjadi input penting kepada penentuan keluasan sebenar bertanam padi di seluruh negara.

“AI yang digunapakai mampu mengemas kini lot sawah secara automatik daripada imej satelit terkini dan imej arkib itu mempercepatkan pengesanan perubahan lot sawah kepada setiap tahun berbanding dua tahun sebelum ini,” katanya.

Dalam pada itu, Arthur berkata, kewujudan sistem ini membantu MADA dalam meningkatkan kecekapan pengurusan kawasan tanaman padi seluas 100,641 hektar dan memberi manfaat kepada hampir 54,000 pesawah di Kawasan Muda

“Imej radar daripada satelit RADARSAT-2 yang digunakan memantau status aktiviti utama penanaman padi seperti membajak, mengairi sawah, menanam dan menuai.

“Penggunaan imej satelit ini berupaya mencerap data walaupun dalam keadaan diliputi awan.

“Liputan kawasan pemantauan pula menyeluruh dan membolehkan masa penyiasatan di lapangan dikurangkan sehingga lebih 50 peratus,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN