Anwar, Kerajaan Madani memahami denyut nadi penjawat awam - Utusan Malaysia

Anwar, Kerajaan Madani memahami denyut nadi penjawat awam

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kesabaran pasti menjanjikan pulangan. Begitulah maksud tersirat di sebalik mukadimah awal ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam MAPPA 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) kelmarin.

Amanat perdana menteri ini juga memberi jawapan kepada sebuah penantian yang panjang buat seluruh penjawat awam di Malaysia.

Pelbagai penambahbaikan telah disarankan, namun semua ini seharusnya disambut dengan keazaman untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan dalam kalangan para penjawat awam sendiri.

Justeru, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyambut baik segala perubahan yang bakal dilaksanakan kerajaan di samping bertekad untuk menjayakan segala inisiatif yang telah disampaikan, bersesuaian dengan agenda Pendidikan Tinggi Negara.

Tiga aspek reformasi perkhidmatan awam yang digariskan dalam ucapan perdana menteri termasuk peningkatan produktiviti dan kecekapan, memaksimumkan ketersediaan penjawat awam dalam menerima perubahan serta menambah nilai daya saing dalam negara.

Aspek-aspek ini seharusnya mendasari kerangka penetapan nilai pekerja dan hala tuju semua jabatan kerajaan kerana gelombang perubahan yang melanda dunia pada hari ini menuntut sebuah transformasi minda yang agresif.

Sebahagian intipati reformasi perkhidmatan awam yang dikemukakan perdana menteri secara khususnya menjurus kepada peningkatan kelayakan masuk minimum ke dalam perkhidmatan awam kepada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), penjumudan beberapa skim perkhidmatan awam, penyeragaman semula gred jawatan dan pemindaan syarat lantikan.

Langkah drastik ini sememangnya bakal membawa perubahan besar dalam landskap pentadbiran awam Malaysia, namun perubahan ini pastinya membawa dampak positif dalam usaha Kerajaan memberikan perkhidmatan terbaik buat seluruh masyarakat di Malaysia.

Justeru, UKM sentiasa berlapang dada menerima reformasi cetusan Kerajaan Madani ini.

Satu daripada matlamat UKM adalah meningkatkan bakat dan potensi individu.

Pembangunan peribadi merupakan salah satu keutamaan dalam kepimpinan UKM kerana universiti watan ini benar-benar percaya bahawa organisasi yang berjaya dihasilkan daripada tiga aspek utama iaitu struktur, bakat, dan tingkah laku.

Justeru, inisiatif baharu kerajaan dalam aspek pengurusan dan pembangunan bakat negara dilihat selari dengan agenda sedia ada KPT dan juga universiti.

Antara pembaharuan yang disaran kerajaan termasuklah pelaksanaan sistem MyPERFORMANCE, penambahbaikan kriteria kelayakan pergerakan gaji tahunan serta peningkatan markah penilaian prestasi tahunan bagi urusan pemangkuan.

Bagi mendokong segala saranan ini, UKM bertekad mengadaptasi segala perubahan demi keberhasilan strategik universiti yang lebih kukuh. Ini bakal dilaksanakan melalui pengiktirafan kepelbagaian bakat, penciptaan ilmu baharu dan pengintegrasian teknologi terkini tanpa meminggirkan amalan pengukuhan jiwa watan dan nilai-nilai Madani dalam kalangan seluruh warga.

Seakan memahami denyut nadi penjawat awam, perdana menteri meninggalkan pentas PICC dengan sebuah khabar gembira buat semua apabila pelarasan gaji baharu sebanyak 15% untuk

Kumpulan Pelaksana serta Pengurusan dan Profesional dan kenaikan 7% untuk Kumpulan Pengurusan Tertinggi di Malaysia.

Tidak dinafikan, ramai yang menarik nafas lega selepas mendengar berita pelarasan gaji baharu ini. Semestinya, ekosistem kondusif sektor awam yang disediakan kerajaan tidak seharusnya kita persiakan.

Semoga reformasi penambahbaikan yang bakal dibawa oleh kerajaan menjadi pemangkin semangat penjawat awam di Malaysia untuk meningkatkan produktiviti mereka dalam menyediakan perkhidmatan yang lebih cemerlang di samping mendepani cabaran global dengan lebih tangkas dan menyeluruh.

Penulis ialah Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN