Di sebalik kemegahan jenama McDonald’s Malaysia, terdapat sosok penting yang menjadi tulang belakang pembangunan syarikat tersebut, Dato’ Azmir Jaafar, seorang anak tempatan yang awalnya bermula sebagai Pengurus Pelatih di restoran namun berjaya memahatkan namanya sebagai Pengarah Urusan termuda bagi syarikat itu.
Mungkin ramai yang tidak tahu McDonald’s Malaysia adalah restoran beroperasi tempatan yang dimiliki Azmir. Pada tahun 2016, beliau menjadi pemilik Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd iaitu pelesen McDonald’s Malaysia, apabila syarikat tersebut diambil alih oleh Kumpulan Reza dari Arab Saudi.
Ini secara langsung menjadikan McDonald’s Malaysia sebagai sebuah syarikat 100% milik Muslim.
Sebagai pemilik tempatan McDonald’s di Malaysia, Azmir diberi hak untuk menjalankan operasi secara bebas dan menentukan cara perniagaan dalam pasaran Malaysia.
LATAR BELAKANG
Di sebalik kewibawaannya membangunkan McDonald’s Malaysia yang ada pada hari ini, kisah perjalanan Azmir dalam kehidupan tidak semudah yang disangka.
Kehidupan beliau bermula sebagai seorang anak peneroka yang terletak di Felda Pasir Besar, Negeri Sembilan. Sungguhpun kepayahan hidup dilalui oleh keluarganya, bapa kepada Azmir tidak pernah mengalah dalam memastikan anak-anaknya mendapat kehidupan yang baik dan pendidikan berkualiti.
Melihat pengorbanan bapanya, Azmir meletakkan sepenuh usaha dalam pembelajaran sehingga mendaki ke puncak menara gading.
Beliau mencipta kecemerlangan dalam Sijil Rendah Pelajaran (SRP) dan mendapat tawaran ke SM Sains Tuanku Jaafar di Kuala Pilah.
Kecemerlangan diteruskan apabila ditawar melanjutkan pelajaran ke University of Georgia, Amerika Syarikat dalam Ijazah Sarjana Muda Pengajian Pemakanan (Diet Klinikal) pada tahun 1988 dan kemudiannya meneruskan pengajian Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di University of Bath, United Kingdom pada tahun 1992.
Sekembalinya ke tanah air, beliau memulakan kerjaya bersama McDonald’s Malaysia pada tahun 1993 sebagai Pengurus Pelatih.
Selepas 13 tahun dalam pengurusan syarikat, kewibawaannya menyerlahkan potensi beliau untuk menjawat jawatan Pengarah Urusan McDonald’s Malaysia dari 2006 hingga 2009.
Kepimpinannya terserlah melalui peningkatan bilangan restoran McDonald’s dan pertumbuhan jualan yang berganda di Malaysia.
Lonjakan ini mengangkat beliau sebagai Naib Presiden dan Ketua Pegawai Pembangunan McDonald’s dari 2009 ke 2015 dan melebarkan sayap beliau ke China dan Timur Tengah untuk membantu memperkembangkan pasaran di sana.
Di China, beliau berjaya membangunkan lebih 1,100 restoran McDonald’s termasuk membuka 500 McCafe dan lebih 250 restoran Pandu-Lalu, tiga kali ganda daripada sebelumnya, dalam tempoh lima tahun.
Di Timur Tengah pula, beliau menerajui perniagaan di sana bersama pemilik tempatan McDonald’s melibatkan 17 buah negara.
DARI MALAYSIA UNTUK RAKYAT MALAYSIA
Pada 2015, Azmir kembali menerajui McDonald’s Malaysia sebagai Pengarah Urusan. Pengalaman dalam pasaran antarabangsa digunakan bagi memperhebatkan McDonald’s Malaysia.
Di bawah kepimpinan beliau, Azmir memperkembangkan McDonald’s Malaysia ke lebih 370 restoran di seluruh negara dan turut memperkenalkan pelbagai inovasi baharu dalam operasi restoran.
Ekoran itu, saban tahun McDonald’s Malaysia semakin mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada rakyat Malaysia sehingga nama ‘Mekdi’ dipopularkan sebagai nama sandaran restoran itu.
Jolokan ‘Mekdi’ bukan sekadar nama, tetapi ia adalah simbolik yang McDonald’s Malaysia amat menitikberatkan penglibatan rakyat tempatan dalam perniagaan sama ada aspek pembekalan, logistik mahupun tenaga kerja.
McDonald’s Malaysia adalah antara restoran perkhidmatan segera di Malaysia yang mengguna 100% pekerja tempatan, dengan 90% daripada mereka beragama Islam.
Setakat ini, McDonald’s telah memberi peluang kerja kepada lebih 16,000 rakyat Malaysia. Ini adalah aspirasi yang diangkat Azmir dalam membangunkan McDonald’s Malaysia.
Pada hemat beliau, perkembangan ini bukan sahaja membantu meningkatkan ekonomi dengan membuka restoran di seluruh negara, malah ia membantu meningkatkan sosioekonomi rakyat Malaysia.
KELUARGA MEKDI, KELUARGA SAYA
Pengalaman dibesarkan dalam pedalaman Felda menginsafi Azmir tentang kepayahan hidup yang dilalui masyarakat termasuk pekerjanya.
Pengalaman bermula sebagai pengurus pelatih di restoran membantu membentuk keperibadiannya terhadap masyarakat, faham apa yang dilalui pekerja dan peduli pada kebajikan serta kesejahteraan semua.
Lantaran itu, apabila ada pekerja yang ditimpa musibah, beliau akan pastikan mereka mendapat bantuan mencukupi.
Baru-baru ini, Azmir berkesempatan menunaikan haji. Sepanjang di sana, beliau menghayati perjalanan ibadah itu dengan penuh cabaran dan kehambaan.
Kesempatan itu diambil mendoakan kecekalan para pekerjanya yang kini juga berdepan dugaan dan semoga perniagaan McDonald’s Malaysia yang telah banyak memberi manfaat kepada masyarakat akan terus berdaya niaga dan membantu rakyat.
Selain itu, Azmir juga mempunyai wawasan untuk memastikan McDonald’s bukan sekadar restoran yang biasa, tetapi adalah gedung pembangunan bakat dan kerjaya kepada belia dan pekerjanya. McDonald’s Malaysia di bawah kepimpinannya menawarkan pendidikan dari sijil kemahiran vokasional sehingga ke peringkat pengajian sarjana.
Justeru, pada warga Mekdi, mereka melihat restoran ini bukan sekadar tempat bekerja, tetapi juga sebuah syarikat yang memberikan peluang kepada pekerja menceburi bidang perkhidmatan makanan untuk mara dan maju bersama. – UTUSAN