HRD Corp anjur acara modal insan terbesar di Asean

HRD Corp anjur acara modal insan terbesar di ASEAN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: National Human Capital Conference & Exhibition (NHCCE) 2024 yang dijadualkan berlangsung dari 30 September hingga 2 Oktober ini akan membincangkan secara terperinci mengenai Kecerdasan Buatan (AI) dalam tenaga kerja masa hadapan.

Program itu merupakan lanjutan daripada kejayaan NHCCE 2023 yang menerima sambutan menggalakkan daripada peserta-peserta dari rantau Asia Tenggara dan akan berlangsung di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.

NHCCE 2024 yang bertemakan ‘Menginsankan Kecerdasan Buatan (AI) untuk Tenaga Kerja Masa Depan’ bertujuan menangani wacana penting mengenai peranan AI di tempat kerja dan kefahaman untuk masa depan tenaga kerja.

Melalui persidangan ini, NHCCE 2024 juga akan menumpukan cara menangani cabaran dan memanfaatkan peluang pertumbuhan AI untuk tenaga kerja dan bakat di seluruh dunia.

Sehubungan itu, proliferasi AI di peringkat global telah memberi kesan besar dalam memajukan pembangunan modal insan.

Platform pembelajaran berkuasa AI dan pembantu maya akan membantu memudahkan pembangunan kemahiran dan pemerolehan pengetahuan untuk pekerja serta membolehkan pekerja menyesuaikan diri dengan keperluan pekerjaan yang sentiasa berubah dan kekal kompetitif di pasaran pekerjaan global.

Ini tetap menjadi pemangkin dalam perbincangan dan inisiatif yang sedang berjalan bagi membentuk masa depan pekerjaan dan pembangunan bakat di seluruh dunia.

NHCCE 2024 akan menampilkan lebih 30 tokoh terkenal dunia dalam bidang modal insan, pengamal serta pakar-pakar bidang HR akan membuat penampilan pada NHCCE kali ini.

Antaranya, Mehdi Hasan yang merupakan wartawan dan pengulas politik British-Amerika yang telah memenangi pelbagai anugerah.

Beliau pernah bekerja dengan saluran berita dan penerbitan terkemuka seperti The Guardian, Al Jazeera, Peacock, dan MSNBC, di mana beliau menjadi hos rancangan ‘The Mehdi Hasan Show’.

Turut serta, John Mattone yang merupakan salah seorang jurulatih eksekutif terbaik di dunia dan pernah bekerja dengan tokoh legenda industri termasuk Steve Jobs dari Apple dan Roger Enrico dari Pepsi.

Beliau juga merupakan perintis Kepemimpinan Pintar (IL) kepada satu sistem kejurulatihan yang mengarahkan pemimpin ke arah kepimpinan yang luar biasa menggunakan falsafah dan kaedah pertumbuhan yang bersifat transformasi dan berorientasikan hasil.

Selain itu, tokoh dunia dalam akauntabiliti, pengukuran dan penilaian, Dr. Jack J. Phillips yang menyediakan perkhidmatan perundingan untuk syarikat Fortune 500 dan organisasi global utama juga akan berkongsi pengalamannya.

Beliau pernah mengendalikan bengkel dan pembentangan di persidangan global.

Persidangan itu juga melibatkan Penceramah global dan pemimpin dunia dalam transformasi manusia, Dr. Justin Cohen yang telah melatih beribu-ribu individu dari lebih 40 negara dan berkongsi pentas dengan tokoh ikonik seperti Deepak Chopra, Richard Branson, John Maxwell, dan Jack Canfield.

Selain perbincangan yang merangsang pemikiran, NHCCE 2024 juga akan menjadi tempat berlangsungnya salah satu pameran terbesar di Malaysia pada tahun ini.

Pameran yang akan berlangsung selama tiga hari ini dibuka kepada orang awam secara percuma dijangka disertai lebih 300 pempamer terkemuka yang menyajikan trend terkini dalam model peningkatan kemahiran, teknologi baharu dan platform kesejahteraan yang akan menggalakkan pertumbuhan organisasi serta perkembangan individu.

Mereka yang berminat untuk menghadiri pameran tersebut boleh mendaftar di https://form.evenesis.com/NHCCE2024/visitor.

Pelbagai aktiviti menarik akan turut diadakan seperti sesi pocket talk yang akan disampaikan oleh pakar-pakar industri dan selebriti terkenal tanah air seperti Lah Ahmad dan Ally Iskandar; padanan perniagaan atau business matching; pameran kerjaya; kaunter khidmat nasihat serta produk HRD Corp; dan pelbagai aktiviti lain.

Pas masuk ke NHCCE 2024 kini juga dibuka untuk pembelian di mana Pas Standard berharga RM3,200, manakala Pas Kumpulan boleh didapati dengan harga RM2,900 setiap orang dengan syarat sekurang-kurangnya lima peserta.

Penjawat awam pula hanya perlu membayar RM2,500 untuk Pas Kerajaan, sementara pelajar hanya perlu membayar RM700 untuk mendapatkan Pas Pelajar.

NHCCE 2024 juga membuka penjualan Pas Antarabangsa kepada delegasi luar negara pada harga USD 1,200 untuk Pas Standard dan USD 900 untuk setiap orang bagi Pas Kumpulan, dengan sekurang-kurangnya tiga orang delegasi.

Untuk maklumat lanjut mengenai NHCCE 2024, sila layari https://hrdcorp.gov.my/nhcce/ atau hantar emel ke [email protected].

Peserta juga boleh menghubungi talian 03-7661 6255 untuk maklumat lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN