SHAH ALAM: Jiwa merdeka didefinisikan sebagai satu semangat yang membawa kepada kebebasan minda, mencerminkan keyakinan diri, pemikiran yang kritis dan keberanian untuk bertindak demi kebaikan negara.
Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya Dr. Suhaimee Saahar berkata, dalam usaha untuk melahirkan generasi muda dengan jiwa yang merdeka, pelbagai cabaran yang perlu ditempuh.
Katanya, dengan keadaan Malaysia yang semakin pesat membangun, banyak pengaruh dari media sosial yang berpotensi untuk menghakis semangat patriotik dan jiwa merdeka terutama dalam kalangan anak muda.
“Seperti yang kita lihat di aplikasi TikTok, ramai anak muda sudah lupa dengan sejarah perjuangan tokoh-tokoh terdahulu dalam mempertahankan negara.
“Anak-anak muda ini juga tidak kenal dan tidak mampu untuk menjawab soalan mudah seperti siapakah Perdana Menteri Malaysia yang ketiga sebagai contoh, jadi di mana silapnya,” soalnya ketika ditemuramah Utusan Malaysia.
Tambah beliau, oleh itu usaha yang sedang dilakukan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ketika ini adalah bagi melahirkan generasi muda yang memahami maksud sebenar jiwa merdeka yang sarat dengan elemen kemampanan, kesejahteraan dan kelakuan beretika di mana ia perlu diamalkan dalam kehidupan seharian.
“Untuk membina generasi masa depan yang bertanggungjawab dan berkemampuan, tiga nilai asas ini perlu dipupuk,” jelasnya.
Katanya, apabila nilai-nilai asas ini berjaya dipupuk sejak di peringkat awal lagi, generasi muda akan lebih bersedia untuk berhadapan dengan ‘tempoh matang’ yang sedang dilalui Malaysia kini.
“Malaysia sedang melalui fasa tempoh matang di mana banyak perubahan dan ketidakstabilan politik serta dasar-dasar yang sentiasa berubah-berubah terutama dari segi pentadbiran.
“Jadi apabila mereka mempunyai nilai teras itu, segala cabaran boleh dilalui dengan matang tanpa perlu menggugat keamanan negara,” jelasnya.
Tambah beliau, Kementerian Pendidikan Tinggi yang diterajui Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir juga komited dengan melakukan usaha berterusan untuk melahirkan jiwa merdeka dan semangat kepimpinan dalam kalangan pelajar dengan menjadikan mereka tahan lasak dan berdaya saing di peringkat global sambil berakar umbi dalam nilai-nilai tempatan.
“Kalau di negara luar, kita ada Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) tetapi di Malaysia kita ada konsep Madani iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat dan Keyakinan.
“Konsep Madani inilah yang akan kita terapkan dalam jati diri pelajar dan generasi muda melalui nilai-nilai tempatan yang ada di Malaysia,” menurutnya.
Beliau berkata, untuk memupuk jiwa yang merdeka, usaha berterusan dalam pendidikan yang holistik perlu diteruskan.
Bukan hanya pendidikan, tetapi budaya dan seni tempatan perlu diambilkira selain menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat, dan menyemai kesedaran mengenai hak dan tanggungjawab sebagai warganegara.
“Dalam setiap program atau usaha yang ingin dilakukan, pemikiran kritis dan nilai-nilai murni serta program-program kemasyarakatan dan aktiviti sukarela adalah cara-cara penting untuk membangkitkan semangat merdeka dalam rakyat,” ujar beliau.
Katanya, dengan cara inilah, generasi Madani dapat dibentuk melalui pendekatan yang inklusif dan adil.
“Ini termasuk menyediakan peluang ekonomi yang sama rata, menggalakkan interaksi sosial yang harmoni, memastikan keamanan dan kestabilan negara serta mengamalkan prinsip kelestarian alam,” tambahnya.
Menurut beliau, generasi Madani diharapkan dapat mencerminkan prinsip keadilan, kesejahteraan dan perpaduan sosial supaya mereka lebih bertanggungjawab dan berdaya saing dalam menghadapi cabaran masa depan. – UTUSAN