DUN Nenggiri perlu pemimpin berjiwa rakyat

DUN Nenggiri perlu pemimpin berjiwa rakyat

MOHD. Azmawi Fikri Abdul Ghani (kanan) rancak berbual dengan salah penduduk semasa berkempen di Kawasan DUN Nenggiri, Gua Musang, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri melihat kawasan itu memerlukan seorang pemimpin berjiwa rakyat dalam membela nasib mereka pada masa hadapan.

Justeru mereka melihat, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani individu yang paling sesuai diangkat sebagai pemimpin pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri 17 Ogos ini.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati rata-rata pengundi di kawasan ini termasuk masyarakat Orang Asli cukup mengenali sosok tubuh yang mesra disapa dengan panggilan Awie.

Seorang penduduk Orang Asli Dendi Johari berkata, sudah tiba masanya rakyat memberi peluang kepada Awie yang merupakan pemimpin muda untuk berkhidmat dan menabur jasa di Nenggiri.

“Sebelum ini pun, Awie sudah banyak membantu dan berkhidmat kepada penduduk Nenggiri. Beliau seorang pemimpin yang bukan sahaja cakna kepada rakyat malah mudah untuk dibawa berbincang jika timbulnya masalah.

“Sikap itu membuatkan penduduk selesa dengan Awie. Besar harapan saya agar Awie menang dan terus membela nasib Orang Asli di pedalaman terutama melibatkan isu jalan, kemudahan, sekolah dan sebagainya,” ujarnya.

Bagi Mohd. Shamsul Kamarul Abdul Rahman, 32, pula, Awie sangat dikenali penduduk DUN Nenggiri sejak lebih 10 tahun lalu.

Katanya, sebelum ini Awie menjadi pembantu peribadi kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Ab. Aziz Yusoff dan telah menjelajah ke seluruh pelosok kampung termasuk kawasan Orang Asli.

“Saya berharap Awie dapat menjadi wakil rakyat kerana dia ada penghubung suara penduduk dengan Kerajaan Pusat. Saya yakin pelbagai isu setempat yang membelenggu penduduk dapat diselesaikan jika wakil rakyat daripada parti kerajaan dipilih rakyat Nenggiri,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Fitri Aziz, 39, memberitahu, dia berharap Awie dapat menjadi wakil rakyat baharu mereka selepas setahun mereka mendapat wakil rakyat pembangkang.

Katanya, sebelum ini penduduk jarang dapat bertemu dengan wakil rakyat Pas, Mohd. Azizi Abu Naim.

“Awie banyak membantu golongan muda di DUN Nenggiri terutama dalam aspek pembangunan sukan. Jika ada masalah atau isu berbangkit kami golongan muda pasti akan mencari Awie.

“Kami yakin kredibiliti serta pengalaman yang ada pada Awie akan menyelesaikan masalah kami,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN