100 tempat laluan khas kadet Palapes sertai ATM

100 tempat laluan khas kadet PALAPES sertai ATM

Mohamed Khaled Nordin pada program Syarahan Eksekutif bersama Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Awam di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim. semalam. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Kementerian Pertahanan akan menyediakan laluan khas kepada anggota kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) di Universiti Awam untuk menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) apabila mereka tamat pengajian Ijazah Sarjana Muda, bermula tahun depan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ATM sudah bersetuju untuk menyediakan 100 tempat khas melibatkan ketiga-tiga cabang perkhidmatan iaitu Darat, Laut dan Udara.

Katanya, kementerian juga sedang mempertimbangkan untuk menanggung sebahagian daripada bayaran pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) 100 pegawai kadet PALAPES terlibat.

“Langkah ini dapat memenuhi usaha kita untuk menjayakan Angkatan Masa Hadapan bersandarkan pada ancaman bukan tradisional serta cabaran kemajuan teknologi.

“Kita memang perlukan anggota ATM dan pegawai yang memiliki pelbagai latar belakang ilmu dan kemahiran,” katanya kepada pemberita semasa program Syarahan Eksekutif Menteri Pertahanan bersama Pegawai Kadet PALAPES Universiti Awam di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di sini, semalam.

Menurutnya, laluan khas itu akan menjadi sebahagian daripada proses rekrut ATM setiap tahun.

Mengenai bidang pengajian yang menjadi prasyarat kemasukan ke laluan khas itu, Mohamed Khaled berkata, ia bergantung pada keperluan setiap cabang perkhidmatan ketenteraan.

“Setiap tahun kita tentukan kalau kita mahu teknologi maklumat (IT) atau ekonomi, ATM akan pilih siapa 100  orang yang berjaya itu, tengok kepada keadaan. Masuk tentera selepas itu dia akan ditauliah mengikut perkhidmatan masing-masing.

“Kalau dia IT, mungkin bahagian keselamatan siber, kalau dia komunikasi mungkin jurutera radio,” katanya.

Beliau  juga berkata, langkah itu dibuat sebagai menghargai penglibatan mahasiswa yang menyertai PALAPES sepanjang pengajian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN