Sasar lembaga kemajuan wilayah berdikari 10 tahun akan datang

Sasar lembaga kemajuan wilayah berdikari 10 tahun akan datang

AHMAD Zahid Hamidi (tengah) bersama tetamu kenamaan menunjukkan tanda isyarat bagus semasa program Pemukiman Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Dengan Syarikat Milikan Agensi KKDW di Pusat Konvensyen Desaru Coast, Kota Tinggi, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyasarkan semua lembaga kemajuan wilayah di bawahnya mampu berdikari dalam membiayai kos pengurusan dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) tanpa suntikan belanjawan untuk tempoh 10 tahun akan datang.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tahun ini sebanyak RM11.55 bilion diperuntukkan untuk KKDW termasuk diagihkan bagi perbelanjaan anak syarikat di bawahnya.

“Insya-Allah kita berazam untuk 10 tahun akan datang, semua lembaga kemajuan wilayah akan self substain, self sustain untuk membiayai kos pengurusan dan kos CSR serta tanggungjawab sosial yang lain tanpa adanya suntikan belanjawan daripada Kementerian Kewangan dan KKDW.

“Dengan adanya pembengkelan ini, kita berazam untuk pembiayaan dan sikap berdikari ini dapat dicapai dalam tempoh 10 tahun akan datang. Saya fikir untuk tempoh itu mungkin satu peratusan (keuntungan) yang tertentu dapat kita unjurkan.

“Oleh yang demikian, saya telah membuat keputusan bahawa mulai awal September hingga akhir Oktober ini, saya akan pergi ke pemukiman dan pembengkelan di setiap lembaga kemajuan wilayah dan badan-badan di bawah KKDW. Ini untuk saya sendiri memantau dan memberikan input bagaimana turnover bagi urus niaga dapat ditambah dan kita melakukan turnaround management kepada holding companies dan subsidiaries,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan rumusan sempena Program Pemukiman Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Dengan Syarikat Milikan Agensi KKDW di Pusat Konvensyen Desaru Coast, Kota Tinggi, Johor, semalam.

AHMAD Zahid Hamidi berucap sempena Program Pemukiman Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Dengan Syarikat Milikan Agensi KKDW di Pusat Konvensyen Desaru Coast, Kota Tinggi, Johor, kelmarin. 

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, prestasi syarikat di bawah KKDW berjaya merekodkan lonjakan cepat dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Katanya, pencapaian itu hasil daripada tadbir urus dan tatakelola yang mengikut piawaian ditetapkan Kementerian Kewangan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pekeliling Perbendaharaan.

Jelasnya, KKDW turut menambah beberapa prosedur operasi standard (SOP) terutama dari segi pulangan kepada pelaburan (ROI) yang berasaskan kepada prinsip untuk menukarkan syarikat di bawah kementerian menjadi profit centre daripada cost centre.

“Didapati bahawa semua syarikat ini telah mencapai prestasi yang diharapkan dan syarikat-syarikat ini tiada yang rugi tetapi belum membuat keuntungan.

“Saya yakin dengan merger dan sinergi yang telah saya arahkan enam bulan yang lalu, kita akan melihat seratus peratus syarikat di bawah KKDW memberikan pulangan keuntungan dalam bentuk dividen kepada badan induk agensi yang ditubuhkan itu,” katanya.

Menurut beliau, antara anak syarikat yang melaporkan keuntungan adalah RISDA Estate Sdn. Bhd. sebanyak RM7.1 juta, Kolej RISDA Sdn. Bhd. (RM1.26 juta), Sinergi Perdana Sdn. Bhd. (RM6.3 juta), KETENGAH Holding (RM8.66 juta), KETENGAH Perwira Sdn. Bhd. (RM14 juta) dan PERDA Venture Incorporated (RM2.7 juta).

Ahmad Zahid berkata, tindakan KKDW menutup dan menggabungkan 23 anak syarikat agensi di bawahnya yang gagal menjana keuntungan berjaya membawa perubahan drastik terhadap prestasi syarikat.

Katanya, penggabungan anak syarikat yang gagal menjana keuntungan dengan syarikat yang untung juga telah dapat mengelakkan daripada pembuangan kakitangan.

SEBAHAGIAN peserta yang hadir sempena Program Pemukiman Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Dengan Syarikat Milikan Agensi KKDW di Pusat Konvensyen Desaru Coast, Kota Tinggi, Johor.

Beliau turut menyeru warga kementerian itu supaya menerapkan nilai ekonomi sosial melangkaui metrik kewangan semata-mata.

Menurutnya, KKDW juga mesti mewujudkan peluang pekerjaan yang bukan sahaja menyediakan pendapatan, malah memberikan nilai tujuan, kestabilan serta keupayaan untuk menyumbang secara bermakna kepada masyarakat.

Selain itu, kementerian berkenaan harus memberikan akses pendidikan yang baik dan berkualiti bagi memperkasa warga desa untuk mencipta inovasi dan memacu pertumbuhan ekonomi.

“Dalam meningkatkan keterangkuman sosial, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan warga desa tidak terpinggir, diberikan peluang dalam aktiviti ekonomi seterusnya mewujudkan sebuah masyarakat desa yang mempunyai suara dan peranan untuk dilaksanakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN