WCIT platform baharu persidangan ekonomi antarabangsa

WCIT platform baharu persidangan ekonomi antarabangsa

NOOR Azlan Ghazali (tengah) pada sesi perbincangan bertajuk Pembangunan dan Kerjasama Ekonomi di dalam WCIT 2024 yang turut disertai oleh bekas Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Dr. Ali Salman (kiri) di Ipoh, semalam. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Dunia Islam dijemput datang ke Perak, khususnya Kuala Kangsar untuk mendalami pengalaman terbaik tentang bagaimana keluar daripada kemiskinan dan memperkasakan aktiviti ekonomi.

Pemikir ekonomi, Prof. Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali mengaitkan Kuala Kangsar memandangkan daerah itu merupakan lokasi Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), selaku penganjur Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia Ke-7 (WCIT 2024) yang sedang berlangsung dari 29 hingga 31 Julai.

Beliau berkata demikian sebagai melihat itu adalah pendekatan praktikal untuk dunia Islam mempelajari amalan terbaik oleh negara seperti Malaysia yang berjaya mengubah struktur ekonomi.

Idea beliau itu muncul susulan penganjuran WCIT berjaya mengumpulkan ramai tokoh dan pemikir Islam.

Noor Azlan malah mahu Kuala Kangsar dijadikan pusat tumpuan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang dianggotai 57 negara seperti mana bandar kecil Davos di Switzerland, iaitu lokasi popular oleh pihak Barat untuk penganjuran Forum Ekonomi Dunia.

Beliau malah berkata cadangan itu memenuhi hasrat Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk menjadikan negeri ini sebagai pusat ilmu.

“WCIT adalah satu tawaran istimewa negeri Perak atau bandar Kuala Kangsar. Para pembentang ini semua orang yang hebat dunia,” katanya kepada pemberita selepas menjadi ahli panel sesi perbincangan bertajuk Pembangunan dan Kerjasama Ekonomi di dalam WCIT 2024 yang turut disertai oleh bekas Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Dr. Ali Salman di sini semalam.

Sementara itu, Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Indonesia, Sandiaga Salahuddin Uno turut menjadi ahli panel dalam sesi tersebut secara maya.

Beliau berkata, Malaysia yang pernah melalui fasa kemiskinan dan kini menjadi antara negara Islam termaju boleh dijadikan rujukan kepada negara-negara Islam.

“Negara-negara OIC tidak perlu pergi belajar di New York atau Washington. Sebab mereka dah terlalu lama melalui episod itu.

“Kalau jumpa dengan ahli-ahli ekonomi daripada negara maju ini, kebanyaan mereka yang hidup hari tak pernah melalui zaman pembangunan itu,” katanya yang juga Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN