Takaful Malaysia lancar pelan hibah takaful Kaotim Legasi

Takaful Malaysia lancar pelan hibah takaful Kaotim Legasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (Takaful Malaysia), pengendali takaful pertama di Malaysia, telah melancarkan Kaotim Legasi, pelan Hibah takaful mampu milik dengan nilai perlindungan hayat sehingga RM2 juta.

Kaotim Legasi merupakan pelan Hibah takaful mampu milik yang ditawarkan melalui platform digital Kaotim dari serendah RM30 sebulan.

Pelan Hibah takaful ini boleh dilanggan melalui dalam talian untuk memberi perlindungan kepada rakyat Malaysia dan orang tersayang daripada kejadian yang tidak dijangka dan kesulitan kewangan.

 

Nor Azman Zainal

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, Nor Azman Zainal berkata, pihaknya amat berbesar hati dengan sambutan positif yang diterima sejak pelancaran jenama dan platform digital Kaotim serta pelan Kaotim MediKad pada November tahun lalu.

Menurutnya, kejayaan itu mendorong pihaknya untuk melancarkan Kaotim Legasi sebagai produk terbaharu di bawah jenama Kaotim.

“Kaotim Legasi merupakan pelan Hibah takaful bertujuan membantu masyarakat merancang keperluan perlindungan kewangan mereka dan kelangsungan hidup ahli keluarga sekiranya berlaku kematian kepada pelanggan produk ini.

“Pelan Hibah takaful ini dapat membantu menyelesaikan masalah warisan yang timbul akibat kematian, seperti masalah kewangan yang dihadapi oleh waris si mati samada untuk meneruskan kehidupan, mahupun melunaskan hutang si mati dengan menggunakan pampasan yang diperolehi,” katanya.

Beliau berkata, pelanggan boleh melanggan Kaotim Legasi sebagai hadiah kepada sesiapa sahaja, sama ada waris atau bukan, kerana pelan tersebut tidak tertakluk pada pembahagian harta.

Sebaliknya, katanya, ia berfungsi sebagai pengganti pendapatan jika pelanggan tidak lagi boleh bekerja akibat hilang upaya atau penyakit kritikal.

“Manfaat pelan Hibah takaful ini juga boleh digunakan untuk menampung kos pendidikan anak-anak sekiranya hilang sumber pendapatan utama. Anda juga boleh menuntut pelepasan cukai jika melanggan Kaotim Legasi,” katanya.

Nor Azman berkata, matlamat pihaknya adalah untuk memperkenalkan kepada rakyat Malaysia akan perlindungan yang dapat membantu kewangan mereka.

Menurutnya, Kaotim Legasi berbeza daripada produk lain kerana ia menawarkan nilai perlindungan hayat yang tinggi melalui platform dalam talian serta pilihan perlindungan tambahan untuk empat puluh lapan penyakit kritikal.

“Kami yakin Kaotim Legasi akan menjadi penanda aras dan memberikan perlindungan yang diperlukan oleh para pelanggan kami.

“Pelanggan boleh melanggan Kaotim Legasi dalam talian, pada bila-bila masa, di mana sahaja dengan melengkapkan transaksi dalam hanya beberapa minit untuk terus dilindungi pada hari yang sama.

“Kami ingin memberikan pengalaman yang lancar dan efisien ketika melanggan Kaotim Legasi. Matlamat kami adalah untuk membina legasi penyelesaian perlindungan agar terus kekal kompetitif dan dinamik dalam industri insurans dan takaful, sekali gus memperkukuhkan jenama Kaotim melalui rangkaian pelan perlindungan dalam talian yang menyeluruh dan mampu milik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN