KUALA LUMPUR : Program Eksplorasi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) ketika ini menjadi medium bagi mendedahkan golongan muda tentang kelebihan dan kepelbagaian jurusan yang wujud dalam bidang berkenaan.
Program yang berlangsung selama tiga hari dan berakhir esok merupakan program susulan daripada sambutan Hari TVET Negara 2024 dan pelancaran dasar TVET Negara 2023.
Menurut Ketua Sekretariat Majlis TVET Negara, Dr. Mohd. Faizal Tokeran, dengan tema ‘TVET Pilihan Utama Kerjaya’, ia merupakan satu langkah proaktif untuk menyebar luas potensi bidang TVET bagi memacu ekonomi dan kemajuan negara.
“Program ini bertujuan mempromosikan peluang kerjaya dan latihan yang ditawarkan dalam bidang TVET kepada pelbagai golongan terutamanya pemimpin setempat dari seluruh negara.
“Melalui program ini, kami berharap dapat menarik minat lebih ramai individu untuk menceburi bidang-bidang yang berkaitan dengan TVET, sekali gus menyokong usaha kerajaan dalam memperkasakan modal insan berkemahiran tinggi yang diperlukan oleh industri,” katanya ketika ditemui pada pameran itu semalam.
Sempena pameran itu, beberapa reruai dibuka mengikut jurusan tertentu sebagai pendedahan kepada umum, selain memberi perkhidmatan mengikut jurusan berkaitan.
Secara umumnya kata Mohd. Faizal, program ini akan memfokuskan kepada empat elemen utama iaitu pameran teknologi dan kerjaya, pameran kisah kejayaan ikon TVET, Talk Show ikon TVET; dan konsultansi latihan dan kerjaya.
“Program ini menyokong objektif jangka panjang Dasar TVET Negara 2030 dengan memberikan platform kepada agensi TVET, industri dan pihak berkepentingan untuk berkolaborasi dan mempromosikan kepentingan TVET sebagai laluan kerjaya yang utama dan relevan untuk masa depan.
“Ini adalah langkah penting dalam membina ekosistem TVET yang lebih inklusif, berkualiti, dan selaras dengan keperluan ekonomi negara,” katanya.
Sejajar dengan Dasar TVET Negara 2030 yang memberi fokus kepada pembangunan modal insan berkemahiran, ia mencakupi sektor dan industri dengan pertumbuhan dan nilai tinggi (high-growth high value, HGHV).
Selain itu, program Eksplorasi TVET juga memfokuskan pameran teknologi berdasarkan kepada sembilan sektor, iaitu kluster Automotif, Kluster Teknologi Aeroangkasa; Kluster Robotik dan IoT; Kluster Multimedia Kreatif dan Kluster Pembuatan Termaju.
Antara lain adalah Kluster Rel; Kluster Perladangan Moden; Kluster Pertanian dan Penternakan; Kluster Pembinaan dan Renewable Energy; dan Kluster Gaya Hidup.
“Setiap kluster ini akan diterajui oleh agensi-agensi TVET yang berpengalaman dan kami berharap ia akan memberi inspirasi kepada pengunjung tentang pelbagai peluang yang wujud dalam sektor-sektor ini.
“Pada pameran itu juga diterapkan elemen konsultansi latihan dan kerjaya yang akan memfokuskan kepada aktiviti khidmat nasihat berkaitan pemilihan bidang latihan, institusi latihan dan perancangan laluan kerjaya. Sesi konsultansi ini akan melibatkan kepakaran tenaga pengajar TVET merentasi pelbagai agensi dan Kementerian serta tenaga mahir industri untuk memberi pencerahan kepada para pengunjung berkaitan bidang-bidang yang diminati,” ujar Mohd. Faizal.
Sementara itu, pengunjung boleh melawat pameran Kluster Gaya Hidup di Dewan Tun Hussein Onn (THO), yang membawakan servis serta perkhidmatan dalam bidang berkaitan TVET.
Menurut Mohd. Faizal lagi, sebanyak lima buah reruai utama bagi kluster gaya hidup akan ditampilkan seperti Seni Konfeksioneri, Bakeri & Barista (GIATMARA), rekaan Pakaian & Fesyen (GIATMARA), Terapi Kecantikan & Solekan (GIATMARA), Terapi Sukan (KBS) dan Pemeriksaan Kesihatan (UniKL RCMP).
“Di dewan yang sama turut terdapat pameran kisah kejayaan serta sesi talkshow oleh ikon TVET akan berperanan sebagai bukti konkrit potensi bidang TVET dalam membina kerjaya dan menjana pendapatan. Sehubungan itu, kisah-kisah kejayaan ikon TVET akan dipamerkan dalam program ini dan ia turut dimantapkan lagi dengan kehadiran beberapa ikon TVET untuk berkongsi secara santai berkaitan pengalaman dan kejayaan mereka untuk dijadikan inspirasi kepada para pengunjung,” ujarnya lagi.
Tambah Mohd. Faizal, kolaborasi antara agensi TVET dan kementerian yang berkaitan adalah elemen penting dalam memastikan kejayaan Program Eksplorasi TVET ini.
Jelasnya, setiap agensi dan kementerian membawa kepakaran dan pengalaman yang unik, yang membantu memperkayakan kandungan dan impak program.
“Kerjasama ini membolehkan kami menyediakan maklumat yang tepat, peluang latihan yang relevan dan laluan kerjaya yang sejajar dengan keperluan industri semasa. Melalui sinergi ini, kami dapat memastikan bahawa objektif Dasar TVET Negara 2030 tercapai, terutama dalam aspek pembangunan modal insan yang berkualiti tinggi dan memenuhi permintaan ekonomi yang semakin kompleks,” jelasmya.
Dalam pada itu, Ketua Program Fisioterapi UNIKL, Nurhaida Rosley turut berkata, pihaknya menyediakan servis pemeriksaan awal bagi mengesan simptom muskulo skeletal (gabungan otot dan tulang) supaya rawatan lanjut dapat dibuat di mana-mana pusat pemeriksaan.
“Jika mereka mempunyai sebarang permasalahan kesihatan membabitkan otot atau pun tulang, kita boleh memberi nasihat kepada mereka apa yang harus dilakukan. Setakat ini ramai pengunjung yang hadir sejak servis ini dibuka bermula 12 tengah hari,” ujarnya.
Bagi Ketua Jabatan Perkhidmatan Sukan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Langat, Ida Shahiza Saharom, pihaknya turut menyediakan servis urutan (sport massage) dengan bayaran RM10 selama 15 minit untuk merasai cara urutan yang berbeza kepada para pengunjung yang hadir.
“Dalam masa yang sama, kita memberi pendedahan kepada para pelatih untuk membuat servis rawatan kepada pengunjung yang berminat. Urutan ini sebenarnya adalah untuk para atlet, tetapi kita bagi pengunjung merasai sendiri servis yang diberikan,” ujarnya.
Salah seorang pengunjung yang hadir, Hafiz Razali pula berkata, program sebegini perlu diteruskan dari semasa ke semasa untuk memberi pendedahan kepada golongan belia tentang kursus TVET dan jurusan yang diwujudkan.
“Saya yakin masih ramai lagi yang tidak tahu akan program yang diwujudkan di bawah TVET. Jadi, inilah masanya untuk program ini terus diperkenalkan kepada orang ramai kerana ia sangat memberi manfaat kepada golongan belia dan masyarakat,” ujarnya. – UTUSAN