IPOH: Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik dan Cybernics Kebangsaan PERKESO, yang terletak di Bandar Meru Raya di sini adalah inisiatif utama Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk membangunkan sebuah pusat rehabilitasi kebangsaan yang terkemuka di rantau Asia Tenggara.
Perkhidmatan Rehabilitasi yang Berkualiti di Zon Utara
Berdasarkan statistik dari tahun 2014 hingga kini, 30 hingga 35 peratus kes kemasukan Orang Berinsurans atau pencarum PERKESO yang datang ke Pusat Rehabilitasi PERKESO berasal dari zon utara.
Dengan peningkatan tahunan dalam jumlah kes kemalangan dan penyakit tidak berjangkit (Non-Communicable Diseases, NCD) di negara ini, pusat baharu di Perak dijangka dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada pekerja yang dilindungi PERKESO dan orang awam di kawasan tersebut.
Pusat ini berupaya memberikan manfaat kepada 2,400 hingga 3,000 pencarum dan bukan pencarum setiap tahun sekali gus memacu keberkesanan program Return To Work (RTW) PERKESO. Sejak tahun 2017 hingga kini, 63,241 individu berjaya kembali bekerja.
Pusat ini dibina di atas tanah seluas 38.47 ekar dengan fasa pertama merangkumi 11 blok utama, iaitu Block A (Nucleus), Block B (Neuro-Robotics), Block C (Vocational), Block D (Medical), Block E (Advance Return To Work), Block F (Hostel), Block G (Aquatic), Block H (Administration), Block J (Convention Centre), Block K (Surau) dan Block L (Commercial Village).
Setiap blok berintegrasi dengan perkhidmatan Neuro-Robotik dan Cybernics, rawatan rehabilitasi konvensional dan perubatan tradisional.
Terdahulu Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong memaklumkan setakat 2 Ogos lalu pembinaannya telah memasuki fasa pembinaan pesat dengan keseluruhan pembangunan dijangka siap pada 1 Mei 2025.
Reka bentuk pusat ini telah mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, yang menggabungkan elemen budaya ikonik khusus negeri Perak.
Pembinaan pusat ini menampilkan reka bentuk moden dengan seni bina kompleks dan memerlukan integrasi peralatan khusus berteknologi tinggi, memastikan pusat ini bukan sahaja selari dengan kemajuan teknologi terkini tetapi juga mampu menawarkan rawatan lebih efektif.
Pusat Kecemerlangan Antarabangsa
Dengan teknologi terkini, ia akan menjadi hab perkhidmatan neuro-robotik terbesar di Asia Tenggara dan dunia selain berfungsi sebagai Pusat Kecemerlangan dalam Program Rehabilitasi dan Return To Work di peringkat serantau dan global.
Perkhidmatan Rehabilitasi Komprehensif dan Berteknologi Canggih
Pusat Rehabilitasi ini akan dilengkapi dengan teknologi robotik terkini, termasuk rawatan Neuro-Robotik dan Cybernics yang dibangunkan di Jepun. Melalui kerjasama strategik yang sedia ada antara PERKESO dengan Cyberdyne Jepun, lebih banyak teknologi robotik Cyberdyne HAL (Hybrid Assistive Limb) yang terkini dan rawatan Cybernics akan dibawa masuk.
Perkhidmatan yang akan disediakan oleh Pusat Rehabilitasi ini, akan menumpukan kepada rehabilitasi perubatan dan vokasional yang holistik, berdasarkan konsep rehabilitasi sepanjang hayat.
Antara perkhidmatan yang akan disediakan termasuk Neuro-Robotic Rehabilitation, Advanced Virtual Rehabilitation, Intelligent Neuro-Robotic Gym, Cybernics Research Centre, Physical Rehabilitation, Pediatric Rehabilitation, Geriatric Rehabilitation, Cancer Rehabilitation, Burns Rehabilitation, Vocational Retraining dan Advanced Return To Work and Recreational Programme.
Pembangunan Sumber Manusia Tempatan
Pusat ini akan menawarkan sebanyak 400 peluang pekerjaan tetap dalam pelbagai bidang kesihatan dan perkhidmatan sokongan seperti Pakar Perubatan Rehabilitasi, Pegawai Perubatan, Pembantu Perubatan, Jururawat, Jurupulih Carakerja, Jurutera Prostetik dan Ortotik, Pengurus Kes serta lain-lain.
Ini akan memberi kesan positif kepada pembangunan modal insan dan pasaran pekerjaan di negeri ini sekali gus mengurangkan migrasi anak muda ke ibu kota untuk pekerjaan.
Merangsang Ekonomi Tempatan
Pembangunan pusat ini juga dijangka merangsang ekonomi setempat termasuk pembangunan perumahan, perkhidmatan makanan dan minuman, penyelenggaraan, logistik, pendidikan tinggi, serta perniagaan sokongan seperti peralatan perubatan dan penjagaan kesihatan.
Pengoperasian Pusat Rehabilitasi ini kelak akan mempergiatkan lagi aktiviti pelancongan domestik dan menggilap potensi Perak sebagai antara lokasi pilihan industri pelancongan kesihatan atau health tourism yang utama di Malaysia, selaras dengan Rancangan Struktur Negeri Perak 2040.
Sedekad memacu revolusi rehabilitasi
Pusat Rehabilitasi PERKESO, ditubuhkan untuk memulihkan golongan pekerja yang terbencana agar dapat berdikari, berintegrasi dalam masyarakat dan seterusnya kembali bekerja, menerusi pemulihan fizikal dan vokasional.
Pusat Rehabilitasi PERKESO Tun Abdul Razak di Melaka merupakan pusat rehabilitasi pertama di rantau Asia Tenggara yang mengintegrasikan rehabilitasi perubatan dan vokasional serta program Return to Work. Terdapat empat lagi pusat satelit iaitu di Kuala Lumpur, Shah Alam, Kuala Terengganu dan Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor.
Pusat Rehabilitasi PERKESO menawarkan perkhidmatan rehabilitasi yang holistik kepada golongan rentan, termasuk pencarum dan bukan pencarum. Sejak mula beroperasi pada 1 Oktober 2024 dan sehingga kini, 17,663 individu telah menjalani rehabilitasi di Pusat Rehabilitasi PERKESO.
Sebahagian besar mereka mengalami kecederaan seperti strok, masalah muskuloskeletal, kecederaan saraf tunjang, kecederaan otak traumatik, dan amputasi anggota . Secara purata, kira-kira 68% daripada mereka yang menjalani rehabilitasi telah berjaya dipulihkan dan kembali bekerja.
Pusat rehabilitasi ini turut menyediakan kemudahan latihan vokasional bagi pemerkasaan kebolehpasaran buruh dengan menawarkan modul vokasional mencakupi jahitan, kulinari, pengurusan pejabat, dan lain-lain bertujuan untuk menyediakan kemahiran melalui reskilling dan upskilling bagi meningkatkan kebolehpasaran buruh. – UTUSAN