SEJUMLAH 652 kes kemalangan membabitkan kenderaan berat dilaporkan berlaku di seluruh negara dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini. Jumlah itu mencakupi 287 kes maut, 95 parah dan 270 cedera ringan.
Antara punca kejadian adalah kecuaian pemandu yang mengantuk, memandu melebihi had laju dibenarkan dan kenderaan membawa lebih muatan serta tidak diselenggara dengan baik.
Isu keselamatan pemanduan kenderaan berat atau kenderaan perdagangan menjadi fokus utama dalam forum “Menginovasi Keselamatan: Menavigasi Jalan Masa Depan untuk Keselamatan Kenderaan Berat dan Perjalanan ulang alik” menerusi Persidangan Keselamatan Jalan Raya Asia (CARS) 2024.
Forum itu dipengerusikan Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros), Assoc. Prof. Ts. Dr. Siti Zaharah Ishak. Ahli panel ialah Ketua Bahagian Pencegahan, Perubatan dan Pemulihan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Dr. Azlan Darus; Pakar Pengangkutan, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), Alejandra Cruz Ross; Presiden Majlis Keselamatan Pengangkutan Eropah (ETSC), Prof. Dr. Walter Eichendorf dan Partnership Officer, UN Road Safety Fund, Valeria Motta.
Selain isu keselamatan ulang alik ke tempat kerja, kesemua panel membangkitkan masalah kemalangan kenderaan berat seperti trak dan bas yang cenderung mengakibatkan impak lebih teruk disebabkan fizikal kenderaan bersaiz besar sekali gus memberi kesan kerosakan ketara dan kecederaan lebih serius.
Menurut Dr. Azlan, sekiranya berlaku kemalangan melibatkan kenderaan komersial, banyak pihak terutama pemandu sendiri dan orang lain turut terlibat kerana pemandu kenderaan ini membawa kenderaan lebih besar dan lebih tinggi risiko di jalan raya.
Justeru, katanya, pelbagai program perlu dilaksanakan berbentuk kesedaran, pendidikan atau latihan bagi pemanduan selamat selain pemeriksaan kesihatan pemandu supaya mereka sentiasa dalam keadaan cergas untuk memandu.
Dalam hal ini, Perkeso bercadang merangkumkan semua program berkaitan keselamatan perjalanan melibatkan pekerja dan juga pemandu kenderaan berat.
Katanya, majikan syarikat kenderaan berat juga perlu memainkan peranan penting bagi memastikan kenderaan mereka sentiasa dalam keadaan selamat di jalan raya dan berfungsi dengan baik bagi keselamatan semua.
Terdapat garis panduan pemanduan selamat yang dikeluarkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (JKJR) yang boleh digunakan sebagai senarai semak supaya semua risiko kemalangan ini dapat diatasi termasuk pemandu, keadaan kenderaan dan laluan perjalanan tersebut yang boleh diteliti dengan mewujudkan satu sistem pengangkutan yang teratur.
“Ia tidak terhad kepada satu aspek iaitu pemandu sahaja tetapi juga dari segi latihan dan kecergasan untuk memandu.
“Aspek penyelenggaraan kenderaan pun sama, ada tatakelola bagaimana ia perlu sentiasa berfungsi baik dan dapat menjalankan perniagaan,” katanya.
Menurut beliau, antara program yang dilaksanakan Perkeso dalam keselamatan di jalan raya ialah Work Related Road Safety Programme (WRRSP) iaitu program untuk para majikan kenderaan berat mengambil tataamalan keselamatan berkaitan merancang perjalanan, penyelenggaraan kenderaan dan kesihatan pemandu.
Selain itu, Perkeso turut melaksanakan program Commuting Safety Support Programme (CSSP) dalam kesedaran keselamatan ulang alik ke tempat kerja.
Program yang dijalankan kepada lebih 400 majikan sejak 2017 itu berjaya mengurangkan impak 10 peratus kemalangan perjalanan dan pengurangan 21 peratus tingkah laku tidak selamat. – UTUSAN