NIBONG TEBAL: Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), agensi dan badan pemikir strategik di bawah Kementerian Sumber Manusia, giat melaksanakan inisiatif YES! Rock the School dengan kerjasama Kementerian Pendidikan.
Selepas kejayaan di Kedah, Pahang, dan Johor, program itu diperluaskan ke Pulau Pinang melalui kerjasama dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Universiti Sains Malaysia (USM).
Inisiatif ini bertujuan memberi pendedahan industri dan menyemarakkan minat pelajar sekolah rendah dan menengah terhadap kerjaya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Ia turut melengkapkan pelajar dengan wawasan serta pengetahuan semasa industri, selaras dengan visi Pulau Pinang untuk memupuk bakat sedia masa depan dalam sektor berteknologi tinggi.
Usaha ini mencerminkan komitmen KESUMA dalam membangunkan tenaga kerja masa depan dengan melibatkan sekolah dalam pembentukan bakat sedia industri.
Memandangkan para pelajar ini bakal memasuki pasaran kerja, penting untuk memastikan mereka dilengkapi dengan kemahiran yang bersesuaian serta menyumbang secara berkesan dalam tenaga kerja.
Majlis perasmian program YES! Rock the School Mega Penang 2024 disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Abdul Razak.
Pada majlis itu, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong menekankan tentang komitmen KESUMA dalam menangani isu guna tenaga tidak penuh (underemployment) dengan lebih proaktif menerusi kerjasama rentas Kementerian.
“Adalah penting untuk menyelaraskan kemahiran dengan keperluan industri supaya rakyat Malaysia mendapat manfaat penuh daripada pembangunan kemahiran dan pendidikan tinggi, seterusnya mencapai kerjaya yang memenuhi aspirasi mereka,” katanya.
Beliau turut mengumumkan TalentCorp akan melancarkan inisiatif YES! Counsellors pada Januari 2025 yang merupakan inisiatif kerjasama dengan institusi pengajian tinggi dan sektor swasta yang akan memberi pendedahan kepada guru kaunseling pengetahuan tentang trend industri dan teknologi terkini bagi membantu pelajar dengan lebih efektif.
Dalam fasa pertama, projek rintis ini akan melibatkan 168 guru kaunselor dari 127 sekolah menengah di Pulau Pinang dan akan memberi manfaat kepada lebih 100,000 pelajar.
Peserta terlibat akan dilatih serta melayakkan mereka sebagai jurulatih utama untuk memastikan kelestarian program itu yang bakal diperluaskan ke seluruh negara dengan sokongan Kementerian Pendidikan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, Thomas Mathew menyatakan, agensi itu akan memanfaatkan sumber dan instrumen seperti Senarai Pekerjaan Kritikal, National Skills Registry, MyNext, MyMAHIR Future Skills Talent Council mengikut sektor industri, serta Rangka Kerja Kemahiran Masa Depan MyMAHIR yang akan datang untuk memaksimumkan potensi bakat tempatan dan membina tenaga kerja masa depan yang produktif.
“Program YES! Rock the School mengambil pendekatan holistik dengan menyasarkan kedua-dua pelajar sekolah serta guru kaunseling. Ini adalah untuk memastikan kami memupuk bakat secara keseluruhan sepanjang perjalanan pendidikan dan profesional mereka,” tambahnya.
Program YES! Rock the School Edisi Mega Pulau Pinang 2024 merupakan program dua hari yang melibatkan lebih 550 pelajar dan 150 guru serta kaunselor dari 34 sekolah di Pulau Pinang.
Ia dianjurkan oleh TalentCorp bersama rakan industrinya, untuk meningkatkan kesedaran kerjaya dan membantu pelajar membuat keputusan berinformasi tentang kerjaya STEM. Inisiatif ini turut menyokong Pelan Tindakan Bakat STEM Pulau Pinang, sejajar dengan NIMP 2030 serta melengkapi Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS). – UTUSAN