Umat Islam perlu bangkit, bersatu – Sultan Nazrin

Umat Islam perlu bangkit, bersatu – Sultan Nazrin

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah (tengah) berkenan bergambar bersama tetamu selepas merasmikan Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) 2024 di Pusat Konvensyen Casuarina di Ipoh, Perak, semalam. Turut kelihatan Anwar Ibrahim; Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Saarani Mohamad. – UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Umat Islam seluruh dunia perlu bangkit dan bersatu untuk membantu masyarakat yang berdepan kesusahan serta kemiskinan khususnya di negara yang berdepan konflik peperangan.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, laporan Indeks Pembangunan Manusia (HDI) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan pemulihan tidak sekata berlaku di seluruh dunia.

Titah baginda, jurang antara negara mempunyai tahap pembangunan terendah dan tertinggi semakin melebar serta berisiko ketinggalan.

Baginda bertitah, sejak Oktober 2022, dua konflik besar menjejaskan populasi majoriti Islam tercetus, iaitu perang saudara Sudan dan konflik di Gaza sementara perang di Ukraine yang berlanjutan ke tahun ketiga mengakibatkan kesusahan ketara serta berpanjangan kepada rakyat negara itu.

“Merentasi konflik global itu, orang awam yang tidak berdosa dari pelbagai agama Islam dan bukan Islam termasuk ribuan wanita dan kanak-kanak menanggung beban penderitaan, terbunuh, cedera dan dipaksa keluar dari rumah.

“Memandangkan trend HDI dan konflik dahsyat ini, adalah wajar tumpuan diberikan kepada kemanusiaan. Ummah tidak berdiri bersama sehingga semua berdiri.

Ummah juga tidak boleh berpuas hati untuk meninggalkan seorang ahli komuniti global di belakang. Sesungguhnya menjadi kewajiban ummah untuk saling membantu.

“Jadi ummah mesti mengambil tindakan untuk membantu orang Islam dan bukan Islam yang lemah sebelum terlambat,” titah baginda dalam Ucaptama Diraja sempena Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) 2024 di Pusat Konvensyen Casuarina di sini, semalam.

Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah bertitah pada Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) 2024 di Pusat Konvensyen Casuarina di Ipoh, Perak, semalam.

Sultan Nazrin bertitah, dengan bilangan umat Islam yang ramai dan kekayaan serta keistimewaan, kebersatuan yang dibina dapat membentuk dasar yang mempengaruhi dunia Islam sekali gus memberi kesan positif kepada seluruh umat Islam.

Baginda bertitah, umat Islam mempunyai satu kalimah, satu kiblat dan satu al-Quran serta iman yang menyatukan ummah melalui teras tersebut.
“Ummah berdiri bersama. Bersatu melalui kebersamaan ini, walaupun yang paling miskin dan lemah boleh menjadi kuat.

“Namun, pada masa ini ummah tidak dapat berbuat apa-apa untuk membantu berjuta-juta umat Islam yang menderita dalam kemiskinan, malah membantu penduduk Gaza yang miskin.

“Melangkah ke hadapan, ummah mesti melakukan lebih banyak lagi untuk memastikan kekayaan dan kuasa kolektif digunakan untuk menyokong mereka yang kurang bernasib baik demi kebaikan, kesejahteraan dan kekuatan ummah,” titah baginda.

Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia kali ke-7 anjuran Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) kali ini membawa tema Together We Stand: Muslims and Global Humanity.

Dianggarkan lebih 1,000 peserta terdiri daripada ulama, pemimpin, intelektual, profesional dan masyarakat akan menghadiri persidangan itu selama tiga hari bermula semalam.

Nama besar yang terlibat dalam sesi persidangan ialah bekas Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla.

Persidangan mengetengahkan isu-isu semasa geopolitik antarabangsa termasuk konflik di Palestin, persaingan Amerika Syarikat-China serta kumpulan ekonomi BRICS (Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN