Rukun Negara tiang seri perpaduan negara

Rukun Negara tiang seri perpaduan negara

RUKUN Negara perlu dihayati dan difahami bersama-sama Perlembagaan Persekutuan yang menjadi tunjang kepada perpaduan dalam kepelbagaian etnik, kaum dan agama. – UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERISTIWA 13 Mei 1969 telah mencatatkan sejarah pahit buat negara. Peristiwa rusuhan kecil tersebut juga telah mengorbankan 196 nyawa rakyat Malaysia.

Sehubungan dengan itu, Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang diketuai oleh Tun Abdul Razak telah dibentuk susulan sistem kerajaan Berparlimen telah digantung oleh Yang di-Pertuan Agong melalui pengisytiharan darurat.

Perisytiharan Darurat telah diwartakan dan berkuat kuasa pada 16 Mei 1969 di bawah Ordinan No. 2 (kuasa-kuasa Perlu) Darurat 1969. MAGERAN ketika itu telah menubuhkan tiga badan iaitu Majlis Muhibah Negara, Jabatan Perpaduan Negara dan Majlis Perundingan Negara (MPN).

Melalui Majlis Perundingan Negara yang dianggotai oleh 13 tokoh negara daripada pelbagai latar belakang kaum dan kepakaran telah menghasilkan Rukun Negara sebagai falsafah negara baharu.

Rukun Negara telah dirangka berdasarkan tujuh tunjang utama yang telah dikemukakan melalui kertas ‘Pillars of Nation’.

Antara tujuh (7) tunjang utama yang dicadangkan ketika itu adalah Ketuhanan (Belief in God), Kesetiaan (Loyalty), Keadilan (Justice), Kewarganergaraan (Citizenship), Keutuhan (Integrity of the Nation), Kebahagian (Well-being) dan Kesopanan (Canons of Decency).

Akhirnya, Rukun Negara telah dirangka dan disusun kepada dua bahagian iaitu 5 cita-cita dan 5 prinsip. Cita-cita dan prinsip Rukun Negara kemudiannya telah diterjemah kepada suatu bentuk falsafah atau ideologi nasional. Falsafah atau ideologi nasional ini terus kekal sebagai panduan dan tonggak negara.

Pada tahun lepas, Jemaah Menteri telah meluluskan cadangan Kementerian Perpaduan Negara supaya sesi lafaz ikrar Rukun Negara dibaca penuh bermula dengan mukadimah dan diikuti dengan lima perinsip Rukun Negara dalam program-program rasmi Kerajaan termasuk semasa majlis perhimpunan di semua sekolah dan IPT.

Bagi menyemarakkan lagi penghayatan dan pemahaman Rukun Negara, Kementerian telah melancarkan inisiatif Eksplorasi Rukun Negara yang melibatkan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat.

Aspirasi inisiatif ini adalah untuk meningkatkan penghayatan Rukun Negara sebagai wadah penyatupaduan rakyat Malaysia.

Kementerian Perpaduan Negara sentiasa memberi komitmen yang tinggi dalam usaha menerapkan elemen Rukun Negara yang berfokuskan kepada pengukuhan pengetahuan, pemahaman, penghayatan dan pengamalan Rukun Negara dalam kalangan generasi muda.

Penerapan nilai-nilai perpaduan dan hidup bermasyarakat jua diberikan kepada kanak-kanak seawal usia 4 hingga 6 tahun di Tabika Perpaduan (TP) dan kanak-kanak yang berusia bawah 4 tahun di bawah program Taska Perpaduan (TSP).

Kini ada sebanyak 1,781 TP dan 41 TSP di seluruh negara. Aktiviti Modul Rukun Negara juga diperkenalkan dalam program Pembelajaran dan Pengajaran di TP dan TSP dalam usaha menyemai benih-benih perpaduan di peringkat awal persekolahan agar sentiasa dijiwai dan dijadikan sebagai pembudayaan dalam kehidupan seharian.

Kementerian Perpaduan Negara telah mengadakan kerjasama bersepadu dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam usaha penerapan Rukun Negara di sekolah melalui penubuhan Kelab Rukun Negara (KRN) dan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) melalui penubuhan Sekretariat Rukun Negara (SRN) semenjak tahun 2004.

Sehingga 30 Jun 2024, bilangan Kelab Rukun Negara (KRN) di seluruh negara adalah sebanyak 6,849 merangkumi 4,416 sekolah rendah dan 2,433 sekolah menengah manakala penubuhan Sekretariat Rukun Negara (SRN) sehingga Jun 2024 adalah sebanyak 189 SRN.

Selain itu, Kementerian melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional telah dan akan melaksanakan pelbagai program penghayatan Rukun Negara seperti Eksplorasi Rukun Negara, Simposium Pendidikan Rukun Negara Prasekolah, Pendidikan Perpaduan di Kelas Tabika Perpaduan, Kem Anak Malaysia, Kenali Budaya Kita, Program Raja Kita Payung Kita, Debat Perpaduan, Jelajah Belia Rukun Negara, Diskusi Perpaduan: Chit Chat Belia dan Jalinan Integrasi Nasional Mahasiswa.

Dalam hal yang sama, saya telah meminta pihak Kementerian untuk mengkaji keperluan untuk menjadikan Rukun Negara sebagai mukadimah kepada Perlembagaan Persekutuan.

Saya juga berharap agar semua Dewan Undangan Negeri juga akan melafazkan Rukun Negara di setiap pembukaan penggal agar menjadi teladan kepada rakyat di negeri masing-masing.

Rukun Negara merupakan satu hadiah istimewa yang diwariskan oleh pemimpin terdahulu kepada kita semua dalam terus mengekalkan perpaduan negara. Perpaduan Negara amat penting dalam memastikan keharmonian negara terus terpelihara.

Rukun Negara perlu dihayati dan difahami bersama-sama Perlembagaan Persekutuan yang menjadi tunjang kepada perpaduan dalam kepelbagaian etnik, kaum dan agama. Penghayatan Rukun Negara bukan sahaja menyuntik semangat patriotisme, malah turut menyuburkan perpaduan dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum, bangsa dan agama.

PENULIS ialah Aaron Aro Dagang, Menteri Perpaduan Negara

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN