MSAM Run 2024 bangkitkan semangat menabung, kesejahteraan

MSAM Run 2024 bangkitkan semangat menabung, kesejahteraan dan perpaduan

Pengerusi Kumpulan PNB, YM Raja Tan Sri Dato' Seri Arshad Raja Tun Uda (kanan) menyampaikan sebuah e-bike kepada pemenang hadiah utama cabutan bertuah MSAM Run, Rossilawati Abd Gani, dari Kota Damansara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Lebih daripada 3,500 peserta dari pelbagai lapisan masyarakat telah mengambil bahagian dalam MSAM Run anjuran Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang diadakan sempena Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2024 dan dijadualkan berlangsung di Setia City Convention Centre.

Acara tersebut dipenuhi dengan keriangan dan semangat kesukanan, menarik penyertaan daripada kalangan keluarga dengan anak-anak, penggemar sukan dan ahli komuniti setempat yang mengambil bahagian dalam Larian 5 Kilometer (KM) dan 10KM.

Dalam usaha untuk memupuk minda menabung, PNB telah merangka acara tahun ini dengan lebih inovatif berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Pelaburan nominal sebanyak RM10 ke dalam dana ASNB memastikan peserta layak menyertai larian tersebut, beserta kit larian dan pelbagai manfaat tambahan.

Lebih daripada 3,500 peserta telah mengambil bahagian dalam MSAM Run anjuran Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Komitmen kewangan yang kecil ini bukan sahaja menambah nilai kepada pengalaman acara tetapi juga secara tidak langsung menggalakkan peserta untuk membentuk tabiat menabung yang lebih baik.

Dengan menggabungkan pendekatan ini, acara ini bertujuan untuk menekankan kepentingan tanggungjawab kewangan dan menyokong matlamat yang lebih luas mengenai literasi kewangan.

Acara dimulakan dengan Larian 10KM pada jam 7.20 pagi diikuti oleh Larian 5KM yang kedua-duanya dilepaskan oleh Pengerusi Kumpulan PNB, YM Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Raja Tun Uda,  dengan kehadiran Puan Rahilah Rahmat, Pegawai Daerah Petaling. Turut hadir ialah tetamu-tetamu kehormat lain dari PNB dan negeri Selangor.

Acara ini menawarkan hadiah cabutan bertuah dan barangan cenderamata MSAM, termasuk hadiah utama E-bike dan tiga hadiah premium berupa jam tangan sukan bernilai RM1,000 setiap satu.

Hadiah utama cabutan bertuah dimenangi oleh Rossilawati Abd Gani, 51 tahun, dari Kota Damansara.

MSAM 2024, karnival literasi kewangan terbesar negara, adalah acara perdana PNB dan selaras dengan Tujuan PNB yang diperbaharui, ‘Mengukuh Kedudukan Kewangan Rakyat, Merentas Generasi.’

MSAM tahun ini, dengan tema ‘Kukuhkan Hidup Anda Di MSAM,’ bukan sekadar memberi fokus mengenai kewangan, ianya merangkumi peningkatan setiap aspek kehidupan, termasuk kesihatan dan kesejahteraan.

Walaupun literasi kewangan dan pelaburan bijak adalah penting, kekayaan sebenar turut meliputi tubuh badan dan minda yang sihat. Di sinilah acara ini sejajar dengan tema dan menarik penglibatan orang ramai dari pelbagai lapisan masyarakat.

MSAM 2024 akan diadakan di Setia City Convention Centre, Setia Alam, dari 22 Ogos hingga 25 Ogos, antara jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam. Kemasukan adalah percuma dan pengunjung dialu-alukan untuk menyertai program dan aktiviti yang disediakan.

Untuk maklumat lanjut, sila lawati laman web rasmi MSAM di https://www.pnb.com.my/msam/ dan platform media sosial rasmi MSAM, Instagram: minggusahamdigital dan Facebook: Minggu Saham Amanah Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN