MENCECAH 50 tahun penubuhannya, ramai yang tidak tahu sejarah di sebalik permulaan serba sederhana Petroliam Nasional Berhad (Petronas).
Syarikat minyak nasional itu ditubuhkan ketika menghadapi krisis dan ia menempuh pelbagai cabaran yang mematangkan perjalanannya.
Setiap bab dalam sejarah Petronas memberikan pengajaran dan peluang untuk berkembang sekali gus mengukuhkan ketahanan syarikat sepanjang masa.
Segalanya bermula selepas kejutan minyak global pada 1973 di mana Malaysia sebagai negara pengeluar menyedari keperluan untuk mengawal selia sumber petroleum negara dengan lebih ketat serta mengurangkan kebergantungan kepada syarikat minyak asing.
Sehubungan itu, misi untuk menguruskan sumber-sumber itu dimulakan dan Petronas ditubuhkan bagi melaksanakan amanah yang diberi iaitu pembangunan penuh dan teratur bagi industri petroleum Malaysia untuk menambah nilai terhadap sumber negara.
Warga kerja Petronas bermula kalangan bekas penjawat awam yang belum mempunyai pengalaman dalam industri minyak dan perlu bersaing dengan syarikat minyak multinasional yang lebih besar dengan berbekalkan bajet RM2 juta, kini Petronas merupakan sebuah syarikat Fortune Global 500.
Ditubuhkan pada 17 Ogos 1974 di bawah Akta Syarikat, Petronas diberikan identiti komersial dengan tujuan untuk beroperasi secara komersial dan berfungsi sebagai entiti perniagaan sebenar.
Ia bertujuan menyumbang kepada Dasar Ekonomi Baharu ketika itu dan merupakan usaha sosioekonomi yang berhasrat meningkatkan taraf hidup bumiputera.
Petronas diberikan hak milik dan kawalan ke atas sumber petroleum negara melalui Akta Parlimen iaitu Akta Kemajuan Petroleum (PDA) 1974 termasuk hak eksklusif, kuasa, kebebasan dan keistimewaan.
Ketika PDA 1974 digubal, Petronas masih merupakan sebuah syarikat kecil. Namun, mandat yang diberikan tetap dilaksanakan walaupun perlu berhadapan rundingan kontroversial dengan syarikat minyak global.
Begitulah, Petronas berjaya melakar sejarah baharu dalam industri tenaga nasional.
MENUJU KE ARAH KEMAJUAN
Kini, Petronas berkembang menjadi syarikat tenaga global dengan lebih 50,000 pekerja di hampir 100 buah negara.
Perjalanan 50 tahunnya setakat ini dipenuhi pelbagai pencapaian transformatif dan cabaran yang membentuk evolusi serta mendefinisikan legasi syarikat itu.
Salah satu detik penting dalam sejarah Petronas adalah penemuan medan minyak Dulang pada 1981.
Pencapaian itu meningkatkan kedudukan Malaysia dalam sektor tenaga dan turut mencetuskan pertumbuhan yang memberi impak kepada masyarakat melebihi hasil minyak semata-mata.
Ia juga memberi peluang pekerjaan, membangunkan infrastruktur dan membina asas kukuh untuk kepelbagaian ekonomi Malaysia.
Bermula secara sederhana seperti pembukaan stesen minyak pertama di Taman Tun Dr. Ismail pada 1981 dan pelancaran kilang penapisan Petronas Penapisan Terengganu Sdn. Bhd. pada 1982 hingga berkembang melalui usaha hiliran dan huluan menjadikan setiap langkah yang diambil sebagai satu lonjakan ke hadapan.
Pengenalan stesen perkhidmatan perdana pertama di Taman Tun Dr Ismail, menandakan permulaan penyertaan Petronas dalam segmen runcit bahan api domestik.
Kini, Petronas mengendalikan rangkaian stesen minyak terbesar di negara ini dengan lebih 1,000 stesen.
Syarikat itu juga telah memperluas dan menaik taraf perkhidmatannya melangkaui bahan api, menjadikan kehidupan pelanggan lebih mudah melalui tawaran inovatif termasuk Setel serta rangkaian luas kedai serbaneka Mesra.
Sejak awal penubuhannya, Petronas memperkenalkan syarikatnya melalui penerokaan minyak luar pesisir di perairan dalam, mencerminkan semangat inovasi yang berterusan selama beberapa dekad.
Meskipun terlambat memasuki bidang ini, Petronas berjaya meraih pelbagai pencapaian yang membentuk landskap tenaga negara antaranya, menjadi syarikat pertama yang membawa gas ke Semenanjung Malaysia, membekalkan loji janakuasa berasaskan gas, memproses minyak mentah dan Loji LNG usaha sama yang pertama di negara di Bintulu, Sarawak.
Syarikat itu juga berjaya menemui minyak di luar negara seperti di Vietnam, Iraq dan Sudan.
Petronas merupakan syarikat yang terawal menyaksikan pengeluaran minyak pertama di Sudan untuk eksport termasuk pembinaan saluran paip pertama merentasi padang pasir yang menempatkan Sudan sebagai negara pengeksport minyak.
Salah satu pencapaian terbesar Petronas adalah pembinaan fasiliti gas asli cecair (FLNG) pertama di dunia, PFLNG Satu pada 2017 lalu.
Teknologi ini memudahkan proses pengekstrakan, pencairan dan penyimpanan gas asli di laut sekali gus membolehkan Petronas mengeksploitasi medan gas terpencil dan sukar dicapai dengan cara yang efisien dan mampan.
PFLNG Satu berjaya memperkukuh keupayaan tenaga Malaysia malah turut menempatkan Petronas sebagai peneraju global dalam inovasi LNG.
Petronas terus mengembangkan teknologi FLNG dan menjadi pengendali pertama di dunia dengan dua kemudahan FLNG selepas pengenalan PFLNG Dua pada 2021.
Transformasi Petronas merangkumi keseluruhan rantaian nilainya dengan penubuhan kilang penapisan pertama, Petronas Penapisan Terengganu Sdn Bhd pada 1982 di Kertih, Terengganu.
Ini membawa kepada penubuhan Kompleks Industri Petroleum Petronas (PPIC), sebuah hab industri yang menghubungkan keseluruhan rantaian nilai minyak dan gas.
Ia juga merupakan satu titik perubahan yang membuka peluang baharu untuk pertumbuhan ekonomi dan pembangunan di Kertih.
Kemudian, Petronas terus berkembang dengan pembukaan kilang penapisan di Melaka pada 1994 yang kini dikenali Taman Tenaga Melaka yang memiliki salah satu kapasiti penapisan terbesar di negara ini.
Kilang ini mampu menghasilkan pelbagai jenis produk petroleum bagi memenuhi keperluan tenaga di luar pasaran domestik termasuk pengeluaran minyak asas untuk pelincir yang kini terdapat di lebih 100 negara.
Petronas semakin maju dengan pembangunan Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC), pelaburan Hiliran terbesar syarikat itu yang membolehkan operasinya menjadi lebih bersepadu dan berdaya tahan.
Integrasi fasiliti penapisan dan petrokimia di dalam PIC membolehkan Petronas meningkatkan kapasiti untuk menyokong keperluan tenaga pelanggan di seluruh dunia.
PIC juga dijangka menjadi hab penyelesaian tenaga yang lebih bersih dengan penubuhan kilang kitar semula kimia canggih dan sebuah biorefineri yang bakal beroperasi pada 2026 dan 2028 bagi memenuhi keperluan di rantau ini.
Sejak 50 tahun lalu, Petronas telah menempatkan syarikatnya sebagai rakan kongsi tenaga dan penyelesaian yang progresif bagi memperkayakan kehidupan untuk masa depan yang mampan.
Bukan sahaja untuk pertumbuhan ekonomi, tetapi PETRONAS juga telah meningkatkan kualiti hidup dan hasil sosioekonomi melalui bidang tumpuannya dalam pendidikan, kesejahteraan masyarakat dan pembangunan alam sekitar peringkat persekutuan mahu pun negeri.
MEMBANGUN NEGARA DENGAN BAKAT
Keutamaan kejayaan Petronas terletak pada komitmennya dalam melahirkan bakat tempatan dan memupuk pembangunan modal insan.
Petronas telah memperkasa generasi rakyat Malaysia untuk merealisasikan potensi mereka dengan menyumbang secara bermakna kepada pembangunan negara melalui penubuhan Institut Teknologi Petroleum PETRONAS (INSTEP) pada 1981.
Ia turut termasuk Pusat Kepimpinan Petronas (PLC) di Bangi, yang sebelumnya dikenali sebagai PERMATA pada 1989, Universiti Teknologi Petronas (UTP) di Tronoh, Perak pada 1997 dan Pusat Latihan Petroleum Kimanis (KTC) di Kimanis, Sabah pada 2011 lalu.
Semua institusi itu berperanan sebagai inkubator inovasi dan kecemerlangan, menyediakan latihan bertaraf dunia serta peluang pembangunan kepada para profesional.
Petronas turut mengutamakan pembelajaran berterusan, inovasi dan kerjasama melalui program seperti tajaan pendidikan di bawah inisiatif Petronas Powering Knowledge, BeDigital Bootcamp dan Discover Petronas @Schools.
Dengan melabur dalam pendidikan, pembangunan kemahiran dan latihan kepimpinan, Petronas dapat membina tenaga kerja yang kuat dan pelbagai serta memupuk komuniti pelajar dan pemimpin masa depan negara.
Sinergi antara Petronas dan pasukan Mercedes-AMG Petronas (MAMGP) Formula One menunjukkan usaha ke arah memupuk bakat dalam penapisan bahan api dan pelincir yang menyumbang kepada prestasi tinggi pasukan tersebut.
Mereka membantu mendorong had inovasi dan prestasi dalam dunia perlumbaan Formula One yang sangat kompetitif sehingga berjaya meraih lapan kali kejuaraan.
Dengan pemindahan kepakaran dan teknologi, Petronas Fluid Technology Solutions™ telah dibangunkan bagi menghasilkan bahan api dan pelincir yang memenangi anugerah memenuhi keperluan pengguna jalan raya setiap hari.
Ini adalah bukti komitmen Petronas dalam memacu inovasi melepasi litar perlumbaan bagi membentuk masa depan tenaga dan mobiliti dengan memanfaatkan bakat berkemahiran tinggi.
TEGUH HADAPI PERUBAHAN
Mengimbas kembali kejayaan syarikat tenaga negara itu, jubli emasnya bukan sekadar retrospektif, ia adalah pemangkin yang mendorong Petronas ke hadapan dalam meneroka semula landskap tenaga untuk Malaysia dan rantau sekitarnya.
Daripada menjadi perintis yang meneroka laut dalam kepada menerajui inovasi pendigitalan dan tenaga boleh diperbaharui, Petronas sentiasa menjangkaui had keupayaan dalam sektor tenaga.
Setelah 50 tahun, ia sekali lagi diuji dengan cabaran yang tidak dapat dielakkan seperti perubahan iklim dan seruan untuk peralihan tenaga yang adil.
Ketika dunia berdepan kesan perubahan iklim di tengah-tengah peningkatan permintaan tenaga, Petronas memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan tenaga negara serta menyediakan tenaga yang boleh dipercayai dan berpatutan secara bertanggungjawab.
Portfolio tenaga bersepadu Petronas yang kukuh mencerminkan dedikasinya untuk menghasilkan lebih banyak tenaga sambil mengurangkan pelepasan karbon.
Komitmen ini bukan sekadar untuk kekal relevan, ia juga mengenai amalan mampan dan memacu perubahan positif selaras dengan aspirasi untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
Ketika seruan untuk perubahan iklim semakin meningkat, ia menandakan isyarat jelas bagi Petronas mempercepatkan strategi peralihan tenaganya, mengalihkan kepakaran bertahun-tahun dalam memajukan landskap minyak dan gas kepada penyelesaian tenaga bersih.
Kini, Petronas berhasrat mengulangi sejarah dalam membangunkan ekosistem tenaga bersih yang kukuh untuk berkembang maju dalam waktu perubahan sambil memperkukuh portfolio terasnya bersama rangkaian rakan kongsi dan pembekal untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat.
Pembangunan projek Kasawari CO2 Sequestration (CCS) di luar pesisir Sarawak adalah salah satu projek CCS luar pesisir terbesar di dunia.
Tiga hab CCS serantau di Malaysia juga merupakan usaha untuk memastikan legasi yang ditinggalkan adalah pengeluaran tenaga yang bertanggungjawab.
Dalam usaha memberi tumpuan kepada tenaga boleh diperbaharui dan teknologi hijau, Petronas juga menubuhkan Gentari, sebuah entiti bebas yang bukan sahaja memacu aspirasi tenaga bersih tetapi juga direka untuk mencipta peluang pekerjaan dan merangsang pertumbuhan ekonomi.
Gentari memperkasa pelanggan dan rakan kongsi dalam usaha penyahkarbonan, menyumbang kepada matlamat iklim nasional serta global melalui penyelesaian tenaga bersih yang berasaskan tiga teras utama iaitu tenaga boleh diperbaharui, hidrogen dan mobiliti hijau.
Melangkah keluar daripada perniagaan terasnya, Petronas mengembangkan keupayaan hilirannya untuk merangkumi rangkaian produk dan perkhidmatan bukan bahan api yang komprehensif termaauk memperluas bahagian petrokimia untuk menghasilkan bahan maju dan bahan kimia khas bagi memenuhi permintaan global dan menyokong kepelbagaian ekonomi.
50 TAHUN KE HADAPAN
Dalam era perubahan paradigma ini, digitalisasi menjadi daya transformasi utama bagi Petronas.
Syarikat ini menerajui kemajuan dalam teknologi medan minyak digital dengan memanfaatkan analitik data masa nyata dan pandangan berasaskan kecerdasan buatan (AI) bertujuan mengoptimumkan proses pengeluaran, meningkatkan kecekapan operasi serta meminimumkan kesan alam sekitar.
Dalam tempoh 50 tahun akan datang, Petronas akan terus meneroka peluang pertumbuhan baharu dalam bidang tenaga boleh diperbaharui, hidrogen, mobiliti hijau, bahan kimia khusus, penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) serta rantaian nilai berasaskan bio demi memenuhi keperluan landskap tenaga yang sentiasa berubah.
Seperti mana Petronas menceburi perniagaan minyak dan gas 50 tahun lalu, kini syarikat itu sekali lagi berada di wilayah yang belum diterokai.
Namun, kali ini Petronas bukan lagi pemain baharu. Dengan pengalaman luas, syarikat itu lebih bersedia dan dilengkapi dengan sumber, infrastruktur sokongan serta kumpulan bakat yang kukuh untuk melabur ke fasa tenaga seterusnya.
Tatkala matahari terbenam di belakang Menara Berkembar Petronas dan memancarkan cahaya di sekitar Kuala Lumpur, ia bukan sekadar menerangi latar langit kota.
Kemajuan yang dicapai ketika ini adalah bukti yang wajar diberikan penghargaan atas kerja sama yang terjalin erat antara kerajaan Persekutuan dan semua kerajaan negeri dalam menguruskan sumber negara selama ini.
Malah, ia juga menzahirkan sebuah visi dan misi tentang masa depan di mana tenaga mampan, inovasi tanpa batasan dan Petronas terus memimpin dengan matlamat jelas sebagaimana yang telah mereka jayakan sepanjang 50 tahun ini.-UTUSAN