Program Tuisyen Rakyat RISDA lahirkan pelajar cemerlang SPM

Program Tuisyen Rakyat RISDA lahirkan pelajar cemerlang SPM

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi bergambar pada Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang Program Tuisyen Rakyat 2023, di sini-UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Program Tuisyen Rakyat di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) berjaya membantu seramai 640 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 mendapat keputusan cemerlang.

Program Tuisyen Rakyat KKDW di RISDA itu telah diperluaskan kepada 200 pusat tuisyen di seluruh negara dengan komitmen 1,000 guru dan 3,000 pelajar yang kebanyakannya terdiri daripada anak-anak pekebun kecil RISDA.

Menurut pelajar dari Negeri Sembilan, Ahmad Adam Qayyum Ismail,18, Program Tuisyen Rakyat RISDA sangat berguna dan memberi manfaat serta impak kepadanya bagi menghadapi SPM 2023.

Ahmad Adam Qayyum yang mendapat keputusan 12A berkata, guru yang dipilih untuk mengajar tuisyen tersebut berkualiti tinggi dan dapat membentuk murid yang cemerlang dalam setiap mata pelajaran.
“Saya harap program ini diteruskan kerana ia sangat memberi kesan positif kepada pelajar,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bera di Pahang, Renorico A/L Mazeri, 18, pula berkata, program tuisyen itu banyak membantu penduduk yang tinggal di kawasan pedalaman bagi mendapat peluang pendidikan yang sama seperti di kawasan bandar.

Beliau yang merupakan anak pekebun kecil RISDA daripada masyarakat orang asli memperoleh 9A berkata, program tersebut perlu diteruskan lagi kepada generasi akan datang agar mereka dapat menikmati kemudahan yang diberi untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam SPM.

Sementara pelajar anak pekebun kecil RISDA dari Lawas, Sarawak, Joylenne Lua Balang, 18, pula berkata, Program Tuisyen Rakyat banyak membantu dari segi pemberian buku-buku dan juga alat tulis serta memberikan latihan tambahan dalam meningkatkan pengetahuan.

Joylenne yang turut berjaya mendapat tempat untuk meneruskan pengajian dalam bidang pendidikan bahasa Inggeris (TESL) di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Batu Lintang berkata, tuisyen ini banyak membantunya untuk mencapai cita-cita untuk bergelar seorang guru.

“Sebelum ini, saya sering mendapat keputusan E dan F dalam mata pelajaran Matematik tetapi melalui latihan-latihan yang diberikan RISDA, saya mendapat keputusan 8A dalam SPM termasuk subjek tersebut,” katanya.

Renorico(kiri),Ahmad Adam(tengah) dan Joylenne antara penerima Anugerah Apresiasi Program Tuisyen Rakyat RISDA di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur, hari ini.

Majlis Anugerah Apresiasi Program Tuisyen Rakyat RISDA itu bagi meraikan seramai 640 pelajar yang mendapat keputusan cemerlang SPM 2023 di Hotel Berjaya Times Square, di sini hari ini.

Turut hadir bagi menyampaikan anugerah tersebut ialah Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri KKDW, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Setiausaha KKDW, Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar dan Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib.

Melalui inisiatif itu, KKDW berusaha untuk meminimumkan halangan-halangan yang menjadi benteng kepada pencapaian potensi penuh pelajar luar bandar antaranya memberi nilai tambah dengan mengurangkan beban kewangan ibu bapa melalui bahan rujukan percuma kepada pelajar.

Dalam pada itu, Manndzri Nasib berkata, program itu telah menunjukkan impak positif dengan peningkatan prestasi akademik dalam peperiksaan SPM 2023 di mana seramai dua pelajar memperoleh 12A, 19 pelajar 11A, 17 pelajar 10A, 59 pelajar 9A, 87 pelajar 8A, 105 pelajar 7A, 154 pelajar 6A dan 197 pelajar 5A ke atas.
“Program ini memfokuskan kepada lima mata pelajaran utama iaitu Matematik, Sains, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, dan Sejarah.

“Inisiatif ini tidak hanya memberikan peluang pendidikan tetapi juga membuktikan komitmen kerajaan dalam mengurangkan beban kewangan yang dihadapi oleh ibu bapa di luar bandar khususnya golongan pekebun kecil getah,” katanya dalam majlis tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN