Sabar, yakin kunci gilap bakat anak

Sabar, yakin kunci gilap bakat anak

KTSA berpusat di Padang Awam Wakaf Dua, Terengganu, membuktikan penubuhannya bukan sahaja memberi pendedahan awal sukan itu kepada pelatih, malah berjaya meningkatkan perkembangan kognitif mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SOKONGAN dan komitmen ibu bapa menghantar anak ke akademi bola sepak, dapat menyuburkan minat si cilik menyertai sukan berkenaan.

Namun kadangkala sokongan yang seharusnya membawa aura positif, boleh bertukar sebaliknya akibat campur tangan berlebihan ibu bapa.

Pengarah Akademi Bola Sepak Kronos Tranung (KTSA), Mohd. Yusran Mat Sharif berkata, itu antara dilema dihadapi pengurusan dan jurulatih akademi bola sepak apabila terdapat segelintir ibu bapa seolah-olah tidak sabar melihat anak mereka mahir bermain bola.

Segelintir ibu bapa ada yang cepat ‘beremosi’ apabila nama anak tidak tersenarai dalam pasukan jika akademi itu menyertai sesuatu kejohanan.

Sedangkan sesetengah kanak-kanak memerlukan masa untuk mahir.

“Pihak pengurusan dan jurulatih ada pertimbangan dan penilaian dalam mengembangkan bakat pelatih.

“Ibu bapa kena faham dan dan beri kepercayaan dengan menyerahkan sepenuhnya kepada kebolehan jurulatih membantu mengembangkan kemahiran pelatih,” katanya.

Kerjasama sangat penting bagi membolehkan barisan kejurulatihan akademi mengasah kemahiran bermain bola sepak.

SOKONGAN dan komitmen ibu bapa termasuk hadir menyaksikan anak-anak mereka beraksi dalam kejohanan atau ketika latihan memainkan peranan penting untuk menanam minat bermain bola sepak.

Mohd. Yusran berkata, jika terlibat dalam program latihan pembangunan bola sepak akar umbi memerlukan komitmen.

“Didiklah anak-anak semangat kesukanan dan beri ilmu yang baik kepada mereka,” katanya.

KTSA berpusat di Padang Awam Wakaf Dua, Terengganu, membuktikan penubuhannya bukan sahaja memberi pendedahan awal sukan itu kepada pelatih, malah berjaya meningkatkan perkembangan kognitif mereka.

Seramai 203 pelatih seawal usia lima tahun mengikuti program latihan profesional di akademi terbabit sejak ditubuhkan pada Mei 2022.

KTSA melahirkan produk berkualiti dan diserap ke Sekolah Sukan Negeri (SSN) serta Pusat Latihan Daerah (PLD), Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).

PELATIH Akademi Bola Sepak Kronos Tranung (KTSA) menjalani latihan setiap hujung minggu sebelum menyertai kejohanan dan perlawanan persahabatan bagi pendedahan minit permainan.

MODUL LATIHAN

KTSA menggunakan modul latihan berdasarkan garis panduan badan bola sepak dunia selain mengikut acuan NFDP agar selari dengan ‘DNA’ Malaysia sambil dibimbing tujuh jurulatih.

Pelatih perlu menjalani latihan setiap hujung minggu sebelum menyertai kejohanan dan perlawanan persahabatan bagi pendedahan minit permainan kerana itu sangat penting dalam usia mereka.

“Sesi latihan digandakan kepada tiga kali seminggu ketika cuti sekolah dengan setiap jurulatih hanya melatih 15 sehingga 20 pelatih setiap kumpulan bagi memberi perhatian kepada mereka.

“Selain menjadi medan mencungkil bakat baharu, KTSA turut mengajar pelatih teknik asas bola sepak bagi memudahkan proses peralihan ke tahap lebih tinggi atau profesional pada masa akan datang.

“Ia lebih daripada sekadar akademi, apabila pelatih didedahkan dengan kemahiran sosial,” katanya.

PELATIH diajar teknik asas bola sepak bagi memudahkan proses peralihan ke tahap lebih tinggi atau profesional pada masa akan datang.

Ibu salah seorang pelatih, Siti Zubaidah Rani, 40, menyifatkan keputusan menghantar dua anaknya berlatih di KTSA sebagai keputusan tepat.

Dua anaknya berusia tujuh dan 12 tahun menunjukkan perkembangan positif di sekolah selain lebih berdisiplin di rumah.

“Sesi latihan di akademi sangat membantu kerana sebelum ini anak-anak saya kurang aktif namun kini lebih menonjol dan ada keyakinan diri untuk terlibat dalam pelbagai aktiviti di sekolah.

“Mereka sudah membiasakan diri bangun awal pagi untuk bersolat Subuh sebelum pergi berlatih di KTSA dan ini adalah hasil pergaulan positif di padang bersama rakan,” ujarnya.

Bagi Muhammad Fareez Abd. Jalil, 36, anak lelakinya yang berusia tujuh tahun tidak lagi menghabiskan masa bersama gajet, sebaliknya ternanti-nanti hari untuk bermain bola sepak di padang.

“Sejak menyertai akademi pada awal tahun ini, didapati anak saya semakin berminat untuk bermain bola sepak. Saya juga tidak ada halangan sekiranya dia mahu menjadikan sukan bola sepak sebagai kerjaya,” katanya.

MOHAMAD Syamil Aryan dan adiknya, Mohamad Shafiy Amsyar belajar teknik dan corak permainan bola sepak sejak menyertai akademi itu dua tahun lalu.

Sementara itu, seorang pelatih, Mohamad Syamil Aryan, 12, berkata, dia banyak belajar mengenai teknik dan corak permainan bola sepak sejak menyertai akademi itu dua tahun lalu.

“Saya juga memperoleh pengalaman berguna apabila berpeluang menyertai kejohanan-kejohanan bersama rakan-rakan dalam akademi,” katanya.

Muhammad Qayyum Rizqi Mohd. Yusri, 12, pula berkata, penyertaan bersama KTSA membentuk keperibadian secara sihat dan positif, bukan bermain bola sepak semata-mata.

“Ketika di akademi banyak yang saya belajar antaranya skil komunikasi dengan rakan, ciri-ciri kepimpinan, disiplin, tolak ansur dan saling menghormati rakan pelatih,” ujarnya.

Seorang lagi pelatih, Mohammad Rizqi Mohd. Ridhwan, 9, berkata, peluang berlatih di KTSA meningkatkan kemahirannya dalam bola sepak selain menambah kenalan.

“Saya bermain sebagai penjaga gol dan disediakan jurulatih khusus untuk posisi itu. Jadi memang seronok apabila dapat belajar teknik yang betul dan bergaul dengan lebih ramai kawan.

“Hujung minggu saya kini lebih terisi dengan bermain bola sepak manakala ketika bulan puasa yang lalu, jurulatih menggantikan sesi latihan dengan kelas Fardu Ain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN