PETALING JAYA: Luka, terkehel, tegang, terseliuh, koyak, retak dan patah merupakan antara kecederaan yang sering dialami ketika bersukan, berlatih, beriadah atau bersenam.
Bukan sahaja atlet, malah golongan yang jarang bersukan turut terdedah kepada risiko ini.
Kebiasaannya, ia menyerang buku lali dan lutut termasuk bahagian tisu, ligamen (urat), otot, sendi serta rawan.
Namun, rata-rata individu mungkin tidak menyedari tentang kecederaan itu hingga keadaan menjadi bertambah serius.
Perunding Ortopedik dan Pakar Bedah Robotik, Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, Dr. Suhail Suresh Abdullah berkata, pesakit perlu berwaspada dan segera mendapatkan rawatan jika berdepan kesakitan berpanjangan melebihi 48 jam.
Lebih-lebih lagi apabila muncul bengkak atau lebam pada lutut hingga menyukarkan pergerakan.
“Kebanyakan atlet atau ahli sukan di negara ini berdepan kecederaan pada ligamen dan rawan mereka.
“Sebab itu saya selalu nasihatkan supaya tidak ambil mudah dengan gejala bengkak atau lebam kerana ia mungkin petanda ligamen anda koyak,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Menurut Dr. Suhail, kecederaan pada rawan lazimnya bersifat berpanjangan hingga menyebabkan bahagian itu makin menipis atau haus, sekali gus membawa kepada penyakit osteoartritis (OA) lutut.
Lama-kelamaan pergerakan seseorang turut terbatas akibat tulang atas dan bawah lutut yang saling bergesel.
Akhirnya, kualiti hidup pesakit merosot, hinggakan mahu duduk dan bangun pun menimbulkan masalah, lalu terpaksa bergantung kepada alat bantuan berjalan termasuk kerusi roda.
“Kebiasaannya OA lutut berlaku pada usia emas antara 60 hingga 70 tahun tetapi disebabkan kecederaan sukan, seseorang berisiko untuk menghidapnya pada umur lewat 40-an.
“Untuk mendapatkan semula fungsi sendi dan kualiti kehidupan seperti sediakala, pesakit mempunyai pilihan untuk melakukan pembedahan penggantian sendi lutut sama ada secara separa atau sepenuhnya,” katanya.
Menariknya, prosedur itu boleh dilakukan secara pembedahan dengan bantuan robotik, malah Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway merupakan antara peneraju di Malaysia.
Justeru, tidak hairanlah apabila perkhidmatan itu dimanfaatkan lebih 1,000 pesakit tempatan di samping turut menarik pelancong asing dari Indonesia, Singapura, Brunei, Oman, Somalia dan Qatar.
Berbanding kaedah konvensional, kaedah pembedahan dengan bantuan robotik menawarkan banyak kelebihan iaitu perancangan pembedahan yang lebih tepat melalui sistem pengimejan 3D di samping penyelarian dan kestabilan.
Bahkan, pembedahan menjadi kurang invasif di samping masa pemulihan yang lebih singkat kepada dua hingga empat minggu berbanding konvensional antara dua hingga tiga bulan.
“Buktinya, jika pembedahan dibuat pada waktu pagi, pesakit boleh kembali berjalan pada sebelah petang tanpa perlu melompat, sebaliknya berpijak seperti biasa.
“Ia tidak melibatkan banyak pemotongan tisu, sekali gus mengurangkan bengkak dan sakit, malah peralatan besi yang digunakan pada lutut boleh bertahan sehingga 30 tahun,” katanya.
Beliau turut menegaskan yang pembedahan robotik selama kurang dua jam itu masih dikendalikan oleh pakar bedah terlatih yang berada bersebelahan bagi mengawal mesin berteknologi tinggi.
Sementara itu, Perunding Kaki & Buku Lali dan Pakar Bedah Ortopedik di pusat perubatan sama, Dr. Chua Yeok Pin menasihatkan orang ramai untuk memanaskan badan sekurang-kurangnya 30 minit sebelum bersukan.
Katanya, langkah itu penting bagi meregangkan otot-otot dan mengelakkan sebarang kecederaan tidak diingini.
Selain itu, pilih kasut dan tapak selesa serta berbeza bagi disesuaikan dengan setiap jenis aktiviti yang disertai.
“Semua sukan serta aktiviti lasak berisiko menyebabkan kecederaan pada buku lali dan ibu jari antaranya bola sepak, ragbi, mendaki tembok batu, luncur ais dan gimnastik.
“Tidak terkecuali seni bela diri seperti taekwondo dan muay Thai serta tarian Melayu,” katanya. – UTUSAN