PETALING JAYA: Lebih 1,000 peserta dari dalam dan luar negara bakal menghadiri seminar Keselamatan Sosial untuk Pekerja Sendiri dan Pekerja Platform yang berlangsung dua hari bermula Selasa ini di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.
Antara peserta antarabangsa yang menyatakan kehadiran ialah dari Switzerland, Korea, Jepun, Singapura, Thailand, India, China dan Turkiye.
Seminar anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bersama Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA) itu menampilkan lebih 20 pakar pengamal keselamatan sosial terkemuka dunia sebagai ahli panel.
Perkeso dalam satu kenyataan memaklumkan, pakar akan membincangkan topik berkaitan amalan terbaik dan penyelesaian teknikal yang memberi penekanan aspek keselamatan sosial untuk individu bekerja sendiri dan pekerja platform.
“Program ini memberi fokus berkenaan peningkatan kesedaran memperluas perlindungan keselamatan sosial, mendidik peserta tentang perkembangan terkini dalam ekonomi gig.
“Selain itu, seminar ini memberi maklumat mengenai trend masa depan dan mengenal pasti kelompongan serta penyelesaian efektif dalam perlindungan keselamatan sosial sedia ada,” katanya.
Antara barisan panel yang akan berkongsi input sepanjang program itu ialah Pengarah Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC), Prof. Emeritus Datuk Dr. Norma Mansor, Ketua Pakar Teknikal Perlindungan Sosial, Pasukan DWT, Pejabat Serantau Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) Bangkok, Kenichi Hirose dan Timbalan Felo Penyelidik, Institut Penyelidikan Persaraan Kebangsaan, Korea, Dr. In Young Jung.
Turut ditampilkan Ketua Setiausaha ISSA, Marcelo Abi-Ramia Caetano dan Pengurus Kumpulan Protokol dan Entiti, Institusi Keselamatan Sosial Turkiye, Zeynep GÜNDER serta ramai lagi.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dijangka hadir merasmikan Seminar Teknikal ISSA 2024.
Program bertaraf antarabangsa ini turut dihadiri Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong; Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Sri Abdul Rahman Mohamad; Presiden ISSA Ke-17, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed dan Ketua Setiausaha Kesuma, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud. – UTUSAN