30 tahun misi LZS tangani kemiskinan

30 tahun misi LZS tangani kemiskinan

MOHD. Sabirin Mohd. Sarbini (dua kanan) menyerahkan bantuan zakat kepada keluarga yang memerlukan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pada 1994, Selangor menjadi antara negeri terawal memperkenalkan tadbir urus zakat secara korporat melalui penubuhan Pusat Pungutan Zakat MAIS (PPZ) sebelum ditukar nama kepada Pusat Zakat Selangor (PZS) pada tahun 1996.

Selepas empat tahun penubuhannya, peranan PZS diperluaskan lagi apabila diberi mandat mengambil alih tugas daripada Baitulmal Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

PZS itu kemudiannya berkembang menjadi sebuah entiti di bawah kategori pemegang amanah yang kini dikenali sebagai Lembaga Zakat Selangor (LZS) bermula 2006.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd. Sabirin Mohd. Sarbini berkata, LZS berperanan menguruskan kutipan dan agihan zakat seiring objektif penubuhannya iaitu memperkasa pengurusan zakat, memaksimum kutipan zakat dan meningkatkan keberkesanan agihan zakat.

“Sejak 1994 hingga 2023, LZS telah mengagihkan lebih RM11 bilion kepada ribuan asnaf melalui skim bantuan lima program utama iaitu Sosial, Pendidikan, Ekonomi, Insan dan Institusi Agama,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Katanya, LZS kini memiliki 18 cawangan di seluruh Selangor dan mempunyai lebih 400,000 pengeluar zakat serta menyantuni lebih 350,000 penerima zakat termasuk golongan fakir, miskin dan mualaf di Selangor.

Sepanjang tempoh 30 tahun penubuhannya, LZS turut menerima pelbagai anugerah antaranya Anugerah Pingat Emas di Anugerah Integriti, Tadbir Urus Dan Anti Rasuah (AIGA) 2023, Anugerah Kecemerlangan Kebajikan Sosial Kebanggaan Negara di The Brandlaureate Best Brand Awards 2022-2023 dan Agensi Sokongan Menerusi Komitmen Sosial Oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Selain itu, LZS juga merupakan institusi zakat pertama di Malaysia yang mengintegrasikan prinsip Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG) dalam operasinya bagi memperkukuh komitmen terhadap kelestarian dan kesejahteraan masyarakat.

EVOLUSI KUTIPAN DAN AGIHAN ZAKAT

LZS tidak terlepas daripada evolusi sesebuah institusi iaitu melibatkan kaedah kutipan dan agihan zakat serta struktur pengoperasian organisasi.

Mohd. Sabirin berkata, pada awalnya, bantuan zakat lebih tertumpu kepada bantuan kewangan dan keperluan asas bagi memastikan kelangsungan hidup asnaf sebelum diperluas untuk membangunkan asnaf melalui pendidikan, latihan kemahiran, bantuan modal serta membantu mereka keluar daripada kitaran kemiskinan melibatkan tiga fasa.

“Pada fasa segera, LZS menjalankan program pembangunan kepada asnaf yang mempunyai jurang had kifayah kurang daripada RM250 sebulan melalui program ‘Accelerator’ dengan kerjasama agensi seperti Institut Keusahawanan Negara (Insken) dan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia Berhad (SIRIM) serta perunding pembangunan usahawan. 

“Bagi fasa jangka sederhana, LZS memfokuskan pada generasi kedua untuk meningkatkan bilangan kemasukan asnaf ke pusat pengajian tinggi termasuk institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Fasa jangka panjang pula, LZS akan melaksanakan kajian untuk memahami masalah dan memperhalusi cara penyelesaian dalam menangani kemiskinan bandar,” katanya.

Jelas Mohd. Sabirin, LZS juga mengambil pendekatan mencari dan menjejaki individu atau keluarga yang memerlukan.

“Ekoran itu LZS melaksanakan program Skuad Jejak Kemiskinan, mewujudkan Skuad Saidina Umar (skuad 24 jam) dan melantik hampir 2,000 penolong amil kariah (pemudahcara di kariah). 

“Selain itu, teknologi memainkan peranan penting dalam kutipan dan agihan zakat termasuk penggunaan sistem pembayaran dalam talian, aplikasi Zakat Selangor dan permohonan bantuan dalam talian bagi memudahkan proses serta meningkatkan kecekapan pengurusan LZS,” katanya. 

CABARAN DIHADAPI

Katanya, peningkatan golongan asnaf dan permohonan bantuan zakat, isu miskin bandar serta persepsi masyarakat yang skeptikal terhadap pengurusan dana zakat merupakan antara cabaran LZS.

“LZS berdepan cabaran peningkatan miskin bandar apabila terdapat 40,000 keluarga atau 61 peratus fakir dan miskin di Selangor dan cabaran kami adalah untuk meningkatkan capaian terhadap mereka kerana kadangkala mereka tidak mahu tampil ke LZS untuk mendapatkan bantuan.

KENAL PASTI MISKIN BANDAR

Mohd. Sabirin berkata, pada masa ini daerah Petaling, Gombak, Klang dan Hulu Langat merupakan daerah yang mempunyai penerima bantuan zakat tertinggi daripada sembilan daerah di Selangor.

Asnaf di daerah ini dikategorikan sebagai miskin bandar dengan LZS mengambil kira daerah tersebut mempunyai populasi tinggi dan merupakan pusat ekonomi di Selangor.

“Bagi mengenal pasti mereka asnaf, kami menggunakan kaedah Haddul Kifayah yang merujuk kepada had atau paras minimum keperluan asas yang diperlukan oleh seseorang individu atau keluarga untuk hidup dengan selesa dan mencukupi berdasarkan kos sara hidup semasa.

“Mengikut data semasa, lebih daripada 350,000 penerima bantuan LZS termasuk asnaf fakir dan miskin tinggal di Selangor. Manakala lebih 41,000 ketua keluarga tinggal di empat daerah utama tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, berdasarkan kepada permohonan yang diterima LZS, kemiskinan bandar di Selangor berlaku kerana penghijrahan individu untuk bermastautin tanpa persediaan lengkap. Tahap pendidikan yang tidak tinggi juga antara faktor mereka tidak mendapat pekerjaan yang baik atau pendapatan lumayan hingga menyebabkan terpaksa menjadi golongan asnaf di bandar.

“Faktor sosial juga memainkan peranan dalam jumlah miskin bandar apabila ada ahli keluarga terlibat dengan kes jenayah mengakibatkan hilang sumber pendapatan serta peningkatan kes anak luar nikah,” katanya.

INISIATIF GOLONGAN MISKIN BANDAR

Mohd. Sabirin berkata, pada 2023 sebanyak RM777 juta dibelanjakan untuk program pembangunan sosial.

“Mengikut statistik Data Bantuan LZS bagi bantuan konsumtif, sebanyak RM229 juta bantuan kewangan bulanan diberikan kepada lebih 50,000 keluarga, RM144 juta bantuan perumahan kepada 21,000 keluarga dan RM80 juta bantuan pendidikan melibatkan 33,000 individu.

“Tujuan LZS memberi bantuan konsumtif terlebih dahulu supaya penerima bantuan tidak perlu lagi  kir tentang keperluan asas dan mereka boleh fokus kepada pembangunan kerjaya untuk keluar daripada kemiskinan.

“LZS turut menyediakan ruang dan peluang kepada asnaf bandar meningkatkan pembangunan diri. Antaranya melalui Pusat Inovasi dan Pembelajaran Al-Biruni yang menyediakan ruang kepada generasi kedua asnaf untuk memupuk minat menuntut ilmu dan berwawasan tinggi serta Projek Agroekonomi untuk ketua keluarga asnaf belajar bercucuk tanam selama tiga bulan bagi mereka yang mempunyai tanah,” katanya.

PERKASA KUTIPAN ZAKAT

Mohd. Sabirin berkata, dengan kutipan zakat melebihi RM1 bilion, LZS dapat memperluaskan bantuan dan program pembangunan kepada lebih ramai asnaf.

“LZS akan meningkatkan strategi memastikan kutipan sentiasa cukup bagi keperluan agihan zakat. Jika kurang kutipan, berkemungkinan kurang juga kadar agihan zakat.

“Kami juga akan terus pergiatkan usaha supaya kutipan zakat meningkat melalui program kesedaran, penglibatan syarikat korporat, tingkat dan permudahkan saluran bayaran selain meneroka ruang digital,” katanya.

Beliau berharap LZS dapat menjadi institusi zakat yang terunggul termasuk di peringkat global dengan model pengurusan zakat yang inovatif dan mampan. UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN