Tentera Darat Malaysia terus memantapkan peranannya dalam mempertahankan negara bukan sahaja melalui operasi ketenteraan konvensional tetapi juga melalui Operasi Ketenteraan Selain Perang (Military Operations Other Than War – MOOTW) yang merupakan sebahagian usaha dalam mengukuhkan kerjasama awam dan tentera (CIMIC).
Selaras dengan pendekatan ‘Whole of Government’ dan ‘Whole of Society’, Tentera Darat Malaysia memainkan peranan penting dalam menyokong usaha kerajaan dan masyarakat dalam menghadapi cabaran semasa, termasuk bencana alam, krisis kemanusiaan dan pembangunan infrastruktur.
Perkara ini telah diperlihatkan melalui dedikasi dan keberanian anggota Tentera Darat dalam pelbagai operasi melibatkan bantuan banjir yang melanda beberapa negeri sebelum ini apabila anggota Tentera Darat tampil ke hadapan memberikan bantuan segera kepada mangsa yang terjejas.
Operasi ini menunjukkan komitmen Tentera Darat dalam melaksanakan MOOTW di mana fokus utama adalah untuk menyelamatkan nyawa dan meringankan penderitaan rakyat yang terjejas.
Kerjasama erat dengan agensi kerajaan lain seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan badan bukan kerajaan (NGO) merupakan bukti nyata bagaimana pendekatan ‘Whole of Government’ dan ‘Whole of Society’ diterapkan.
Ini bukan sahaja mempercepatkan usaha bantuan tetapi juga memastikan semua sumber digerakkan dengan cekap dan berkesan.
Di samping itu, Tentera Darat juga terlibat secara aktif dalam pembangunan infrastruktur kritikal di kawasan pedalaman seperti pembinaan jambatan Bailey yang sering dilihat di kawasan yang terjejas akibat bencana atau di kawasan yang sukar diakses.
Projek-projek ini bukan sahaja membantu meningkatkan aksesibiliti tetapi juga memainkan peranan penting dalam meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat.
Pembangunan ini juga selari dengan usaha kerajaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat terjaga terutamanya di kawasan luar bandar yang mungkin tidak mempunyai kemudahan yang mencukupi.
Dengan penyertaan Tentera Darat sekali gus menunjukkan bagaimana kerjasama antara agensi dan tentera dapat memberikan manfaat langsung kepada masyarakat.
Melangkah ke hadapan, Tentera Darat Malaysia berhasrat untuk terus memperkukuhkan pendekatan ‘Whole of Government’ dan ‘Whole of Society’ dalam MOOTW.
Ini termasuk memperkukuh latihan bersama dengan agensi-agensi kerajaan dan NGO serta mempersiapkan anggota dengan kemahiran khusus dalam pengurusan krisis, bantuan kemanusiaan, dan pembangunan komuniti.
Melalui usaha ini perancangan strategik akan memberi tumpuan kepada peningkatan kebolehan teknologi dan logistik, ia memastikan Tentera Darat terus relevan dan mampu memberikan tindak balas yang cepat dan berkesan dalam apa jua situasi.
Penekanan juga akan diberikan kepada penglibatan komuniti dalam usaha kesiapsiagaan untuk memastikan masyarakat setempat juga memainkan peranan aktif dalam usaha keselamatan dan pembangunan negara.
Tentera Darat Malaysia, melalui pendekatan komprehensif ini, bukan sahaja akan terus menjadi benteng pertahanan negara tetapi juga sebagai pelindung rakyat dalam menghadapi sebarang cabaran, sama ada dalam bentuk krisis atau pembangunan.
Keterlibatan yang erat dengan pelbagai agensi kerajaan dan masyarakat memastikan setiap usaha yang diambil memberikan impak yang maksimum, sejajar dengan teras keempat Perintah Ulung Panglima Tentera Darat (PTD) ke-30 ‘Gagasan Tentera dan Rakyat’. – UTUSAN