Dr. Noor Fazila perintis wanita industri farmaseutikal Malaysia

Dr. Noor Fazila perintis wanita industri farmaseutikal Malaysia

Dr. Noor Fazila Mohd. Yahaya agresif mencipta kejayaan dalam bidang farmaseutikal. - UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Dalam industri farmaseutikal Malaysia yang penuh dengan persaingan dan cabaran, Dr. Noor Fazila Mohd. Yahaya muncul sebagai perintis wanita yang memecahkan batasan dan mencipta kejayaan luar biasa walaupun baru menapak di bidang itu.

Beliau memulakan kerjayanya dalam bidang industri peranti perubatan selepas menyelesaikan Ijazah Kedoktoran Falsafah Sains (PhD) dalam bidang Bioteknologi Perubatan dari Universiti Malaya (UM).

Berbeza dengan kebanyakan pemegang PhD yang cenderung menjadi pensyarah, beliau memilih laluan kerjaya dalam industri itu sebelum ‘mengubah angin’ ke bidang farmaseutikal.

“Ketika masih menuntut di peringkat akhir pengajian PhD, saya telah menerima tawaran sebagai Eksekutif Pemasaran Kanan di sebuah syarikat peranti perubatan swasta dan berkembang pesat apabila dinaikkan pangkat kepada Pengurus Produk di syarikat itu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Selepas hampir lima tahun dalam bidang peranti perubatan, beliau membuat keputusan berani untuk menceburi bidang farmaseutikal dengan menerima tawaran sebagai Ketua Jabatan Diabetes di Pharmaniaga, sebuah syarikat farmaseutikal terkemuka di Malaysia.

“Menyesuaikan diri dalam pemasaran farmaseutikal adalah cabaran besar kerana saya tiada latar belakang pemasaran dan berasal daripada bidang sains.

“Bagaimanapun, latar belakang sains sangat penting untuk memahami produk yang dipasarkan dan ilmu pemasaran pula dipelajari daripada kawan sekerja dan melalui kursus yang disertai,” jelasnya.

Dalam masa enam bulan bersama Pharmaniaga, Dr. Noor Fazila berjaya mencapai sasaran jualan pada 2023 dan meletakkan beberapa produk Pharmaniaga di posisi yang membanggakan, walaupun baru menapak dalam bidang tersebut.

“Alhamdulillah, tidak sampai setahun saya diberikan kepercayaan, saya mampu mencapai 108 peratus Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan kini saya diberikan lagi kepercayaan oleh Pharmaniaga untuk terlibat dalam projek insulin dan pelbagai ubatan generasi baharu.

“Projek dan ubatan ini akan memberikan impak positif kepada pesakit diabetes dan Pharmaniaga terus komited dalam menyediakan ubat-ubatan terbaik untuk masyarakat melalui kolaborasi dengan syarikat farmaseutikal luar negara.

“Pada tahun ini juga, Pharmaniaga memberikan kepercayaan kepada saya menjaga dua lagi portfolio iaitu Anti-Viral dan Gastroenterologi.

“Kini, saya bertekad untuk terus berusaha mencapai kejayaan yang lebih besar dalam kerjaya dan membantu meningkatkan kesihatan masyarakat,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau juga menasihati generasi muda agar tidak terlalu memilih dalam menentukan kerjaya dan sentiasa berusaha menyesuaikan diri dengan cabaran.

“Pengalaman dan ilmu yang dipelajari, walaupun dalam bidang yang berbeza, tidak akan sia-sia dan mungkin membantu dalam mencapai impian pada masa depan,” nasihatnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN