5,556 peluang kerjaya menanti belia di MAHA 2024

5,556 peluang kerjaya menanti belia di MAHA 2024

Salah seorang pengunjung ditemuduga bagi peluang pekerjaan dalam Program Agro Job Fair sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 yang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang. - UTUSAN/IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 melalui Agro Job Fair menawarkan sebanyak 5,556 peluang kerjaya di 38 syarikat kepada pengunjungnya terutama golongan belia yang sedang mencari pekerjaan.

Program Agro Job Fair dijayakan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Pengarah Bahagian Pembangunan Kapasiti & Latihan Pertanian (BPKLP), Hizatul Haliza Hashim berkata, matlamat Agro Job Fair diadakan adalah untuk menyediakan peluang pekerjaan yang berkaitan agromakanan kepada golongan belia.

Hizatul Haliza Hashim

Malah, menurutnya, ia turut bagi membuka peluang padanan kerja antara majikan dan pencari kerja, selain mempromosikan Program Latihan Kemahiran Pertanian Kebangsaan (PLKPK) kepada orang awam khususnya belia.

“Jawatan yang ditawarkan adalah pelbagai dengan tangga gaji minimumnya sebanyak RM1,500. Jadi kita harap 5,556 peluang pekerjaan itu diisi sepenuhnya hingga hari terakhir MAHA 2024 iaitu pada 22 September ini.

“Inilah ruang yang diberikan, siapa sahaja yang datang ke Agro Job Fair, mereka boleh terus temuduga pekerjaan dan hanya bawa resume. Sekiranya berjaya, mereka akan terus mendapat pekerjaan tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di sini.

Mengulas lanjut, Hizatul Haliza berkata, sepanjang dua hari MAHA 2024 berlangsung, sudah ada pencari kerja yang berjaya mendapatkan pekerjaan.

“Dalam dua hari ini, kita sudah temuduga sebanyak 23 orang dan yang berjaya adalah tiga orang sementara 12 individu lain berjaya ke peringkat temuduga kedua,” katanya.

Tambahnya, kejayaan Agro Job Fair boleh dilihat melalui penganjuran julung kalinya pada MAHA 2022 yang menyaksikan ramai belia dan pencari kerja memperoleh peluang pekerjaan.

Dalam pada itu, beliau berkata, Agro Job Fair turut menyediakan reruai pameran pendidikan sijil dan diploma yang ditawarkan oleh KPKM.

“Kita ada 15 pusat bertauliah dan 10 bidang merangkumi pertanian, perikanan, penternakan dan ada juga penyenggaraan jentera pertanian, pemasaran, pemprosesan makanan serta kita ada pengkhususan yang memang menjalankan pengajian tentang pengeluaran padi sahaja.

“Jadi kita menjemput belia-belia daripada 18 hingga 25 tahun untuk menyertai sijil-sijil ini, kita tawarkan makanan dan penginapan percuma. Malah, pelatih turut diberi elaun sebanyak RM200 sebulan sepanjang tempoh pengajiannya iaitu setahun enam bulan.

“Kita juga tidak menekankan teori, ia hanya 30 peratus sahaja daripada modul pengajian dan selebihnya kita menekankan latihan amali,” jelasnya.

PENGUNJUNG

Pengunjung, Nur Fazilla Mohd. Jupri, 31, berkata, beliau menghadiri MAHA 2024 daripada rumahnya di Senawang, Negeri Sembilan bagi merebut peluang pekerjaan yang ditawarkan di Agro Job Fair.

Nur Fazilla Mohd. Jupri

“Saya tengok promosi MAHA 2024, di mana saya lihat ada Agro Job Fair jadi saya pilih untuk datang dan hadir temuduga memandangkan saya memang sedang mencari pekerjaan,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Muhammad Faiz Abdul Aziz, 32, berkata, program Agro Job Fair di MAHA 2024 merupakan inisiatif yang baik, di mana pengunjung turut boleh mencari peluang pekerajaan selain melawat reruai-reruai disediakan.

“Saya datang ke MAHA 2024 adalah untuk tengok pameran-pameran di sini dan saya rasa Agro Job Fair merupakan program yang baik bagi pengunjung terutama untuk belia dan pencari pekerja lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN