WCIT2024: Perak sedia jadi tumpuan dunia

WCIT2024: Perak sedia jadi tumpuan dunia

SAARANI Mohamad berucap pada Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT 2024) Ke-7 di Ipoh anjuran Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), semalam. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Perak sedia untuk terus menganjurkan program yang dapat menghimpunkan tokoh-tokoh antarabangsa bagi membincangkan pelbagai isu terutama permasalahan dunia Islam.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, komitmen itu terbit berikutan kejayaan Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT 2024) Ke-7 di Ipoh anjuran Universiti Sultan Azlan Shah (USAS).

“Kita telah berjaya untuk menjemput tokoh dari luar. Mereka pun menunjukkan komitmen yang tinggi. Komitmen itu menggambarkan bagaimana mereka mempercayai bahawa WCIT ini adalah satu platform yang boleh diguna pakai.

“Negeri Perak bersedia untuk memperluaskan lagi skop ini dan saya percaya ia adalah untuk keharmonian dan kebaikan dunia,” katanya selepas upacara penutup WCIT 2024 di sini semalam yang berlangsung sejak Isnin lalu dan berkenan dirasmikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Semalam, Pemikir ekonomi, Prof. Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali mencetuskan idea supaya Kuala Kangsar dan Perak dijadikan pusat tumpuan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang dianggotai 57 negara seperti mana bandar kecil Davos di Switzerland, iaitu lokasi popular oleh pihak Barat untuk penganjuran Forum Ekonomi Dunia.

Sepanjang tiga hari penganjuran, antara nama popular yang hadir untuk menyertai sesi bual bicara ialah bekas Menteri Hubungan Antarabangsa Afrika Selatan, Naledi Pandor.

Beliau merupakan individu penting yang membawa negaranya mengheret Israel ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) untuk menghentikan kekejaman terhadap Palestin.

Antara tokoh tempatan yang ternama ialah bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md. Yusof; bekas Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan kartunis tersohor, Datuk Mohammad Nor Mohammad Khalid atau Lat.

Semasa ucapannya, Saarani berkata, WCIT 2024 bukan sahaja menjadi pentas pemikiran tokoh intelektual dunia, tetapi turut memancarkan reputasi Perak sebagai penganjur wacana bertaraf global.

“Umat Islam mesti memimpin menerusi contoh serta tauladan yang baik, menunjukkan sifat sabar, dan tebal dengan nilai integriti.

“Dengan menyubur dan mengamalkan nilai-nilai ini, kita dapat menginspirasi manusia sekeliling untuk sama-sama menyumbang kepada dunia yang lebih penyayang dan adil,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN