PERSATUAN Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MiSHA) menyumbang dua set jersi bagi menyokong program pembangunan bola sepak akar umbi selain mempromosikan aspek keselamatan dan kesihatan termasuk dalam sukan yang dititikberatkan persatuan itu.
Tajaan jersi itu masing-masing melibatkan untuk pemain skuad bola sepak Sekolah Kebangsaan Simpang Rawai, Marang, Terengganu dan pemain bawah 12 tahun Akademi Tunas Hulu Terengganu (ATHT) bagi tahun 2024.
Timbalan Presiden MiSHA, Ts. Abd. Mutalib Abd. Gapar berkata, sumbangan itu disalurkan kepada pasukan berkenaan menerusi jaringan sedia sebagai antara tanggungjawab untuk menyokong program pembangunan bola sepak negara.
Sumbangan tersebut diharap dapat membantu usaha menggilap serta mengetengahkan bakat-bakat baharu dalam sukan berkenaan kelak.
Ia juga secara tidak langsung dapat memperkenalkan lagi MiSHA sebagai sebuah institusi yang berperanan dalam mempromosikan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di Malaysia. – UTUSAN