SERDANG : Sempena berlangsungnya MAHA 2024, satu perjanjian Memorandum Persefahaman (Mou) di antara Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dimeterai bagi meningkatkan kerjasama dalam bidang akuakultur dan perikanan tangkapan di Malaysia.
Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, LKIM dan UMT akan bekerjasama untuk memperkukuhkan, membangun bidang perikanan dan akuakultur termasuk bioteknologi, pembangunan komuniti nelayan.
Katanya, kerjasama ini akan melaksanakan program penyelidikan dan pembangunan (R&D), perundingan, latihan, serta pengurusan perikanan mapan.
“Kerjasama ini juga akan menyumbang kepada pemuliharaan sumber alam semula jadi dan perancangan strategik negara berasaskan kesaksamaan dan faedah bersama,” katanya pada Majlis Menandatangani MoU Antara UMT dan LKIM bagi kerjasama tersebut di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di sini.
Beliau berkata, bidang kerjasama ini meliputi perikanan dan akuakultur, termasuk bioteknologi, pasca tuai, pemprosesan, inovasi produk, pengkomersialan, pengurusan, latihan dan kompetensi, pembangunan komuniti, pemindahan ilmu, perkongsian maklumat, harta intelek, serta penerbitan bersama.
“Ia juga merangkumi program pertukaran staf, pelajar, penyelidik, serta penganjuran persidangan akademik dan teknikal bagi manfaat bersama,” katanya.
Turut hadir dalam majlis tersebut, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) LKIM: Zarina Abdul Latif, Penanggung Tugas Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) LKIM, Rashima Baharuddin dan Dekan Fakulti Perikanan dan Sains Makanan UMT, Prof Ts. Dr. Mohd Effendy Abd. Wahid.
Cadangan MoU itu tercetus susulan kunjungan hormat Delegasi LKIM ke Fakulti Perikanan dan Sains Makanan, UMT pada 15 Januari lalu yang diketuai Muhammad Faiz dan para pegawai LKIM.
Kunjungan tersebut membawa kepada perbincangan mengenai cadangan kerjasama antara UMT dan LKIM berkaitan bidang perikanan dan akuakultur yang bersesuaian di Malaysia.
Mengulas mengenai program akuakultur, Muhammad Faiz berkata, LKIM telah merangka pembangunan akuakultur bagi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dengan melaksanakan Program Peningkatan Keupayaan Projek Akuakultur Komuniti Nelayan.
“Program ini bertujuan meningkatkan pendapatan komuniti nelayan yang menjalankan akuakultur sambil menyokong agenda kerajaan untuk membekalkan sumber protein berterusan kepada rakyat akibat pengurangan sumber marin.
“Ia juga memfokuskan peningkatan pengeluaran ikan, penggunaan tanah secara optimum dengan kerjasama swasta serta penerapan teknologi baharu seperti Internet Of Things (IoT),” ujarnya.-UTUSAN