Transformasi PKNS dari bina rumah kos rendah kepada konglomerat

Transformasi PKNS dari bina rumah kos rendah kepada konglomerat

Pengerusi Ikhlas Capital, Tan Sri Mohamed Nazir Tun Abdul Razak (kiri) bercakap mengenai Memimpin Perubahan: Mengemudi Transformasi Organisasi pada forum Transformasi PKNS: Peluang dan Cabaran di Pusat Konvensyen Shah Alam, semalam. – utusan/ FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Selama enam dekad, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berada di barisan hadapan dalam meningkatkan pembangunan sosioekonomi negeri ini dari berstatus pemaju rumah kos rendah hingga kini berkembang menjadi kumpulan konglomerat.

PKNS seperti syarikat korporat lain turut mempunyai misi dan perancangan untuk meneroka bidang kecerdasan buatan (AI) sebagai sebahagian bidang pelaburan yang berpotensi untuk dimajukan anak syarikatnya.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS, Datuk Mahmud Abbas, PKNS sebagai sebuah syarikat perlu bertransformasi bukan sahaja sebagai pemaju rumah mampu milik tetapi juga menjadi pemaju yang membina bangunan komersial dan projek inovasi bernilai tinggi selaras dengan peningkatan taraf hidup rakyat negeri ini.

Mahmud Abbas

“Kini PKNS telah berkembang dengan penubuhan 12 anak syarikat selain peranan kita sebagai pemaju perumahan sejak 60 tahun lalu.

“Anak-anak syarikat tersebut memberi tumpuan kepada tujuh sektor perniagaan yang pelbagai termasuk tenaga boleh diperbaharui (RE), penjagaan kesihatan, pengurusan sisa, industri, hospitaliti, pembangunan perusahaan mikro, kecil, dan sederhana selain perniagaan teras utamanya, hartanah,” katanya pada forum bertajuk Transformasi PKNS: Peluang dan Cabaran yang diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), semalam.

Jelasnya, PKNS melalui anak syarikatnya, Worldwide Holdings Berhad (WHB) bakal menyediakan bekalan tenaga yang diperlukan melalui Loji Janakuasa Turbin Gas Gabungan 1,200 megawatt di Pulau Indah.

Projek itu akan menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negeri dan Lembah Klang yang lebih besar.

“Projek itu pada masa yang sama akan membantu negara mencapai komitmen nasional bagi mengurangkan pelepasan gas Karbon Dioksida (CO2) sebanyak 45 peratus menjelang 2030.

“Worldwide Holdings juga terlibat dalam sektor tenaga lain, termasuk tenaga termal dan tenaga boleh diperbaharui seperti biogas, solar dan hidro. Ini membuktikan komitmen Kumpulan PKNS untuk mencapai Pelepasan Karbon Sifar menjelang 2050,” katanya.

Dalam pada itu, Mahmud turut menyentuh projek bangunan komersial terbaharu PKNS menerusi sektor hartanahnya dan telah merancang bagi meningkatkan pembangunan di kawasan perbandaran seperti Kota Puteri, Antara Gapi dan Selangor Cyber Valley.

Menurutnya, Taman Perindustrian Hijau yang akan diwujudkan di Kota Puteri (Crown City) akan menjadi pusat bagi industri pintar dan mampan dengan kemudahan yang sesuai untuk perniagaan di samping menjadi peneraju dalam inisiatif alam sekitar, sosial, dan tadbir urus (ESG).

“Taman perindustrian tersebut diharap dapat menarik ramai pelabur memandangkan ia merupakan taman perindustrian pertama di Malaysia ini yang dilengkapi dengan ladang solar untuk membekalkan tenaga hijau kepada kilang-kilang yang berada di situ,” jelasnya.

Sebagai sebahagian daripada visi masa depan yang progresif Mahmud menegaskan,PKNS turut giat menyelaraskan diri dengan amalan terbaik industri untuk terus memainkan peranan sebagai agensi kerajaan yang memperkayakan negeri dan rakyatnya.

Beliau berharap, PKNS akan terus memainkan peranan sebagai pemaju hartanah negeri di kawasan yang ditetapkan dalam pelaksanaan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) sebagaimana dibentangkan Menteri Besar Selangor dua tahun lalu.

Mengenai forum tersebut, ia diadakan bagi membincangkan trend masa depan, cabaran, prospek, inisiatif serta strategi transformasi yang perlu dilaksanakan oleh Kumpulan PKNS sebagai langkah penting dalam menuju era baharu yang lebih mampan dan berdaya saing serta kekal relevan.

Tambah Mahmud, forum tersebut menampilkan dua tokoh berwibawa dalam latar industri yang berbeza iaitu Pengarah In Nature Berhad, Cahya Mata Sarawak, Pavilion Real Estate Investment Trust dan Malayan Flour Mills Berhad, Datuk Maznah Abdul Jalil dan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Naluri Hidup Sdn. Bhd., Azran Osman Rani.

“Sesi forum telah dimulakan dengan perkongsian istimewa daripada tokoh korporat negara, Tan Sri Mohamed Nazir Abdul Razak yang membicarakan tajuk Memimpin Perubahan: Mengemudi Transformasi Organisasi.

“Secara tidak langsung penganjuran forum ini memberikan impak besar kepada PKNS dalam mengekalkan imejnya sebagai sebuah agensi pembangunan yang stabil dan relevan dalam industri hartanah.

“Malah, ia turut berupaya meningkatkan kredibiliti serta reputasi PKNS sebagai badan pemikir dalam pelbagai sektor terpilih, yang mana ia merupakan salah satu strategi untuk memupuk budaya pendidikan berterusan dalam kalangan masyarakat,” ujarnya.

Forum tersebut menghimpunkan kira-kira 250 jemputan daripada ahli pengurusan PKNS serta anak syarikatnya, pegawai kanan PKNS, rakan media dan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad, Datuk Hasan Azhari. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN