PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelarasan gaji penjawat awam 15 hingga 42 peratus kepada kumpulan pelaksana.
Perdana Menteri berkata, sebanyak tujuh peratus pelarasan gaji pula untuk pengurusan tertinggi.
Katanya, pelarasan itu akan dilaksana secara bertahap dengan fasa pertama bermula 1 Disember ini.
“Fasa seterusnya akan bermula 1 Januari 2025 dan kita melaksanakannya secara berfasa kerana kekangan dan mahu mengelakkan inflasi,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-19 (MAPPA XIX), Perkhidmatan Awam Madani di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, hari ini.
Perdana Menteri memberikan contoh, seorang Pembantu Hidupan Liar Gred G11 dengan pendapatan bulanan pada November 2024 adalah RM1,795 naik kepada RM2,115 dalam Fasa 1 pada Disember 2024.
Bagi Fasa 2 iaitu pada Januari 2026, pelarasan sebanyak tujuh peratus menjadikan pendapatan bulanannya kepada RM2,327. – UTUSAN