Rapid Bus tambah baik operasi jadikan lebih relevan pada masa kini

Rapid Bus tambah baik operasi jadikan lebih relevan pada masa kini

MUHAMMAD Yazurin Sallij bersama van perkhidmatan Demand Responsive Transit (DRT) di Menara Prasarana.– utusan/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rapid Bus membaik pulih operasi perkhidmatan awamnya seiring dengan permintaan tinggi ketika ini selain sektor itu menjadi tunggak utama kepada ekonomi negara.

Oleh itu, Rapid Bus melakukan penambahbaikan dengan memperkenalkan perkhidmatan Demand Responsive Transit (DRT) dan akan membuat penyumberan luar bas bagi menggantikan bas yang sudah sampai tempoh untuk memastikan keselamatan pengguna terjamin.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Muhammad Yazurin Sallij berkata, idea perkhidmatan DRT ini tercipta bertujuan menyelesaikan rungutan pengguna apabila perjalanan bas perantara mengambil masa yang lama untuk sampai ke destinasi.

Muhammad Yazurin Sallij

Beliau menambah, ia juga susulan sesetengah pengguna yang menggunakan pengangkutan awam tidak gemar untuk menggunakan perkhidmatan bas perantara atau feeder bus .

“Hampir 90 peratus daripada bas perantara Rapid KL dilapor tiba dengan waktu tepat dalam mengambil penumpang di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) dan stesen Transit Aliran Massa (MRT). Namun ia mengambil masa sehingga satu jam setengah bagi melengkapkan semua perhentian yang ditetapkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas perkara itu, beliau berkata, perkhidmatan DRT hanya mengambil masa sekurang-kurangnya lima minit untuk sampai kepada pengguna selepas membuat pesanan daripada aplikasi.

“la juga akan memendekkan perjalanan pengguna untuk terus ke tstesen rel Rapid KL yang berhampiran. Jadi ia akan menjimatkan masa penumpang dari segi mengurangkan masa untuk menunggu dan masa perjalanan yang dipendekkan.

“Penumpang kini boleh menempah tempahan mengikut keperluan perjalanan mereka,” katanya.

Perkhidmatan DRT menggunakan van yang mampu memuatkan hampir 12 orang penumpang dalam suatu masa. DRT juga dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV), sistem kedudukan global (GPS) dan pelbagai sistem keselamatan bagi menjejakinya.

Perkhidmatan van itu beroperasi pada setiap hari, bermula pukul 6 pagi sehingga 11.30 malam dengan tambang RM1 untuk setiap perjalanan dan tambang dibayar menggunakan Pas Perjalanan Tanpa Had My50 serta Kad Konsesi MyRapid dan Pas OKU Smile.

Mengenai cara untuk membuat tempahan DRT, Muhammad Yazurin berkata, ketika ini, pihaknya menggunakan aplikasi pihak ketiga seperti Trek Rides, Kumpool dan Mobi.

“la adalah aplikasi sementara sebelum kami membuat keputusan mengenai jenis model perniagaan yang ingin digunakan termasuk menghasilkan aplikasi tersendiri,” katanya.

Tambah Muhammad Yazurin, beliau menyasarkan sehingga hujung tahun terdapat hampir 80 buah van untuk DRT akan beroperasi.

“Kita akan melaksanakan 20 buah van dengan mengguna dana daripada Prasarana sebelum hujung Jun ini dan 80 buah van menjelang akhir tahun.

“Kami juga mendapat dana daripada kerajaan bag meneruskan projek ini dengan menambah sebanyak 100 buah van di bawah program program DRT ini.

“Prasarana dan Rapid Bus juga sedang bekerjasama dengan sebuah syarikat untuk menganalisis corak perjalanan dengan menggunakan data-data bagi mendapatkan kefahaman yang lebih baik mengenai pelanggan Prasarana KL.

Pemandu van perkhidmatan Demand Responsive Transit (DRT) menunjukkan tanda bagus kenderaan pengangkut yang dibawanya di Menara Prasarana.

Namun beliau berkata, kemudahan DRT tidak boleh menggantikan operasi bas perantara di laluan yang mempunyai jumlah penumpang yang tinggi.

“DRT masih belum mampu menampung di kawasan-kawasan yang mempunyai populasi yang tinggi dan ramai kerana perkhidmatan bas perantara masih diperlukan,” katanya.

PENYUMBERAN LUAR LALUAN RAPID KL

Mengulas mengenai penyumberan luar bas, beliau berkata, terdapat kekangan yang menyebabkan penggantian bas baharu tidak dapat dipercepatkan sehingga mengganggu operasi perkhidmatan tersebut.

“Rapid Bus tidak dapat beroperasi dengan jadual sepatutnya ekoran terdapat kekurangan bas kerana sebanyak 60 buah bas telah ditarik susulan terdapat bas yang semakin tua melebihi jangka hayat yang sesuai untuk operasi.

“Jadi penyumberan luar ini, Rapid Bus akan menyewa bas dan dioperasikan oleh pihak yang ketiga dengan menggunakan jenama dan sistem yang sama sebagaimana yang digunakan Rapid KL,” katanya.

Beliau juga berharap, bas penyumberan luar ini dapat menampung jumlah kekurangan jumlah bas agar operasi dapat dijalankan mengikut jadual.

“Bas penyumberan luar ini telah bermula pada 1 Jun lalu dengan 12 buah bas dan akan ditambah jumlah bas sehingga Disember.

“Sebelum Disember ini, kita akan pastikan terdapat 164 bas yang beroperasi dan 60 daripadanya adalah gantian bas yang terpaksa ditarik atas faktor bas melebihi jangka hayat yang sesuai untuk operasi.

“Saya juga berharap menjelang akhir tahun, terdapat tambahan lebih 100 buah bas di Kuala Lumpur dan 80 buah van untuk DRT bagi melancarkan perjalanan pengguna yang menggunakan pengangkutan awam,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Yazurin juga berkongsi pengalaman pahit dan manis sepanjang 13 tahun berkhidmat dalam sektor pengangkutan awam bersempena dengan ulang tahun yang ke-20 Rapid KL.

“Saya tidak akan lupa tentang kesiapsiagaan petugas dalam memberi bantuan perkhidmatan bas shuttle oleh Rapid Bus kepada para penumpang yang berkesan sewaktu 16 stesen Kelana Jaya ditutup.

“Betapa cekapnya barisan petugas sehingga tiada masa rehat dalam menguruskan masalah ini bagi memastikan penumpang dapat menggunakan perkhidmatan awam dengan baik untuk ke tempat kerja,“ ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN